Jumaat, 9 Oktober 2015

Teks ucapan Perasmi Hari Sukan Negara

Terima kasih pengerusi majlis.

Bismillahhirrahmanirahim.

Yang Berbahagia, Tuan Haji Mohammed Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa, Klang,
Yang Berusaha Puan Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Yang Dihormati Puan Puziah binti Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Tuan Haji Muzikir bin Muhammad, Penolong Kanan Kokurikulum,
Puan Normala binti Misman, Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Encik Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran, guru-guru, dan semua murid yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Satu Murid Satu Sukan.

Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi keizinan untuk berucap dalam majlis yang penuh bermakna ini.

Tuan-tuan dan anak didik sekalian,

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengisytiharkan Hari Sukan Negara diraikan pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun.  Selaras dengan Bajet 2015, kerajaan mengambil langkah yang bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia kepada negara bersukan. Pada hari ini, seluruh negara, bukan sahaja di sekolah, bahkan di universiti, kolej, di jabatan-jabatan kerajaan, dan sektor swasta akan menyambut Hari Sukan Negara.

Hari Sukan Negara bertujuan untuk merealisasikan hasrat dan inspirasi Kementerian Belia dan Sukan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai rakyat yang sentiasa bersukan sehingga menjadi satu budaya hidup.

Kerajaan berhasrat bukan sahaja menggalakkan budaya bersukan tetapi menitikberatkan penglibatan bersama dalam aktiviti sukan yang akan merapatkan hubungan rakyat antara satu sama lain tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Di samping itu, gaya hidup sihat dengan bersukan juga dapat mengatasi masalah obesiti dalam kalangan rakyat negara ini, yang menjadi penyebab kepada penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Dunia hari ini menjadikan sukan sebagai satu bidang kerjaya yang menarik. Contohnya pendapatan pemain bola sepak terkenal sudah mencecah jutaan ringgit. Begitu juga dengan sukan-sukan yang mempunyai peminat yang ramai seperti olahraga, badminton, dan sukan tempur seperti Muay Thai dan MMA yang memberi ganjaran wang yang amat banyak kepada pemenang. Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan sukan sebagai gaya hidup. 

Hadirin yang saya muliakan,

Saya mengambil  kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua warga SMK Kampong Jawa terutama guru-guru yang bertungkus-lumus membuat persiapan sempena Hari Sukan Negara Peringkat Sekolah ini. Kepada semua murid yang akan bertanding sebentar lagi, kalah atau menang dalam sesuatu pertandingan sudah menjadi adat. Kepada yang menang diucapkan tahniah dan kepada yang tewas, belajarlah daripada kesilapan dan teruskan usaha untuk berjaya pada tahun hadapan.

Dengan lafaz “bismillahirrahmanirrahim”, saya dengan ini merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa.  Majulah sukan untuk negara. Sekian, terima kasih. 

Khamis, 28 Mei 2015

Doa Sempena Hari Koperasi 2015

Marilah kita menundukkan kepala sejenak
untuk memanjatkan doa
dimulakan dengan ummul kitab Al-Fatihah.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ , وَالعَاقِبَة لِلْمُتَّقِيْنَ وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang,
segala pujian hanya bagi Allah tuhan sekalian alam,
selawat dan salam kepada rasul junjungan
Kami bersyukur kepada-Mu kerana mengizinkan kami
meraikan Hari Koperasi 2015 peringkat sekolah dengan tema
Koperasi Prihatin Terhadap Masyarakat.

Ya Qadhial Hajat, Ya Fatihal Barakat,
Kami memohon kepada kebesaran dan kehebatan-Mu ya Allah,
Kurniakanlah kepada kami akhlak yang mulia
Limpahkanlah kemakmuran dan kebahagiaan kepada negeri kami
Kurniakan kepada kami kekuatan dan kesungguhan
Untuk menggerakkan koperasi serta para anggotanya
Agar menjadi pemangkin untuk menyumbang pembangunan ekonomi sekolah kami
Mantapkanlah koperasi kami agar lebih berani dalam meneroka serta mengambil peluang daripada perkembangan ekonomi global.

Ya Allah, bukakanlah pintu hati kami dengan kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan
Janganlah Engkau membiarkan kami mengendalikan urusan kami bersendirian Tanpa hidayah-Mu walau sekecil mana pun urusan itu
Satukanlah hati-hati kami, eratkanlah silaturahim dalam kalangan kami
Padukanlah tenaga dan usaha kami
Untuk memartabatkan koperasi sekolah kami
Demi mencapai kegemilangan.

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار ِ

وَصَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ ، وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Ahad, 17 Mei 2015

Sajak Hari Guru

Terima kasih cikgu
Kerana tidak pernah jemu mengajarku
Mengenal huruf, nombor dan buku
Sehingga aku menjadi maju
Terlalu banyak yang kupelajari
Baik dari tutur kata
Hinggalah tatacara mengurus diri
Bagaimana harus menyulam budi
Dan mendidik hati agar sentiasa mensyukuri
Merendah diri pada setiap yang berbudi
Mewariskan pada adik-adikku contoh yang terbaik untuk diikuti

Terima kasih cikgu
Kerana sering menasihati aku
Agar rajin belajar
Kejari cita-cita hingga ke puncak tinggi
Sehingga berjaya belajar di universiti

Terima kasih cikgu
Kerana menunjukkan jalan kehidupan
Mengenalkan aku antara kejahilan dan kemiskinan
Jangan menyombong diri
Jangan berhasad dengki
Jangan sakit-menyakiti
Jangan kecil hati bila dicaci
Jangan membangga bila diri dihormati
Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali

Terima kasih cikgu
Jasamu terlalu banyak untuk dikira
Luhur baktimu tak terungkap dek bicara
Kehebatanmu terhimpun dalam manis kata
Senyummu meraut rumpunan mesra
Yang tumpah dari selaut rasa

Cikgu,
Kini aku mengerti nilai budi dan harga sebuah diri
Dan pengorbanan sejati yang sering kali tidak difahami
Aku umpama biduk mencari tempat landai
Laksana beringin menyusur akar di tepi cindai
Bak ombak melaram rindu di birai pantai
Demikianlah aku yang masih kehausan ilmu

Dari insan bijak pandai.  

Doa Hari Guru

Marilah kita menundukkan kepala sejenak, untuk memanjatkan doa, dimulakan dengan ummul kitab Al-Fatihah.

Bismillahirrahmanirrahimm, alhamdulillahi rabbil 'alamin,
wassolatu wassalamua’la asyrafil anbiya iwalmursalin, wa’ala alihi wasobbihi ajmain.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang,
segala pujian hanya bagi Allah tuhan sekalian alam,
selawat dan salam kepada rasul junjungan
Kami bersyukur kepada-Mu kerana mengizinkan kami
meraikan Majlis Sambutan Hari Guru 2015 peringkat sekolah dengan tema Guru Membina Ilmu dan Menyempurnakan Akhlak.

Ya Munzilar Rahmat Ya Fatihal Barakat,
Pada hari ini, kami bersaksi bahawa:
Kami pintar kerana ilmu-Mu
Kami cerdas kerana kurniaan-Mu
Kami sukses kerana kehendak-Mu
Kami mampu kerana didikan guru pilihan-Mu
Oleh itu, berilah keikhlasan, kesabaran, ketabahan dan kelapangan rezeki-Mu kepada guru-guru kami
Berikanlah pahala, kepada guru-guru kami
Dengan darjat pahala yang tiada terputus
Seperti curahan rahmat-Mu yang tiada pupus
kepada setiap makhluk yang Engkau utus

Kami memohon kepada kebesaran dan kehebatan-Mu ya Allah,
Kurniakanlah kepada kami akhlak yang mulia,
mudah-mudahan kami akan menjadi anak didik yang sentiasa menghormati guru-guru kami, mendengar tunjuk ajar daripada guru-guru kami,
kami sentiasa mengharapkan teguran dan bimbingan,

semoga kami menjadi insan yang sempurna dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sabtu, 2 Mei 2015

G-Shock made in di mana?


Rasanya ramai peminat Casio G-Shock di Malaysia ini. Jam yang terbukti paling lasak pernah dicipta oleh orang Jepun 32 tahun yang lalu. Kali ini Cikgu bukan nak bercerita tentang sejarah G-Shock sebab dalam Wikipedia sudah ada, tapi ingin menjawab kekeliruan peminat G-Shock tentang negara yang menghasilkan jam ini.

Casio sebenarnya mempunyai kilang di tiga buah negara, iaitu di Jepun, Thailand dan China. Pernah juga kita menemukan jam G-Shock Made in Malaysia (tapi sekarang sudah tiada). Fungsi ketiga-tiga kilang ini ialah menghasilkan jam plastik kental dan gagah yang kita dambakan ini.

Terdapat tiga kategori utama dalam pembuatan jam ini. Kategori pertama ialah kategori premium, contohnya model Frogman. Hampir semua binaan termasuk bahan mentahnya dihasilkan di kilang Yamagata Casio, Jepun.

Kategori kedua merupakan model pertengahan ataupun mid range model. Contohnya model Rangeman. Rangeman dihasilkan sepenuhnya di Thailand tetapi dibuat 2 model berasingan. Satu model untuk pasaran Jepun dengan kod GW-9400J-1JF yang mana tali getahnya ditukar kepada tali Carbon Fibre kerana orang Jepun mahukan kualiti yang terbaik bagi setiap barangan mereka. Manakala model GW-9400-1DR pula untuk pasaran negara lain dan harga yang lebih murah dan mampu milik. Kod 2D1XXX pada belakang setiap model solar Casio merupakan tarikh jam ini dihasilkan.

Akhir sekali untuk model murah ataupun entry model yang tidak memerlukan kepakaran kompleks dihasilkan di China. Oleh sebab kos buruh dan bahan yang murah di China, banyak model yang mampu milik seperti DW-6900-1V/DW-5600E-1V, dan model GA-100/110/120/150/200/300 dihasilkan di sini. Di samping itu juga kilang China terlibat dalam pengeluaran model yang popular seperti model GA-110 dan hampir 90% model ini datang dari kilang China.

Kesimpulannya, bukan semua model G-Shock made in Japan adalah yang terbaik dan model made in Thailand dan China kurang baik. Kadang-kadang keluaran Jepun juga ada masalah kualiti. Selagi Casio masih mengekalkan tahap kualiti bagi setiap jam yang dihasilkan, ini tidak menjadi isu besar walaupun di mana-mana sahaja jam itu dibuat. Tidak semestinya buckle atau back case tiada cop Made in Japan jam maka jam itu bukan original. Kadang-kadang anda akan menemukan jam yang dipasang di China atau Thailand tetapi menggunakan tali dari Jepun (harganya agak mahal sedikit berbanding 100% made in China). 

Sabtu, 14 Februari 2015

Teks ucapan pengerusi majlis mesyuarat PIBG


Ketibaan tetamu kehormat

Diumumkan ketibaan Yang Berbahagia Dato’ Ir. Hj. Kamaruzaman ke Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Kampong Jawa kali ke-18.

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi Rabbil Alamin. Wassolati wassalamu ‘ala ashrafil anbia iwalmursalin. Wa’ala alihi wa ashabihi ajma’in. Assalamualaikum, salam sejahtera, Salam 1 Malaysia, Salam Transformasi.

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Hj. Kamaruzzaman b. Johari
Ketua UMNO Bahagian Kota Raja
Yang Berbahagia Tn. Hj. Mohammad Nashan b. Singgan
Pengetua SMK Kampong Jawa
Yang Dihormati  Encik Muhammad b. Hashim
Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa
Yang Berusaha Puan Latipah bt. Ahmad
Penolong Kanan Pentadbiran
Puan Puziah bt. Tuban
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Tuan Hj. Muzikir b. Muhammad
Penolong Kanan Kokurikulum
Barisan ahli jawatankuasa PIBG,
Guru-guru,
tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya bagi pihak majlis mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Ir. Hj. Kamaruzzaman ke majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG kali ke-18. Saya juga melahirkan rasa bangga dan mengucapkan ribuan terima kasih dengan kehadiran ibu bapa, guru-guru dan para tetamu dalam menunaikan amanah sebagai ahli PIBG.

Nyanyian Lagu Negaraku

Sebagai pembuka majlis, saya mempersilakan tuan-tuan dan puan-puan berdiri untuk bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku.

Semua hadirin dipersilakan duduk.

Bacaan Doa

Sidang hadirin,

Menadah tangan tanda kerendahan,
Lafaz bismillah memperkukuh tautan;
Doa dipohon penuh pengharapan,
Agar majlis mendapat keberkatan.

Bagi memuliakan majlis, marilah sama-sama kita menadah tangan memohon berkat agar segala urusan mendapat rahmat. Oleh itu, majlis mempersilakan Ustaz Wan Mohd Faizal untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan.

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ustaz Wan Mohd Faizal atas bacaan doa itu tadi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kecemerlangan dan kemenjadian anak-anak adalah aset yang amat bernilai dalam sesebuah keluarga. Lantaran itu, permuafakan antara ibu bapa dan guru adalah tunjang pemangkin kepada kejayaan sesebuah institusi pendidikan dalam usaha menjana modal insan yang berdaya saing dalam dunia yang semakin mencabar ini. Kerjasama dan komitmen daripada guru dan ibu bapa amat penting dalam usaha melahirkan murid yang berketerampilan dalam bidang akademik, kokurikulum, dan sahsiah.

Ucapan YDP PIBG

Warga dewan yang mulia.

Encik Muhammad YDP PIBG,
Segak orangnya kemas bergaya,
Dijemput ke pentas tampilkan diri,
Memberi ucapan pembuka bicara.

Sebagai pembuka persada ucapan, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Encik Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Kampong Jawa untuk memberikan ucapan. Dengan sukacitanya dipersilakan.

Majlis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Muhammad atas ucapan sebentar tadi.

Ucapan Pengetua

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

Seorang pemimpin hebat,
Menjadi suluh dalam gelita,
Menjadi penawar dalam bisa,
Menjadi penenang dalam duka,
Menjadi penyejuk dalam derita,
Menjadi penyabar dalam murka.

Majlis dengan segala hormatnya menjemput Tuan Haji Mohammad Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa merangkap Penasihat PIBG SMK Kampong Jawa untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Pengetua atas ucapan sebentar tadi.

Ucapan Perasmian

Sidang warga dewan sekalian,

Sirih junjung penuh bererti,
Indahnya adat tidak terperi;
Tibalah saat masa dinanti,
Mendengar amanat ucapan perasmi.

Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berbahagia Dato’ Ir. Kamaruzaman untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Kampong Jawa bagi tahun 2014.

Dengan penuh takzim majlis mempersilakan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Ir. Kamaruzzaman atas ucapan dan kesudian menyempurnakan majlis perasmian sebentar tadi.

Penyampaian Sijil

Beli keladi di Pekan Lidup,
Sayang rasa lemaknya kurang;
Taburlah budi ketika hidup,
Kelak jasa dikenang orang.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada Ahli Jawatankuasa PIBG yang telah menggembleng tenaga dalam meneraju PIBG sepanjang tahun 2014.

Sekali lagi majlis menjemput dan mempersilakan Yang Berbahagia Dato’ Ir. Kamaruzaman diringi oleh Tuan Pengetua untuk naik ke pentas bagi menyempurnakan majlis penyampaian sijil kepada Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Kampong Jawa sesi 2014. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Dijemput
En. Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG
En. Arjunan a/l Veloo, Timbalan YDP PIBG
Pn. Basirah bt. Ahmad, Setiausaha
Pn. Siti Aminah bt. Awang Teh, Penolong Setiausaha
Pn. Rohaidah bt. Ali, Bendahari

AJK Ibu Bapa
En. Doraisamy a/l Govindasamy
En. Mohd Nor b. Hj. Saadon
En. Mohamad Khair Johari
En. Ahmad Fauzi b. Idris
Pn. Sabariah bt. Mohamad Yusof
Pn. Norleha bt. Junid

AJK Guru
En. Mohd Aidilfitri b. Hamzah
En. Saidi b. Daud
En. Kumarababu a/l Karuppen
Pn. Noraini bt. Said
Pn. Rosina bt. Osman
Pn. Aline Rosabel Abraham
Pn. Mallika a/p Raman

Sebagai tanda terima kasih, dipersilakan Tuan Haji Mohammad Nashan, Pengetua SMK Kampong Jawa untuk menyampaikan cenderamata tanda ingatan daripada warga PIBG kepada tetamu istimewa kita pada hari ini.

Majlis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Ir. Kamaruzaman kerana sudi menyempurnakan majlis sebentar tadi.  

Terima kasih juga diucapkan kepada Tuan Pengetua.

Cabutan Bertuah

Majlis pada hari ini diteruskan pula dengan acara cabutan bertuah khas untuk para ibu bapa dan guru. Hadiah cabutan bertuah kita pada hari ini telah disumbangkan oleh Lemayu Corporation, Megaswaran Jobs Agency dan PIBG.

Untuk menyempurnakan majlis, sekali lagi saya mempersilakan YDP PIBG naik ke pentas membuat cabutan.

Dipersilakan En. Muhammad membuat 15 cabutan nombor bertuah. Dimaklumkan, nombor masing-masing tercatat pada buku program hadirin pada hari ini.

Penerima bertuah yang pertama…
Seterusnya…
Hadirin bertuah yang terakhir ialah…

Terima kasih En. Muhammad atas kesudian menyampaikan hadiah itu tadi.

Kini majlis diteruskan dengan persembahan daripada murid-murid SMK Kampong Jawa. Antara persembahan yang akan ditampilkan ialah nyanyian berkumpulan murid dari tingkatan tiga dan nyanyian daripada murid pendidikan khas. Sama-sama kita saksikan.

Dengan berakhirnya persembahan itu tadi, maka selesailah sudah majlis perasmian Mesyuarat Agung kita pada hari ini. Saya bagi pihak ahli jawatankuasa pelaksana merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dalam menjayakan majlis pada hari ini.

Sebarang kelemahan harap dimaafi
Segala kerjasama sangat dihargai
Terima kasih sekalung budi
Kenangan indah simpanlah di hati

Untuk makluman hadirin sekalian, mesyuarat PIBG akan bermula sebentar lagi. Oleh itu, saya menyerahkan majlis kepada Yang Dipertua PIBG, En. Muhammad b. Hashim untuk meneruskan aktiviti mesyuarat. Sekian sahaja dari saya, wabilahitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.