Doa Kursus/Seminar/Reunion
Marilah
kita menundukkan kepala sejenak, untuk memanjatkan doa, dimulakan dengan
ummul kitab Al-Fatihah.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ , وَالعَاقِبَة لِلْمُتَّقِيْنَ وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ
Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha
penyayang, segala pujian hanya bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan
salam kepada rasul junjungan.
Ya Allah,
kurniakanlah kami lisan yang lembut dan basah,
mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar, mensyukuri nikmat-Mu, serta
badan yang ringan, menyempurnakan perintah-Mu. Kami bersyukur kerana Engkau
mengizinkan kami, menghadirkan diri, emosi dan roh kami, sesungguhnya, pada
hari ini kami berhimpun dalam majlis ( ), bagi menyatakan kesungguhan, komitmen
dan iltizam dalam pekerjaan kami.
Ya Munzilar Rahmat Ya Fatihal Barakat,
berkatilah pertemuan kami, berkatilah usaha kami,
ilhamkanlah dalam minda kami, idea yang bernas, pandangan yang jelas, kurniakanlah
kepada kami limpahan ilmu yang berguna, dan kefahaman yang benar, satukanlah
hati kami, eratkanlah silaturahim dalam kalangan kami, padukanlah tenaga dan
usaha kami, berilah kami kekuatan semangat, tidak berputus asa,
bersungguh-sungguh dan rajin untuk memikul tanggungjawab ini.
Ya Qaadhial Hajat,
ampunkanlah dosa-dosa kami; sesungguhnya kami lemah
dalam sendirian, maka kuatkanlah kami dalam amal jemaah dan kolektif; sesungguhnya
kesabaran kami punya batasnya, maka kurniakanlah kami nikmat kesabaran seumpama
sabarnya Nabi-nabi; sesungguhnya kami cenderung untuk mengutamakan diri kami, maka
didiklah hati kami untuk mengutamakan keperluan saudara seagama kami, seperti Kekasih-Mu
mendidik sahabat baginda berbuat demikian; sesungguhnya hati kami juga sentiasa
berbolak balik, maka satukanlah hati kami dan berikanlah kami ruang dan masa
untuk bantu-membantu, dalam menegakkan agama-Mu.
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa,
kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan
nikmat, sehingga kami dapat meneruskan
usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor,
sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan di bawah naungan
dan pimpinan raja kami sebagai ketua agama Islam di negeri ini, kami pohon ke hadrat-Mu ya Allah, lindungilah kami daripada ujian-Mu
yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit,
persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami
akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Ya Allah, kami pohon ke hadratmu, mantapkanlah pegangan kami menurut
ajaran Ahli Sunnah Waljamaah dan peliharalah kami daripada amalan dan akidah yang
menyeleweng dan sesat seperti fahaman Syiah serta lain-lain fahaman.
Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk mendirikan solat fardu lima waktu,
menunaikan zakat serta mewakafkan dan menginfakkan harta kami, dengan amalan ini ya Allah, berkatilah hidup dan luaskanlah rezeki kami
dengan ganjaran pahala yang berkekalan hingga ke hari akhirat.
رَبَّنَا ظَلَمۡنَا أَنۡفُسَنَا وَإِنۡ لَمۡ تَغۡفِرۡ
لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُوۡنَنَّ مِنَ الۡخَاسِرِينَ. رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ
أَزۡوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ وَاجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ
إِمَامًا. رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنۡيَا حَسَنَةً وَفِى الۡآخِرَةِ حَسَنَةً
وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ وَسَلَّمۡ. وَالۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ الۡعَالَمِينَ.