Isnin, 24 Februari 2014

Teks ucapan majlis perasmian penutupan rasmi perkhemahan kadet bomba


Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam 1Malaysia,
Terima kasih saudara dan saudari pengacara majlis,
Yang Berbahagia En. Mohd Khudzari b. Mohd Nor, Penyelia Kokurikulum PPD Klang,
Yang Berbahagia Pengetua SMK Tengku Idris Shah, Tuan Haji Najib b. Ayob,
Yang Berusaha Encik Zaidi b. Bidin, Komandan Kem,
Barisan Guru Pengiring,
Pegawai-pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Klang;
Para kadet bomba yang diraikan serta hadirin yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapatlah kita semua berhimpun dalam Majlis Penutupan Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Peringkat Daerah Klang Tahun 2014 dengan sambutan penuh mesra dan meriah ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama warga Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya di daerah Klang ini dan pihak jabatan bomba dalam menjayakan perkhemahan ini yang telah berlangsung selama 3 hari bermula sejak hari Sabtu yang lalu. Secara peribadinya, saya amat berpuas hati dan bangga dengan komitmen semua pihak yang bersama-sama menjayakan perkhemahan tahun ini sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan perkhemahan ini berjalan dengan lancar.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Perkhemahan Integrasi Kadet Bomba ini diatur dan dijadikan sebagai acara tahunan bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah Klang. Salah satu tujuan perkhemahan ini diadakan adalah sebagai aspirasi dan inspirasi jabatan agar matlamat melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing dan berdisiplin tinggi akan terlaksana.

Kadet-kadet sekalian,

Kita hendaklah sentiasa cemerlang dalam apa juga bidang yang diceburi. Jika kita kurang ilmu, mempunyai nilai peribadi yang rendah, dan sering melanggar disiplin sekolah, ia akan membawa kepada keruntuhan negara pada masa hadapan. Oleh itu, peliharalah akhlak dan disiplin anda sepanjang masa bagi menjamin keutuhan dan kecemerlangan anda sebagai pelajar. Saya juga berharap kadet-kadet memanfaatkan ilmu yang dipelajari daripada perkhemahan ini. Segala pengalaman yang anda lalui selama tiga hari di sini adalah untuk tujuan pendidikan dan pembangunan kerjaya sebagai seorang pelajar. Saya mengucapkan selamat maju jaya dalam bidang yang diceburi. Saya percaya, kadet-kadet telah didedahkan dengan pelbagai ilmu secara teori dan praktikal untuk membolehkan kita menjadi warga yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Tuan-tuan, puan-puan serta para hadirin sekalian

Saya berasa amat gembira kerana program ini berjalan dengan lancar tanpa banyak masalah serta terhindar daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Saya percaya, kejayaan ini disumbangkan berkat kerjasama daripada semua pihak sehingga dapat memastikan perkhemahan ini berjalan dengan baik dan sempurna.  Insya-Allah, segala bakti yang telah dicurahkan untuk sama-sama melahirkan generasi cemerlang ini akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya bagi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program perkhemahan kadet bomba peringkat daerah pada tahun ini. Dengan lafaz “bismillahhirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penutupan Perkhemahan Kadet Bomba Daerah Klang tahun 2014.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah,  wasalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh.