Pernahkah anda membuat pinjaman pembiayaan komputer dengan kerajaan? Sebenarnya pinjaman ini sudah lama disediakan seperti juga pinjaman kenderaan, cuma kakitangan kerajaan sahaja yang tidak ambil tahu. Yalah, setakat nak beli komputer, tak perlu meminjam duit, bawa kad kredit terus bayar. Tapi orang yang tidak menggunakan kad kredit seperti saya ini, nak cari 3 ribu cash untuk beli laptop memang susah. Jadi, ada seorang kawan mencadangkan saya membuat pinjaman dengan kerajaan.
Mula-mula saya mencari info tentang proses pinjaman ini dengan Google, tapi hampa. Mungkin tak ramai kakitangan awam yang berminat. Tapi orang yang tiada duit macam saya memang akan buat apa sahaja. Pada mulanya saya ingatkan prosesnya senang. Yalah, sebab jumlah pinjaman cuma RM5000. Tapi saya silap. Prosesnya memakan masa dan lebih rumit daripada pinjaman bank. Saya sudah biasa berurusan dengan bank untuk membuat pinjaman, sehinggakan jumlah pinjaman saya sudah mencapai RM200 ribu untuk membuat rumah.
Nak buat overlap dah tak boleh, jadi saya bulatkan hati untuk cuba pinjaman kerajaan pula. Saya bertanya kepada kerani, tetapi dia pun tak tahu sebab belum ada guru yang membuat pinjaman komputer di sekolah ini. Dia minta saya ke Unit Kewangan, Jabatan Pendidikan Selangor untuk mendapatkan borang.
Lalu saya pun pergilah ke JPS. Kerani JPS memberikan 3 set borang kepada saya untuk diisi. Susah juga syarat-syaratnya. Mesti ada sebut harga komputer daripada kedai komputer. Lalu saya pergilah ke kedai komputer. Jumlah maksimum RM5000 jadi saya mintalah jurujual kedai itu memberi saya harga laptop yang paling mahal. Katanya laptop paling mahal pun berharga RM4000. Jadi saya minta dia senaraikan sekali harga perisian original dan harga printer. Dapatlah jumlah RM4928.00.
Bersama-sama sebut harga dan borang itu, saya perlu lampirkan sekali slip gaji, salinan buku bank dan kad pengenalan yang telah disahkan oleh pengetua. Selepas semuanya selesai, saya hantar surat itu kepada kerani kerana katanya dia akan buat surat iringan.
Selepas 2 minggu, saya ke JPS sebab lama menunggu surat itu di sekolah tak sampai-sampai. Kerani Unit Kewangan kata surat perjanjian dah siap, ada dalam Pigeon Hole PPD Klang. Saya bawa balik surat itu. Ada 5 surat perjanjian yang perlu saya isi dan tandatangan. Surat perjanjian itu juga nak slip gaji, salinan kad pengenalan dan buku bank lagi. Saya juga kena matikan setem hasil bernilai RM25 pada satu surat perjanjian itu.
Selepas selesai semuanya, saya ke JPS sekali lagi untuk menghantar borang perjanjian. Kata kerani di situ, dia akan hantar surat itu kepada kementerian dan dalam tempoh 2 minggu barulah duit akan masuk. Selepas dua minggu tepat (14 hari), duit dikreditkan ke dalam akaun.
1 ulasan:
tq..info yg amat berguna...
Catat Ulasan