Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi, salam perpaduan dan salam transformasi.
Yang Berbahagia Dr. Mohamad Faisal bin Dato’ Haji Hassan, Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya,
Yang Dihormati, En. Muhammad bin Hashim,
Yang Dipertua PIBG,
Yang Berusaha Puan Latipah binti Ahmad,
Penolong Kanan Pentadbiran,
Puan Puziah binti Tuban, Penolong Kanan
Hal Ehwal Murid,
Puan Hajah Kamariah binti Md. Kamil,
Penolong Kanan Kokurikulum,
Puan Hajah Nor Madiah binti Abdul Rahim,
Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Encik Amir Saifudin bin Abdul Majid,
Penolong Kanan Petang,
Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran,
Guru-guru, AJK PIBG, dan semua murid yang dikasihi sekalian.
Terlebih
dahulu saya bagi pihak seluruh warga SMK Kampong Jawa mengucapkan selamat
datang kepada semua tetamu yang hadir bagi sama-sama merasai dan menyaksikan
kejohanan sukan sekolah pada tahun ini. Terima kasih saya ucapkan kepada
guru-guru yang telah bertungkus-lumus sejak bulan Januari lagi, bermula dengan
acara Larian Ria dan Sukan Tara. Acara sebelum kejohanan sukan itu memerlukan
pengorbanan masa dan tenaga. Dalam masa yang sama guru-guru tidak pernah
mengabaikan kepentingan akademik. Sesungguhnya kepentingan sukan sama utama
dengan kepentingan akademik. Kepada para pelajar tahniah saya ucapkan atas
kegigihan mengambil bahagian demi semangat berpasukan. Saya yakin semangat ini
jika dipindahkan ke dalam bilik darjah akan memberikan impak yang tinggi kepada
pencapaian akademik para pelajar.
Hadirin
yang dihormati,
Kejohanan yang djalankan merupakan agenda
besar dalam kalendar sekolah. Kepada para pelajar yang terserlah
kecemerlangannnya dalam bidang sukan diharapkan boleh menjadi atlet berpotensi
untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi bagi mewakili daerah, negeri
dan negara.
Saya
merasakan kejohanan ini merupakan medan
terbaik untuk guru-guru mencipta kreativiti memacu semangat pelajar, manakala
para pelajar pula berpeluang mengerah
kudrat melepaskan beban emosi dengan berlari sederas yang mungkin, maka akan
terciptalah momentum yang dapat menjana tenaga dalaman seterusnya menjadi
juara.
Kepada ibu
bapa, saya mengharapkan tuan-tuan dan puan-puan memberikan sokongan kepada
anak-anak untuk bergiat cergas dalam
aktiviti kokurikulum kerana potensi dan penglibatan pelajar dalam bidang
kokurikulum akan membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam bidang
kurikulum.
Akhir kata,
terima
kasih kepada Dr. Mohamad Faisal yang sudi hadir merasmikan kejohanan sukan kali
ini, terima kasih kepada guru-guru yang berkorban masa dan tenaga, terima kasih
kepada ibu bapa yang menyokong anak-anak, dan terima kasih kepada pelajar yang
bersemangat mengambil bahagian. Sokonglah
kami untuk membentuk generasi masa depan yang cemerlang, gemilang, dan
terbilang.
Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan