Ahad, 25 Mei 2014

Teks ucapan YDP PIBG Hari Kecemerlangan

Yang Dihormati, Tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia, Tn. Hj. Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa.
Yang Berusaha, Pn. Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Pn. Puziah binti Tuban, Penolong  Kanan Hal Ehwal Murid,
Pn. Kamariah binti Md. Kamil, Penolong Kanan Kokurikulum,
En. Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Ibu bapa, guru-guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang hadir dalam majlis ini, khususnya kepada pelajar yang menunjukkan kepintaran dan sahsiah yang cemerlang. Tahniah dan terima kasih juga kepada guru-guru yang berjaya memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti baik dari segi akademik mahupun sahsiah. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Pada hari ini, peranan pendidikan telah berubah. Murid-murid bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Kita juga patut sedar, sistem pendidikan kini memerlukan perubahan selaras dengan keperluan semasa, untuk memenuhi tuntutan zaman. Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk  melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.

Para hadirin yang saya muliakan,

Sasaran membawa negara mencapai standard pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa perlu digalas semua pihak. Pelbagai program diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran seperti Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah sebagai platform meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak serta menggalakkan penglibatan komuniti dengan sekolah.

Usaha menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak. Ibu bapa perlu menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya percaya sambutan Majlis Anugerah Cemerlang pada hari ini selari dengan matlamat memotivasikan murid agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan. Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada murid-murid yang akan menerima hadiah atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian tersebut tidak berakhir di sini. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang pada tahun ini.
Saya dengan lafaz “Bismillahhir­rahmannirahim” dengan ini merasmikan, Majlis Anugerah Cemerlang SMK Kampong Jawa tahun 2014.


Sekian, wabillahitaufik walhidayah was­salammualaikum warahmatullahi wabara­katuh.

Khamis, 15 Mei 2014

Frasa, Pola Ayat, Jenis Kata dalam Artikel Akhbar

1.0  Pendahuluan

Dalam kajian yang dilakukan ini, pengkaji telah memilih artikel yang bertajuk “Hargai Makna Bebas,
Merdeka” yang telah ditulis oleh Prof. Dr. Nasrudin Mohammed dalam Berita Harian bertarikh 19 April
2014.  

Kajian ini akan memfokuskan tentang, jenis-jenis kata, jenis-jenis frasa dan pola ayat dasar yang terdapat
dalam artikel yang dikaji dengan menggunakan beberapa sumber sebagai rujukan bagi melihat dengan lebih
jelas frasa dan kata yang terdapat dalam bahasa Melayu.

2.0  Definisi dan Konsep Frasa

Frasa dianggap oleh Za’ba (1965) sebagai rangkai kata. Menurut Abdullah Hassan (2005: 160), frasa ialah
unsur terkecil dalam bidang sintaksis. Frasa digunakan bagi membina ayat. Dalam tatatingkat unsur bahasa,
frasa adalah unsur yang terkecil dan terletak di bawah unsur yang dipanggil klausa.

Frasa didefinisikan oleh Nik Hassan Basri (2007: 134) sebagai satu kata atau kumpulan kata yang
berpotensi untuk menjadi unit lebih besar atau yang membentuk unit sintaksis bagi sesuatu klausa atau ayat.
Nik Safiah Karim (1996: 416) pula mentakrifkan frasa sebagai unit yang boleh terdiri daripada satu susunan
yang mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang berpotensi untuk
diperluas menjadi dua perkataan atau lebih.

2.1 Frasa Nama

Dalam Tatabahasa Dewan, Nik Safiah menyatakan bahawa frasa nama ialah frasa yang kata utamanya (kata inti) terdiri daripada kata nama, kata nama terbitan atau kata ganti nama (1996: 556). Menurut Abdullah Hassan (2004: 240) pula, frasa nama terdiri daripada jenis-jenis kata nama seperti kata nama am, kata nama khas, kata ganti nama, kata arah, kata tanya, kata bilangan dan penjodoh bilangan.

Frasa nama dengan kata nama sebagai inti dapat diperluas dengan satu penerang atau lebih. Kata penerang ini adakalanya berada di depan, iaitu mendahului kata inti, atau berada pada akhir atau mengikuti kata inti.

Berikut ialah contoh frasa nama yang terdapat dalam rencana:

 lambang kemerdekaan
konteks kenegaraan
perjuangan perajurit
makna kebebasan
sosioekonomi masyarakat Malaysia
paduan semua komponen
kuasa tertinggi pentadbir Inggeris
 jentera pentadbiran pembangunan negara
 kesatuan semangat
 institusi kesultanan

2.2  Frasa Kerja

Menurut Abdullah Hassan (2005: 160), frasa kerja merupakan binaan yang boleh berdiri daripada satu
perkataan atau lebih dan kata intinya ialah kata kerja. Lazimnya, kata kerja boleh terdiri daripada kata kerja
transitif ataupun kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif boleh hadir bersendirian atau diikuti oleh satu
atau sederetan perkataan, manakala kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek serta unsur-unsur lai

Frasa kerja yang di dalamnya terdapat kata kerja sebagai inti dapat diperluas dengan satu penerang atau
lebih. Kata penerang ini adakalanya berada di depan, iaitu mendahului kata kerja inti, atau berada pada akhir
ayat mengikuti kata kerja inti.

Berikut ialah contoh frasa kerja yang terdapat dalam rencana:

bangkit menegakkan hak mereka
menentang mana-mana anasir asing
datang ke negara ini
 tipu muslihat
 menguasai pentadbiran
 berkumpul di Station Hotel
menyentuh sensitiviti kaum
membawa makna kebebasan
menguasai pentadbiran Tanah Melayu
ditadbir melalui pendekatan sangat teliti

2.3  Frasa Adjektif

Menurut Nik Safiah Karim (1996: 385), frasa adjektif merupakan susunan perkataan yang terdiri daripada
satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai kata intinya.
Kata inti merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa adjektif yang dibincangkan ialah
yang berfungsi sebagai predikat dan juga sebagai unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat.
Sebagai unsur keterangan, kata adjektif hadir sesudah kata kerja dan sebagai unsur penerang, kata adjektif
hadir sesudah kata nama. Berikut ialah contoh frasa adjektif yang terdapat dalam rencana:

sangat teliti
berhemah
tidak menentu
mudah
mustahil
bebas
merdeka
tidak menyenangkan
bernilai
kesejahteraan

2.4  Frasa Sendi Nama

Menurut Abdullah Hassan (2005: 153), frasa sendi nama merupakan satu binaan dalam ayat yang terdiri
daripada satu sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi tersebut.
Lazimnya frasa sendi nama terletak di hadapan frasa nama.  Sungguhpun demikian frasa sendi nama juga
boleh didahului oleh kata bantu.  Antara frasa sendi nama yang lazimnya terdapat dalam bahasa Melayu
ialah di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, bagi, hingga,oleh, dengan, sampai, tentang dan
sebagainya. Berikut ialah contoh frasa sendi nama yang terdapat dalam petikan:

daripada institusi kesultanan
di Kuala Lumpur
di Pantai Barat
dari segi pembangunan
dalam alam Melayu
untuk dikecapi
oleh generasi muda
oleh kepemimpinan berwibawa
pada tahap terbaik
hingga ke seluruh pelosok tanah air

2.5  Kata Kerja Sebagai Kata Nama

Bagi menerbitkan kata nama daripada kata kerja, imbuhan apitan pe-…an dan ke-..-an digunakan oleh
penulis. Berikut ialah contoh kata nama terbitan yang berasal daripada kata kerja dan terdapat dalam
petikan:

bangun pembangunan
hubung perhubungan
juang perjuangan
lantik pelantikan
lancar pelancaran
percaya kepercayaan
timbang pertimbangan
tadbir pentadbiran
tadbir pentadbir
tunjuk petunjuk

2.6 Kata Nama Sebagai Kata Kerja

Bagi menerbitkan kata kerja, sesuatu kata nama perlu diberi imbuhan awalan per-, me-, di-, ter-, ber-; imbuhan akhiran –kan dan –i; apitan me-…-an dan di-…-an. Lihat contoh kata nama yang diberi imbuhan kerja yang terdapat dalam rencana:

atas mengatasi
bayang membayangkan
didik mendidik
gambar menggambarkan
kuasa menguasai
f)       pengaruh mempengaruhi 
      tingkat → meningkatkan
      tempat menempatkan
i)        umpan mengumpan
j)        utama mengutamakan

2.6  Kata Adjektif Sebagai Kata Kerja

Beberapa imbuhan yang dibincangkan dalam menerbitkan kata kerja daripada kata nama dapat juga
digunakan bagi menerbitkan kata kerja daripada kata adjektif. Lihat contoh kata adjektif yang diberi
imbuhan kerja yang terdapat dalam rencana:

asyik mengasyikkan
baharu memperbaharu
 mudah dipermudah
kurang mengurangkan
perit diperitkan
sedia disediakan
takut menakutkan
tegak menegakkan
teliti meneliti
tentu menentukan

2.7  Kata Adjektif Sebagai Kata Nama

Bagi menerbitkan kata nama, kata adjektif perlu diberi imbuhan sama ada imbuhan awalan pe-, akhiran –an,
apitan ke-…-an, pe-…-an atau per-…an. Semuanya dapat menerbitkan kata nama. Lihat contoh kata
adjektif yang diberi imbuhan kata nama yang terdapat dalam rencana:

dekat → pendekatan
kembang → perkembangan
merdeka → kemerdekaan
mudah → kemudahan
padu → perpadu
selamat → keselamatan
terang → penerangan
luas → peluasan
i)        lanjut → selanjutnya
j)       perkasa → pemerkasaan

3.0  Pola Ayat Dasar

Apabila kita menulis ayat, kita menceritakan tentang sesuatu. Perkara yang diceritakan itu ialah subjek.
Unsur yang boleh menjadi subjek ialah frasa nama. Oleh itu, ada satu sahaja jenis frasa subjek, iaitu frasa
nama. Cerita mengenai sesuatu perkara dalam ayat itu pula ialah predikatnya. Predikat ini boleh terdiri
daripada empat jenis frasa, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi.

Oleh sebab ada hanya satu jenis frasa subjek, dan ada empat jenis frasa predikat, maka terdapatlah empat
pola binaan ayat dasar. Ayat dasar ini juga dipanggil ayat tunggal. Jenis binaan ayat tunggal ini dipanggil pola
ayat. Pola-pola ayat dasar bahasa Melayu adalah seperti berikut:

Pola 1: Frasa Nama + Frasa Nama
Pola 2: Frasa Nama + Frasa Kerja
Pola 3: Frasa Nama + Frasa Adjektif
Pola 4: Frasa Nama + Frasa Sendi

Lihat rajah pohon di bawah berdasarkan contoh ayat yang dipetik daripada rencana.

3.1 Frasa Nama (FN) + Frasa Nama (FN)

                     Dalam konteks kenegaraan, kemerdekaan membawa makna tersendiri.


                           
                           subjek                                                                          predikat



                              FN                                                                                 FN



             Dalam konteks kenegaraan                           kemerdekaan membawa makna tersendiri.


3.2 Frasa Nama (FN) + Frasa Kerja (FK)


Datuk Onn dikatakan memberi kata dua kepada institusi kesultanan.



                          
                           
                           subjek                                                                          predikat



                              FN                                                                                 FK



                       Datuk Onn                          dikatakan memberi kata dua kepada institusi kesultanan





3.3 Frasa Nama (FN) + Frasa Adjektif (FA)

Pada masa ini, perhubungan jalan darat negara ini adalah yang terbaik.



                          
                           
                           subjek                                                                          predikat



                              FN                                                                                 FA


 
Pada masa ini, perhubungan jalan darat negara ini                        adalah yang terbaik 
                                                                                            


3.4 Frasa Nama (FN) + Frasa Sendi (FS)

      Harold MacMichael berjaya menggunakan tipu muslihat
             untuk menguasai pentadbiran Tanah Melayu.



                          
                           
                           subjek                                                                          predikat



                              FN                                                                                 FS


 
         Harold MacMichael berjaya                              untuk menguasai pentadbiran Tanah Melayu
         menggunakan tipu muslihat    

4.0  Kesimpulan

Kesimpulannya, kajian ini diharap dapat memberi kefahaman kepada guru-guru yang mengajar Bahasa
Melayu di sekolah atau pengkaji bahasa Melayu tentang perbezaan perkataan, frasa, klausa dan ayat.
Penggunaan rencana akhbar sebagai bahan kajian dianggap bersesuaian kerana akhbar ialah bahan bacaan
yang paling digemari dan mudah didapati.

Berdasarkan hasil analisis rencana, pengkaji dapat menganalisis setiap jenis kata, frasa dan ayat yang
digunakan oleh penulis rencana. Di sini, frasa dapat dikenal berdasarkan ciri-cirinya, iaitu berpotensi untuk
diperluas, boleh disisipi dengan kata hubung atau kata sendi, tidak mengandungi subjek dan predikat, dan
boleh dipancangkan ke dalam frasa-frasa yang lain. Peluasan frasa sangat produktif untuk menyatakan
konsep-konsep tertentu dan memberi pengertian yang lebih jelas dan terperinci akan sesuatu perkara.

BIBLIOGRAFI


Abdullah Hassan. 2005. Linguistik Am. Bentong: PTS Publications.

Abdullah Hassan et al. 2005. Sintaksis. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.

Ahmad Khair Mohd Nor. 2003. Tatabahasa Melayu Mesra Pengguna. Kuala Lumpur: Utusan Publications.

Asraf. 2011. Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

Nik Hassan Basri. 2007. Komsas dan Tatabahasa Melayu. Kuala Lumpur: Icon Region Sdn. Bhd.

Nik Safiah Karim et al. 1996. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Za’ba. 1965. Pelita Bahasa Melayu Penggal 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.