Terima kasih pengerusi majlis.
Bismillahhirrahmanirahim.
Yang Berbahagia, Tuan Haji Mohammed
Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa, Klang,
Yang Berusaha Puan Latipah binti Ahmad,
Penolong Kanan Pentadbiran,
Yang Dihormati Puan Puziah binti Tuban,
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Tuan Haji Muzikir bin Muhammad, Penolong
Kanan Kokurikulum,
Puan Normala binti Misman, Penolong
Kanan Pendidikan Khas,
Encik Amir Saifudin bin Abd Majid,
Penolong Kanan Petang,
Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran, guru-guru,
dan semua murid yang dikasihi sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
salam sejahtera, salam Satu Murid Satu Sukan.
Terlebih dahulu saya panjatkan
kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi keizinan untuk berucap dalam majlis
yang penuh bermakna ini.
Tuan-tuan dan anak didik sekalian,
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak telah mengisytiharkan Hari Sukan Negara diraikan pada Sabtu minggu kedua
bulan Oktober setiap tahun. Selaras dengan Bajet 2015, kerajaan mengambil
langkah yang bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia kepada negara
bersukan. Pada hari ini, seluruh negara, bukan sahaja di sekolah, bahkan di universiti,
kolej, di jabatan-jabatan kerajaan, dan sektor swasta akan menyambut Hari Sukan
Negara.
Hari Sukan Negara
bertujuan untuk merealisasikan hasrat dan inspirasi Kementerian Belia dan Sukan
bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai rakyat yang sentiasa
bersukan sehingga menjadi satu budaya hidup.
Kerajaan berhasrat bukan sahaja
menggalakkan budaya bersukan tetapi menitikberatkan penglibatan bersama dalam
aktiviti sukan yang akan merapatkan hubungan rakyat antara satu sama lain tanpa
mengira umur, bangsa dan agama. Di samping itu, gaya hidup sihat dengan
bersukan juga dapat mengatasi masalah obesiti dalam kalangan rakyat negara ini,
yang menjadi penyebab kepada penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Dunia hari ini menjadikan
sukan sebagai satu bidang kerjaya yang menarik. Contohnya pendapatan pemain
bola sepak terkenal sudah mencecah jutaan ringgit. Begitu juga dengan
sukan-sukan yang mempunyai peminat yang ramai seperti olahraga, badminton, dan
sukan tempur seperti Muay Thai dan MMA yang memberi ganjaran wang yang amat
banyak kepada pemenang. Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan sukan
sebagai gaya hidup.
Hadirin yang saya muliakan,
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah
kepada semua warga SMK Kampong Jawa terutama guru-guru yang bertungkus-lumus membuat
persiapan sempena Hari Sukan Negara Peringkat Sekolah ini. Kepada semua murid
yang akan bertanding sebentar lagi, kalah atau menang dalam sesuatu
pertandingan sudah menjadi adat. Kepada yang menang diucapkan tahniah dan
kepada yang tewas, belajarlah daripada kesilapan dan teruskan usaha untuk
berjaya pada tahun hadapan.
Dengan lafaz “bismillahirrahmanirrahim”,
saya dengan ini merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Sekolah Menengah
Kebangsaan Kampong Jawa. Majulah sukan
untuk negara. Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan