Selasa, 7 Mac 2017

Teks ucapan pengetua mesyuarat agung PIBG 2017

Terima kasih pengerusi majlis.

Bismillahhirrahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Negaraku Malaysia.

Yang Berbahagia, Encik Muhammad bin Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa,
Yang Berusaha, Puan Noraizah binti Mohd Nor, Penolong Kanan Pentadbiran
Yang Dihormati Puan Puziah binti Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Tuan Haji Muzikir bin Muhammad, Penolong Kanan Kokurikulum,
Puan Normala binti Misman, Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Encik Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Guru-guru SMK Kampong Jawa
Ahli jawatankuasa PIBG
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana atas limpah kurnia-Nya segala perancangan dan usaha yang jitu maka Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-20 dapat diterjemahkan hari ini. Terima kasih kepada semua ibu bapa yang dapat hadir pada hari ini ini. Kehadiran ibu bapa menunjukkan komitmen yang tinggi bagi merealisasikan visi dan misi sekolah untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua guru yang berhempas pulas dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan majlis kali ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

SMK Kampong Jawa menggalas visi menjadi sekolah cemerlang menjelang 2020 dengan misinya membangunkan sahsiah pelajar ke arah kecemerlangan melalui pendidikan berkualiti berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan. Hal ini selaras dengan pepatah ‘Datang dengan Harapan, Pulang dengan Kejayaan. Kita sedia maklum bahawa anak-anak ini merupakan penyejuk hati, pengarang jantung. Kelahiran seseorang anak menjanjikan harapan yang tinggi menggunung kepada kedua-dua ibu bapa. Kejayaan anak-anak merupakan hadiah yang paling bernilai untuk semua ibu bapa. Kemenjadian anak-anak adalah bermula dengan ibu bapa. Pihak sekolah berharap semua ibu bapa janganlah meletakkan 100% tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pihak sekolah sahaja.

Sokongan dan penglibatan semua ibu bapa amat diperlukan dalam memastikan kejayaan anak-anak ini. Sebagai permulaan untuk proses pengajaran dan pembelajaran, ibu bapa perlu memastikan anak-anak membawa peralatan sekolah seperti alat tulis serta buku teks. Selain itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak bangun awal dan datang awal ke sekolah agar masalah pelajar lewat boleh diatasi. Ibu bapa perlu memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pelajaran anak-anak. Anak-anak perlu diberikan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya agar diri mereka tidak tersisih.

Ramai ibu bapa tidak hadir apabila pihak sekolah mengadakan program dan majlis ilmu dengan memberi alasan sibuk bekerja. Keadaan ini amat menyedihkan pihak sekolah kerana ditakuti anak-anak kita akan tersasar jauh. Jadi, saya mewakili pihak sekolah menyeru supaya ibu bapa memberi kerjasama yang erat kepada pihak sekolah supaya kita sama-sama dapat berganding bahu dan sekali gus dapat menyuntik semangat belajar dalam sanubari anak-anak.
Anak-anak amat memerlukan inspirasi dan galakan untuk belajar. Minat belajar perlu ditanam dan disemai dalam jiwa anak-anak kerana mereka ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan dan mewarnainya. Anak-anak memerlukan masa untuk bermesra dan berbincang dengan ibu bapa mereka. Ibu bapa perlu memastikan bahawa mereka mempunyai masa untuk tujuan tersebut. Hal ini tidak mustahil dilakukan walaupun ibu bapa sibuk bekerja. Ibu bapa boleh menelefon untuk bertanya khabar atau makan semeja pada waktu yang berkesempatan. Pokoknya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Hadirin yang dihormati sekalian,        

            Dengan perkembangan semasa yang kita semua sedia maklum, PIBG menghadapi pelbagai cabaran membantu pihak sekolah dalam semua aspek khasnya kemajuan dan kecemerlangan pendidikan anak-anak dari semasa ke semasa. Tanpa kesepakatan dan kerjasama yang jitu amat sukar bagi kita bagi mencapai kejayaan yang diharapkan. Hasrat ini lebih mudah dicapai apabila semua pihak termasuk ibu bapa dan ahli komuniti bersatu dan menyokong satu matlamat, iaitu membantu murid berjaya. Peranan ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah tidak dapat dinafikan. Apabila ibu bapa terlibat sama, sekolah mendapat banyak manfaat antaranya pencapaian murid meningkat, kes disiplin dalam kalangan murid berkurangan dan hubungan pihak sekolah dengan ibu bapa menjadi lebih baik.

Penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan kajian membuktikan ia membawa perubahan yang ketara dalam kejayaan seseorang anak. Melalui penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak. Anak-anak akan mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang serta mempunyai motivasi yang lebih tinggi di samping rekod kehadiran ke sekolah yang lebih baik.

Apa yang lebih penting adalah mewujudkan suasana pembelajaran di rumah seperti menyediakan ruang untuk anak belajar dan memastikan anak mempunyai jadual ulang kaji. Jika boleh, ibu bapa perlu menemani anak semasa dia sedang belajar kerana kehadiran ibu bapa mengukuhkan perasaan dan mengekalkan tumpuannya. Pada masa yang sama, ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak dan perbualan merupakan interaksi yang asas untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu secara sepakat. Berbincang dengan anak mengenai pelajaran dapat mengetahui perkembangan pencapaiannya dan membimbingnya merangka tindakan. Melalui perbincangan juga akan menghasilkan suatu pandangan bersama tentang sasaran anak dalam pelajaran di samping membantunya mencapai cita-cita.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Saya bagi pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama yang baik dalam melaksanakan pelbagai program sekolah. Hanya dengan kejasama semua pihak secara berterusan maka anak-anak didik sekolah ini dapat terbina sebagai insan yang cemerlang dari segi sahsiah, akademik dan kokurikulum.

Setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan kepada barisan PIBG yang diterajui oleh Encik Muhammad yang banyak memberi sokongan baik dalam bentuk kewangan mahupun idea serta moral. Tidak keterlaluan jika saya katakan barisan PIBG sekolah ini amat dedikasi dan komited dalam membantu sekolah mencapai hala tuju dan kecemerlangan.

Akhir kata, semoga Allah memberkati kerjasama dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi membina insan yang berilmu dan cemerlang seterusnya menjadi rakyat yang berjaya kepada agama, bangsa, dan negara.

Sekian sahaja, saya sudahi dengan wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.