Isnin, 15 April 2019

Taklimat Pengungsian Bangunan Fire Drill di Sekolah

Dalam bahasa yang mudah, pengungsian bangunan bererti semua penghuni sesebuah bangunan keluar dari bangunan secara teratur mengikut pelan laluan menuju ke tempat berkumpul.

Mengikut piawaian latihan kebakaran, masa maksimum yang diambil untuk berkumpul di tempat yang ditetapkan ialah tujuh minit sahaja bagi bangunan 4 tingkat.

Tujuannya ialah bagi memastikan warga sekolah peka, tenang dan bersedia menghadapi kemungkinan kebakaran dan kecemasan, supaya AJK yang dilantik sentiasa bersedia sepanjang masa, supaya laluan kecemasan digunakan mengikut perancangan, dan dapat menguji keberkesanan alatan bomba.

Latihan perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Apabila loceng kecemasan dibunyikan, tutup lampu dan kipas. Selepas semua pelajar keluar dari kelas, tutup pintu menandakan tiada pelajar yang masih tinggal.

Di setiap aras ada seorang guru yang akan memantau dan setiap blok ada seorang penyelaras tingkatan yang akan memastikan semua penghuni telah keluar.

Kawasan berkumpul hendaklah 30 meter dari bangunan.

Kesalahan yang akan dipotong markah ialah penghuni tolak-menolak, bersikap acuh tak acuh seperti bercakap dan bergurau semasa berjalan ke tempat selamat dan berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal.

Setelah semua pelajar berkumpul di tempat selamat, panggilan baris hendaklah dilakukan.

Guru kelas hendaklah memanggil nama mengikut buku kedatangan dan akan melaporkan jumlah pelajar yang ada dan tiada dalam barisan kepada pegawai insiden (PKP).

Pegawai insiden hendaklah memberi laporan kebakaran kepada anggota bomba, iaitu jenis kebakaran, headcount semua pelajar dan pelajar yang tiada di tempat perhimpunan.

Pihak bomba akan melakukan proses mencari dan menyelamat setelah menerima maklumat daripada pegawai insiden.

Proses pengungsian bangunan diringkaskan seperti berikut –  tanda kebakaran kelihatan – isyarat kecemasan dibunyikan – tutup kipas, lampu dan pintu – keluar dengan teratur – berkumpul di tempat selamat – berbaris mengikut kelas – guru kelas mengira bilangan pelajar – guru kelas membuat laporan kepada pegawai insiden (PKP) – jentera bomba tiba di lokasi – pegawai insiden membuat laporan kepada anggota bomba – anggota bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat – mangsa ditemui – pasukan bantu mula (PBSM) memberi bantuan awal kepada mangsa – kebakaran berjaya dipadamkan – penggera dimatikan – arahan selamat oleh anggota bomba – demonstrasi alat pemadam api – kawad kebakaran selesai.

Tiada ulasan: