Isnin, 15 April 2019

Teks Ucapan Perasmian Hari Anugerah Kecemerlangan


Bismillahhirrahmanirahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
salam sejahtera, salam Negaraku Malaysia.

Terima kasih pengerusi majlis.

Yang Berusaha Tuan Haji Mohamad Kamaludin bin Taib,
Pengetua SMK Kampong Jawa, Klang,
Yang Berbahagia Puan Anita binti Md. Idris, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa
Yang Dihormati Puan Shuhara binti Abu Hamizan,
Penolong Kanan Kurikulum dan Pentadbiran,
Cik Zarina binti Ismail, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Tuan Haji Muzikir bin Muhammad, Penolong Kanan Kokurikulum,
Barisan guru dan ibu bapa yang budiman
dan murid-murid yang dikasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa kerana sudi mengundang saya ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada ibu bapa yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan hadir ke majlis ini. Terima kasih dan tahniah kepada guru-guru yang berjaya memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti ini. Semoga majlis ini dapat dijadikan asas permulaan anjakan paradigma menjana modal insan yang terbilang.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Sebenarnya, kejayaan seorang pelajar bukan hanya terletak pada usaha dan kesungguhan guru semata-mata. Selain guru yang diumpamakan lilin membakar diri ini, ibu bapa juga perlu mencorakkan masa depan anak-anak mereka. Malah tuan-tuan dan puan-puan, bagi saya faktor yang paling utama kejayaan terletak pada diri pelajar itu sendiri, agar sentiasa mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

Pada kesempatan ini saya ingin melontarkan cabaran kepada murid-murid agar dapat membuktikan bahawa anda mampu meneruskan kejayaan yang lebih gemilang. Berusahalah dengan lebih gigih berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru untuk memperoleh kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah.

Hadirin sekalian,

Saya percaya majlis pada hari ini selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan murid-murid agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Diharapkan semoga program seperti ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengucapkan tahniah  dan  syabas kepada semua murid atas kejayaan anda. Akhir kata, dengan lafaz “Bismillahirahmanirrahim” saya merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan: