Jumaat, 31 Oktober 2014

Teks pengacara majlis penutupan & penyampaian hadiah minggu mata pelajaran

KETIBAAN VIP

Diumumkan ketibaan Yang Berbahagia Puan Deepa Darshini diiringi masuk oleh barisan guru kanan bidang, dan para tetamu kehormat yang lain.

NYANYIAN LAGU NEGARAKU

Sidang hadirin, nyanyian lagu Negaraku akan berkumandang sebentar lagi. Sidang hadirin diminta berdiri.

Sidang hadirin dipersilakan duduk.

BACAAN DOA

Majlis kita mulai dengan bacaan doa. Dengan ini, majlis menjemput dan mempersilakan Saudara Aiman untuk menerajui doa selamat sebagai permintaan hajat dan restu, agar majlis kita diberkati. Dipersilakan. 

Amin, Amin Ya Rabbal A’lamin. Semoga lafaz doa kita tadi diberkati Allah s.w.t hendaknya.  Terima kasih diucapkan kepada Saudara Aiman.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua,
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

UCAPAN PENGERUSI MAJLIS

Yang Berbahagia Puan Deepa Darshini, Penolong Pengurus Kolej Teknologi Prodigy
Yang Dihomati Encik Abd. Karim b. Abd Hamid, Guru Kanan Bidang Bahasa,
Yang Dihormati Encik Razak b. Supajan, Guru Kanan Bidang Kemanusiaan,
Yang Dihomati Puan Paridah bt. Mohtar, Guru Kanan Bidang Sains Dan Matematik,
Yang Dihormati Puan Ter Bee Ser, Guru Kanan Bidang Teknik Dan Vokasional,
Barisan ketua panitia,
Guru-guru dan murid-murid yang disayangi sekalian.

Hadirin sekalian,

Minggu Mata Pelajaran yang dianjurkan oleh setiap bidang bermatlamat untuk meningkatkan penghayatan terhadap sesuatu mata pelajaran. Selain itu, murid-murid juga berpeluang menunjukkan bakat yang terpendam dan kebolehan dalam mata pelajaran yang disukai. Terdapat banyak aktiviti dijalankan sepanjang minggu tersebut, antaranya ialah Pertandingan Nyanyian, Pertandingan Bercerita, Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Esei Bahasa Inggeris, Pertandingan Kaligrafi Cina, Pertandingan Esei Bahasa Tamil, Poem Recitation, Tongue Twister, Eksplorace, Pertandingan Lukisan Poster, Pertandingan Gubahan Bunga, dan Pertandingan Folio Berkomputer. Semua pertandingan ini telah dijalankan oleh guru masing-masing mengikut mata pelajaran.

Hadirin yang dimuliakan ,

Pagi yang penuh gilang-gemilang dan bermakna ini akan diteruskan dengan membawa kita meneroka dan menyingkap tirai pagi dengan pelbagai agenda pendakian aspirasi ilmu. Apa kata kita hayati pesanan refleksi daripada wakil ketua bidang, Encik Razak b. Supajan.

Terima kasih Encik Razak atas ucapan itu tadi.

 UCAPAN PERASMIAN MAJLIS

 Hadirin sekalian,

Majlis kita terus beranjak maju. Sudah sepelaungan jaraknya, gandingan misi dan visi meredah hari, ke destinasi memartabat ilmu dijunjung, bahasa disanjung. Untuk itu, marilah kita sama-sama menyingkap apa yang ada dalam pendakian dan penghargaan dalam majlis ini, melalui ucapan perasmian penutupan minggu mata pelajaran oleh Yang Berbahagia Puan Deepa Darshini. Dipersilakan.

Terima kasih Puan Deepa atas ucapan perasmian itu tadi.

PERSEMBAHAN 1

Hadirin yang dimuliakan,

Apa kata kita teruskan majlis ini dengan persembahan juara-juara pertandingan. Dipersembahkan khas buat meraikan semua warga SMK Kampong Jawa yang masih setia berhimpun di sini.

Untuk itu, dipersilakan Juara Pertandingan Deklamasi Sajak sempena Minggu Bahasa, Saudari Khairrunnisa bt. Nasharudin. Dipersilakan.

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Saudari Khairunnisa.

PENYAMPAIAN HADIAH BIDANG TEKNIK DAN VOKASIONAL DAN KEMANUSIAAN

Hadirin yang dimuliakan,

Majlis kita akan diteruskan dengan penyampaian hadiah. Bagi menyempurnakan atur cara ini, majlis menjemput dan mempersilakan Yang Berbahagia Puan Deepa, diiringi oleh Guru Kanan Bidang Kemanusiaan, Encik Razak untuk naik ke pentas. Dipersilakan.

Kini, tibalah saat yang dinanti-nantikan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Penyampaian hadiah dimulakan bagi pertandingan anjuran Bidang Teknik dan Vokasional. Penerima hadiah pertama ialah

Terima kasih diucapkan kepada Puan Deepa dan Encik Razak atas penyampaian hadiah itu tadi.

PERSEMBAHAN 2

Kita berehat sebentar sambil menyaksikan persembahan drama oleh murid-murid dari kelas 5 Sains 2. Dipersilakan.

PENYAMPAIAN HADIAH BIDANG BAHASA DAN SAINS MATEMATIK

Penyampaian hadiah kepada pemenang diteruskan lagi. Dijemput Puan Deepa naik ke pentas sekali lagi dengan diiringi oleh guru kanan bidang sains dan matematik, Puan Paridah untuk menyempurnakan penyampaian hadiah bagi Bidang Bahasa dan Sains dan Matematik. Dipersilakan.

Terima kasih Puan Deepa dan Puan Paridah atas penyampaian hadiah itu tadi.

Majlis mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang.

 PENYAMPAIAN CENDERAMATA KEPADA PERASMI

Adat Melayu budaya dijulang,
Tetamu bertandang diberikan bingkisan;
Sebelum pulang ditinggalkan balasan,
Untuk mengeratkan hubungan persaudaraan.

Sebagai tanda penghargaan dan atas kesudian hadir menyempurnakan majlis kami pada hari ini, majlis dengan segala sukacitanya menjemput dan mempersilakan Encik Razak selaku wakil pengetua untuk menerima sumbangan daripada Puan Deepa seterusnya menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Puan Deepa yang sudi hadir memeriahkan majlis kita pada hari ini.

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Deepa dan Encik Razak.

UCAPAN PENUTUP

Majlis merakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada para pemenang dan kepada yang tidak berjaya, anda tetap hebat atas sokongan anda semua bagi menjayakan minggu mata pelajaran yang telah diadakan.

Pihak majlis juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada Yang Berbahagia Puan Deepa yang sudi memeriahkan majlis kita pada hari ini.

Saya mewakili jawatankuasa penganjur Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Minggu Mata Pelajaran ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan majlis ini.

Akhir kata daripada saya,
Bumi mana tidak ditimpa hujan,
Lautan mana tidak berombak,
Begitu jua kami di sini,
Kemaafan jua dipohon,
Atas keterlanjuran kata,
Terkasar bahasa,
Terguris rasa.

Salam hormat daripada saya. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum.

1 ulasan:

Shuz berkata...

terima kasih berkongsi teks ini.
Sangat membantu saya. ;)