Selasa, 11 November 2014

Kelab Muaythai pertama dan terulung di Klang

Sertai kelab Muaythai pertama dan terulung di Klang dengan yuran RM50 sahaja. Tiada yuran dikenakan. Anda akan dilatih oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman. Anda juga berpeluang untuk menyertai pertandingan amatur dan profesional peringkat tempatan dan antarabangsa. Tidak ada kelab di Malaysia ini yang tidak mengenakan yuran latihan seperti kami. Malah pelatih yang berbakat juga akan dilatih menjadi jurulatih bertauliah dengan percuma (di bawah program jurulatih Persatuan Muaythai Negeri Selangor). Datanglah ke kelab kami di Taman Rakyat Klang atau layari http://boksingkelate.blogspot.com/ untuk maklumat lanjut. 

Nazam stail Melaka


Dalam majlis penutup Kursus Penghayatan Komsas tadi, saya telah diminta oleh Jurulatih Utama untuk melagukan nazam berdasarkan cerpen Dendam tingkatan dua. Jadi dalam masa 10 minit saya mencipta nazam ini berdasarkan sinopsis yang saya baca memandangkan saya tidak mengajar tingkatan dua.

Allah Allah azzawajal tuhan kami
Kami minta ampun akan dosa kami

Dengan bismillah kami mula nazam ini
Semoga majis bertambah indah berseri-seri

Cerpen ini tentang hubungan kakak adik
Angah nakal sebab ayah tak pernah jentik

Angah conteng buku geografi dan kimia
Sampai kakak kena denda Cikgu Maria

Along marah sampai Angah ditampar pipi
Angah ditolak sampai jatuh bengkak di dahi

Satu hari kertas ayah dikoyak Angah
Tapi Along yang tak larang kena marah

Rantai ibu dalam bilik juga rosak
Ayah marah sebab ibu tak didik anak

Ayah mengamuk rotan Angah dengan tali
Angah menangis teresak-esak tak nak berhenti

Along sedih sebab Angah dipukul begitu
Along selak baju kurung nampak biru

Angah tahu siapa yang masuk bilik ibu
Tapi Angah senyap tak nak beritahu

Along terus peluk Angah dengan erat
Sebab dia sayang Angah teramat sangat

Isofrane Review

Saya masih baru dalam dunia horologi (seni jam). Setelah menyertai grup Dunia Jam dan Kelab Peminat Jam Vintage 3 tahun lalu, minat saya pada jam semakin bercambah. Beli dan jual jam perkara biasa. Kali ini saya mahu membuat sedikit rebiu tentang tali jam isofrane yang menjadi idaman semua collector jam diver seperti saya. 

Ramai yang menghantar mesej melalui facebook kepada saya bertanyakan tentang isofrane ini. Ini sedikit info tentang isofrane.


Isofrane dikeluarkan pada tahun 1968 di Itali untuk memenuhi keperluan peminat jam diver yang mahukan tali yang tahan lasak tetapi lembut. Isofrane menjadi terkenal selepas Omega, Scubapro, dan Tissot menggunakannya pada jam mereka. Pada dekad 80-an, Isofrane mula dilupakan (ramai beralih kepada tali Tropic dari Swiss pula) sebelum terkenal semula pada 2010 setelah dijenamakan semula.

Walaupun mahal (harga sekitar RM400-600), isofrane tetap menjadi pilihan diver, malah isofrane vintage NOS pernah dijual pada harga RM3000. Isofrane terdapat dalam tiga saiz, iaitu 20, 22, dan 24mm dengan tiga pilihan warna, iaitu hitam, biru gelap dan jingga. Tebal tali ialah 5.5mm, saiz yang sepatutnya untuk tali jam diver. Setiap utas tali mempunyai 4 lubang pengudaraan dengan 13 lubang kemasukan untuk membolehkan kulit bernafas.  Ini juga membolehkan air mengalir keluar setiap kali pengguna keluar dari air.

Pada awalnya, isofane menggunakan bahan sintetik yang dipanggil isoprene (nama bahan ini digunakan sebagai jenama) sebelum menukarnya kepada getah sepenuhnya pada masa ini. Penggunaan kompaun getah yang sesuai membolehkan tali isofrane bebas tarikan debu, kenyal dan tahan dalam sebarang keadaan cuaca. Terdapat dua jenis buckle yang digunakan, iaitu RS (RetroSecuro) dan IN (InoxNouva). Untuk memasangnya pada jam dver, anda digalakkan menggunakan fat bar spring. Gunakan minyak pelincir untuk memasukkan fat bar spring ke dalam lubang tali.

Kelebihan isofrane berbanding tali diver biasa ialah penggunaan material. Banyak jenama menggunakan bahan sintetik yang sangat lembut, mudah putus, dan menarik debu seperti silikon dan polyurethane. Isofrane menggunakan getah yang 100% bebas silikon dan antidebu. Long lasting – itulah yang dimahukan oleh peminat jam. Alah membeli menang memakai.

Di Malaysia, Red Watch Army ialah pengedar tunggal isofrane. Harga yang ditawarkan bergantung kepada jenis buckle, dari RM480-630. 

Khamis, 6 November 2014

Teks ucapan Pengetua sempena jamuan Hi-tea


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam 1 Malaysia.

Yang Dihormati, Tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia, Encik Muhammad bin Hashim, Yang Dipertua PIBG
Yang Berusaha, Pn. Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Yang Dihormati, Pn. Puziah binti Tuban, Penolong  Kanan Hal Ehwal Murid,
En. Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Yang Diraikan, Pn. Kamariah binti Md. Kamil, Mantan Penolong Kanan Kokurikulum,
Pn. Normadiah binti Abd. Rahim, Mantan Penolong Kanan Pendidikan Khas
Puan Cheong Quay Lan
Barisan guru kanan mata pelajaran
Presiden Kelab BAGUS, Encik Rezuali b. Hasanudin,
Dan guru-guru yang dikasihi sekalian.

Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan-Nya, kita dapat berkumpul dalam majlis yang penuh bermakna pada petang ini bagi meraikan guru-guru dan staf SMK Kampong Jawa. Majlis ini juga diadakan bertujuan meraikan guru-guru yang telah bersara pada tahun ini.  

Saya amat berharap semua warga SMK Kampong Jawa sentiasa bekerjasama dalam satu pasukan dan sanggup berubah bagi menjadikan kita penjawat awam yang berinovasi, berkualiti dan berintegriti. Selamat bersara juga saya ucapkan kepada Puan Cheong, Puan Normadiah dan Puan Kamariah. Semoga diberi kesihatan yang baik.

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga SMK Kampong Jawa yang telah melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang sepanjang tahun 2014. Tidak lupa juga kepada AJK Kelab BAGUS yang telah menjalankan persiapan bagi menjayakan majlis pada petang ini.

Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Encik Muhammad b. Hashim dan AJK PIBG yang lain kerana sudi hadir bersama-sama kita pada petang ini.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Teks ucapan YDP PIBG jamuan Hi-tea

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam 1Malaysia.

Yang Dihormati, Tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia, Tn. Hj. Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa,Yang Berusaha, Pn. Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Yang Dihormati, Pn. Puziah binti Tuban, Penolong  Kanan Hal Ehwal Murid,
En. Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Yang Diraikan, Pn. Kamariah binti Md. Kamil, Mantan Penolong Kanan Kokurikulum,
Pn. Normadiah binti Abd. Rahim, Mantan Penolong Kanan Pendidikan Khas
Pn. Cheong Quay Lan,
Barisan guru kanan mata pelajaran
Dan guru-guru yang dihormati sekalian.

Pertama sekali izinkan saya menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya maka kita dapat berkumpul di dalam dewan yang indah ini bagi meraikan semua guru dan staf di samping meraikan guru yang telah bersara yang diatur oleh Kelab BAGUS.

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Jawatankuasa BAGUS yang telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih tidak terhingga kepada guru yang telah bertungkus-lumus mendidik murid-murid SMK Kampong Jawa. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua staf atas kesungguhan yang ditunjukkan untuk menguruskan sekolah dengan baik sepanjang tahun 2014.

Akhir sekali, untuk semua guru SMK Kampong Jawa, teruskanlah curahan kasih sayang kepada anak didik. Selain tugas hakiki guru yang menyampaikan ilmu ketika dalam bilik darjah, jadilah juga;

akauntan yang cekap ketika mengurus sumbangan PIBG,
doktor yang jitu ketika murid mengadu sakit,
pengawal keselamatan yang padu ketika menunggu murid tiba dan pulang,
pereka hiasan dalaman yang berseni ketika menceriakan kelas,
tukang kayu yang tepat ketika murid mengadu meja patah,
bomoh yang sukarela ketika murid histeria,
pegawai penyiasat yang efisyen ketika ada kecurian dan kehilangan,
pemandu ambulans berhemah jika murid sakit,
pakar motivasi yang efektif jika murid hilang arah tujuan,
majistret yang adil jika ada pertelingkahan dalam kalangan pelajar,
Pegawai Kebajikan Masyarakat yang prihatin ketika murid dalam kesempitan.

Semuanya adalah lambang anda semua menjulang tuntutan  ”Guru Sayang Murid” seperti termaktub dalam program Sekolah Penyayang. Begitulah kasihnya para guru terhadap murid khususnya anak-anak SMK Kampong Jawa, sehingga sanggup membakar diri agar mereka diterangi. Semoga segala usaha anda semua diredhai dan beroleh keberkatan.

Sekian, wabillahi taufik wal-hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Teks pengerusi jamuan Hi-tea


KETIBAAN VIP

Diumumkan ketibaan Yang Berbahagia En. Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa, diiringi masuk oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Muhammed Nashan b Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa, dan para jemputan yang lain.

NYANYIAN LAGU NEGARAKU

Sidang hadirin, nyanyian lagu Negaraku akan berkumandang sebentar lagi. Sidang hadirin diminta berdiri.

Sidang hadirin dipersilakan duduk.

Bagi memberkati perjalanan majlis pada pagi ini, saya dengan sukacitanya menjemput Al-fadhil Ustaz Mohd Rashid untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan.

Demikianlah tadi bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Rashid.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua,
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

UCAPAN PENGERUSI MAJLIS

Yang Berbahagia En Muhammad b. Hashim, YDP PIBG SMK Kampong Jawa,
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohammed Nashan b. Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa,
Yang Berusaha Puan Latipah bt. Ahmad, Penolong Kanan Kurikulum SMK Kampong Jawa,
Yang Dihormati Puan Puziah bt. Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Kampong Jawa,
Yang Diraikan Puan Kamariah bt. Mohd Kamil, mantan Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kampong Jawa,
Puan Normadiah bt. Abd. Rahim, mantan Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kampong Jawa,
Yang Dihormati En. Amir Syaifuddin b. Abdul Majid, Penolong Kanan Petang SMK Kampong Jawa,
Barisan guru kanan bidang,
Pengerusi Kelab Guru dan Staf SMK Kampong Jawa, Encik Rezuali b. Hassanudin,
Guru-guru dan staf SMK Kampong Jawa yang dihormati sekalian.

Busana pengantin kita kagumi
Tema pilihan majlis kali ini
Jamuan akhir tahun kita mulai
Mencipta kenangan tersemat di hati

Salam sejahtera, salam perpaduan, salam transformasi,

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tujuan majlis ini diadakan bukan sahaja untuk majlis makan-makan malah juga menjadi medan terakhir bagi kita untuk beramah mesra sesama kita, demi mengeratkan silaturahim antara satu sama lain setelah berpenat lelah dengan penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang tahun ini.

Tanpa membuang masa, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berusaha Encik Rezuali b. Hasanudin, Pengerusi Badan Kebajikan Guru dan Staf SMK Kampong Jawa untuk menyampaikan sepatah dua kata. Dipersilakan.

Terima kasih Encik Rezuali atas ucapan itu tadi.

Seterusnya, majlis  dengan penuh takzimnya mempersilakan Yang Berbahagia Encik Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa yang naik ke pentas untuk menitipkan sepatah dua kata. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Terima kasih Encik Muhammad atas ucapan itu tadi.

Majlis seterusnya mempersilakan Tuan Pengetua, Tuan Haji Nashan b. Singgan untuk menyampaikan sepatah dua kata. Dipersilakan.

Terima kasih Tuan Pengetua atas ucapan itu tadi.

Hadirin hadirat sekalian,

Pada petang ini, majlis turut meraikan dua orang pentadbir kita yang telah bersara, iaitu Puan Normadiah bt. Abdul Rahim dan Puan Kamariah bt. Mohd Kamil. Terima kasih kerana meluangkan masa bersama-sama guru dan staf pada petang yang bahagia ini.
Majlis dengan rasa bangganya mempersilakan Puan Normadiah selaku wakil guru yang bersara untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Terima kasih Puan Normadiah atas ucapan itu tadi. Seterusnya majlis mempersilakan Tuan Pengetua, diiringi oleh Puan Latipah bt. Ahmad untuk menyampaikan tanda kenang-kenangan kepada dua orang guru kita yang telah bersara ini. Dipersilakan.

Dipersilakan Puan Normadiah naik ke pentas untuk menerima cenderamata.

Dipersilakan Puan Kamariah naik ke pentas untuk menerima cenderamata.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Latipah dan Tuan Pengetua kerana menyampaikan tanda ingatan bagi pihak semua guru dan staf SMK Kampong Jawa. 

Pulau Pandan jauh ke tengah
gunung daik bercabang tiga
doa sudah ucapan pun sudah
tiba masa menjamu selera

Sorong papan tarik papan
makan keranji dalam perahu
suruh makan kita makan
janganlah segan janganlah malu

Majlis berehat seketika. Semua hadirin dipersilakan menikmati jamuan.

CABUTAN BERTUAH

Hadirin yang dihormati sekalian,
Seterusnya, tuah ayam tampak di kaki, tuah kita siapa yang kena. Sebentar lagi kita akan tahu siapa yang bertuah dalam kalangan kita. Bagi maksud tersebut, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Yang Berbahagia Puan Puziah untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Puziah.

Sambil makan-makan, hadirin akan disajikan persembahan video Puan Cheong yang dibuat oleh guru pendidikan khas.  

Seterusnya dijemput Yang Berusaha Puan Latipah untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Latipah.

Sekali lagi kami mempersembahkan video Puan Normadiah untuk tatapan hadirin semua.

Seterusnya dijemput Tuan Pengetua untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Pengetua.

Sekali lagi kami mempersembahkan video Puan Kamariah untuk tatapan hadirin semua.

Seterusnya dijemput pula Encik Muhammad untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Encik Muhammad.

Kini tibalah masa yang kita nanti-nantikan, pemenang pertandingan busana yang memenuhi tema. Sekali lagi dipersilakan Tuan Pengetua naik ke pentas untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang. Pemenang pertandingan busana paling menarik kategori perempuan pula diberikan kepada… Pemenang pertandingan busana paling menarik kategori lelaki jatuh kepada…

Tahniah Cikgu X dan Cikgu Y kerana terpilih sebagai pemenang.

Hadirin yang dimuliakan,
Majlis kita sampai di penghujungnya. Pihak majlis merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama padu semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi memastikan acara petang ini berlangsung dengan jayanya. Terima kasih juga kepada pihak pengurusan Hotel Concorde yang membantu kelancaran majlis.

Hadirin yang dihormati sekalian, sambil menikmati hidangan, majlis diserikan lagi dengan persembahan daripada guru yang sememangnya berbakat dalam bidang seni suara. Dipersilakan Cikgu Zaidi untuk mendendangkan lagu.