Khamis, 15 Mei 2014

Frasa, Pola Ayat, Jenis Kata dalam Artikel Akhbar

1.0  Pendahuluan

Dalam kajian yang dilakukan ini, pengkaji telah memilih artikel yang bertajuk “Hargai Makna Bebas,
Merdeka” yang telah ditulis oleh Prof. Dr. Nasrudin Mohammed dalam Berita Harian bertarikh 19 April
2014.  

Kajian ini akan memfokuskan tentang, jenis-jenis kata, jenis-jenis frasa dan pola ayat dasar yang terdapat
dalam artikel yang dikaji dengan menggunakan beberapa sumber sebagai rujukan bagi melihat dengan lebih
jelas frasa dan kata yang terdapat dalam bahasa Melayu.

2.0  Definisi dan Konsep Frasa

Frasa dianggap oleh Za’ba (1965) sebagai rangkai kata. Menurut Abdullah Hassan (2005: 160), frasa ialah
unsur terkecil dalam bidang sintaksis. Frasa digunakan bagi membina ayat. Dalam tatatingkat unsur bahasa,
frasa adalah unsur yang terkecil dan terletak di bawah unsur yang dipanggil klausa.

Frasa didefinisikan oleh Nik Hassan Basri (2007: 134) sebagai satu kata atau kumpulan kata yang
berpotensi untuk menjadi unit lebih besar atau yang membentuk unit sintaksis bagi sesuatu klausa atau ayat.
Nik Safiah Karim (1996: 416) pula mentakrifkan frasa sebagai unit yang boleh terdiri daripada satu susunan
yang mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang berpotensi untuk
diperluas menjadi dua perkataan atau lebih.

2.1 Frasa Nama

Dalam Tatabahasa Dewan, Nik Safiah menyatakan bahawa frasa nama ialah frasa yang kata utamanya (kata inti) terdiri daripada kata nama, kata nama terbitan atau kata ganti nama (1996: 556). Menurut Abdullah Hassan (2004: 240) pula, frasa nama terdiri daripada jenis-jenis kata nama seperti kata nama am, kata nama khas, kata ganti nama, kata arah, kata tanya, kata bilangan dan penjodoh bilangan.

Frasa nama dengan kata nama sebagai inti dapat diperluas dengan satu penerang atau lebih. Kata penerang ini adakalanya berada di depan, iaitu mendahului kata inti, atau berada pada akhir atau mengikuti kata inti.

Berikut ialah contoh frasa nama yang terdapat dalam rencana:

 lambang kemerdekaan
konteks kenegaraan
perjuangan perajurit
makna kebebasan
sosioekonomi masyarakat Malaysia
paduan semua komponen
kuasa tertinggi pentadbir Inggeris
 jentera pentadbiran pembangunan negara
 kesatuan semangat
 institusi kesultanan

2.2  Frasa Kerja

Menurut Abdullah Hassan (2005: 160), frasa kerja merupakan binaan yang boleh berdiri daripada satu
perkataan atau lebih dan kata intinya ialah kata kerja. Lazimnya, kata kerja boleh terdiri daripada kata kerja
transitif ataupun kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif boleh hadir bersendirian atau diikuti oleh satu
atau sederetan perkataan, manakala kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek serta unsur-unsur lai

Frasa kerja yang di dalamnya terdapat kata kerja sebagai inti dapat diperluas dengan satu penerang atau
lebih. Kata penerang ini adakalanya berada di depan, iaitu mendahului kata kerja inti, atau berada pada akhir
ayat mengikuti kata kerja inti.

Berikut ialah contoh frasa kerja yang terdapat dalam rencana:

bangkit menegakkan hak mereka
menentang mana-mana anasir asing
datang ke negara ini
 tipu muslihat
 menguasai pentadbiran
 berkumpul di Station Hotel
menyentuh sensitiviti kaum
membawa makna kebebasan
menguasai pentadbiran Tanah Melayu
ditadbir melalui pendekatan sangat teliti

2.3  Frasa Adjektif

Menurut Nik Safiah Karim (1996: 385), frasa adjektif merupakan susunan perkataan yang terdiri daripada
satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai kata intinya.
Kata inti merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa adjektif yang dibincangkan ialah
yang berfungsi sebagai predikat dan juga sebagai unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat.
Sebagai unsur keterangan, kata adjektif hadir sesudah kata kerja dan sebagai unsur penerang, kata adjektif
hadir sesudah kata nama. Berikut ialah contoh frasa adjektif yang terdapat dalam rencana:

sangat teliti
berhemah
tidak menentu
mudah
mustahil
bebas
merdeka
tidak menyenangkan
bernilai
kesejahteraan

2.4  Frasa Sendi Nama

Menurut Abdullah Hassan (2005: 153), frasa sendi nama merupakan satu binaan dalam ayat yang terdiri
daripada satu sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi tersebut.
Lazimnya frasa sendi nama terletak di hadapan frasa nama.  Sungguhpun demikian frasa sendi nama juga
boleh didahului oleh kata bantu.  Antara frasa sendi nama yang lazimnya terdapat dalam bahasa Melayu
ialah di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, bagi, hingga,oleh, dengan, sampai, tentang dan
sebagainya. Berikut ialah contoh frasa sendi nama yang terdapat dalam petikan:

daripada institusi kesultanan
di Kuala Lumpur
di Pantai Barat
dari segi pembangunan
dalam alam Melayu
untuk dikecapi
oleh generasi muda
oleh kepemimpinan berwibawa
pada tahap terbaik
hingga ke seluruh pelosok tanah air

2.5  Kata Kerja Sebagai Kata Nama

Bagi menerbitkan kata nama daripada kata kerja, imbuhan apitan pe-…an dan ke-..-an digunakan oleh
penulis. Berikut ialah contoh kata nama terbitan yang berasal daripada kata kerja dan terdapat dalam
petikan:

bangun → pembangunan
hubung → perhubungan
juang → perjuangan
lantik → pelantikan
lancar → pelancaran
percaya → kepercayaan
timbang → pertimbangan
tadbir → pentadbiran
tadbir → pentadbir
tunjuk → petunjuk

2.6 Kata Nama Sebagai Kata Kerja

Bagi menerbitkan kata kerja, sesuatu kata nama perlu diberi imbuhan awalan per-, me-, di-, ter-, ber-; imbuhan akhiran –kan dan –i; apitan me-…-an dan di-…-an. Lihat contoh kata nama yang diberi imbuhan kerja yang terdapat dalam rencana:

atas → mengatasi
bayang → membayangkan
didik → mendidik
gambar → menggambarkan
kuasa → menguasai
f)       pengaruh → mempengaruhi 
      tingkat → meningkatkan
      tempat → menempatkan
i)        umpan → mengumpan
j)        utama → mengutamakan

2.6  Kata Adjektif Sebagai Kata Kerja

Beberapa imbuhan yang dibincangkan dalam menerbitkan kata kerja daripada kata nama dapat juga
digunakan bagi menerbitkan kata kerja daripada kata adjektif. Lihat contoh kata adjektif yang diberi
imbuhan kerja yang terdapat dalam rencana:

asyik → mengasyikkan
baharu → memperbaharu
 mudah → dipermudah
kurang → mengurangkan
perit → diperitkan
sedia → disediakan
takut → menakutkan
tegak → menegakkan
teliti → meneliti
tentu → menentukan

2.7  Kata Adjektif Sebagai Kata Nama

Bagi menerbitkan kata nama, kata adjektif perlu diberi imbuhan sama ada imbuhan awalan pe-, akhiran –an,
apitan ke-…-an, pe-…-an atau per-…an. Semuanya dapat menerbitkan kata nama. Lihat contoh kata
adjektif yang diberi imbuhan kata nama yang terdapat dalam rencana:

dekat → pendekatan
kembang → perkembangan
merdeka → kemerdekaan
mudah → kemudahan
padu → perpadu
selamat → keselamatan
terang → penerangan
luas → peluasan
i)        lanjut → selanjutnya
j)       perkasa → pemerkasaan

3.0  Pola Ayat Dasar

Apabila kita menulis ayat, kita menceritakan tentang sesuatu. Perkara yang diceritakan itu ialah subjek.
Unsur yang boleh menjadi subjek ialah frasa nama. Oleh itu, ada satu sahaja jenis frasa subjek, iaitu frasa
nama. Cerita mengenai sesuatu perkara dalam ayat itu pula ialah predikatnya. Predikat ini boleh terdiri
daripada empat jenis frasa, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi.

Oleh sebab ada hanya satu jenis frasa subjek, dan ada empat jenis frasa predikat, maka terdapatlah empat
pola binaan ayat dasar. Ayat dasar ini juga dipanggil ayat tunggal. Jenis binaan ayat tunggal ini dipanggil pola
ayat. Pola-pola ayat dasar bahasa Melayu adalah seperti berikut:

Pola 1: Frasa Nama + Frasa Nama
Pola 2: Frasa Nama + Frasa Kerja
Pola 3: Frasa Nama + Frasa Adjektif
Pola 4: Frasa Nama + Frasa Sendi

Lihat rajah pohon di bawah berdasarkan contoh ayat yang dipetik daripada rencana.

3.1 Frasa Nama (FN) + Frasa Nama (FN)

                     Dalam konteks kenegaraan, kemerdekaan membawa makna tersendiri.


                           
                           subjek                                                                          predikat



                              FN                                                                                 FN



             Dalam konteks kenegaraan                           kemerdekaan membawa makna tersendiri.


3.2 Frasa Nama (FN) + Frasa Kerja (FK)


Datuk Onn dikatakan memberi kata dua kepada institusi kesultanan.



                          
                           
                           subjek                                                                          predikat



                              FN                                                                                 FK



                       Datuk Onn                          dikatakan memberi kata dua kepada institusi kesultanan





3.3 Frasa Nama (FN) + Frasa Adjektif (FA)

Pada masa ini, perhubungan jalan darat negara ini adalah yang terbaik.



                          
                           
                           subjek                                                                          predikat



                              FN                                                                                 FA


 
Pada masa ini, perhubungan jalan darat negara ini                        adalah yang terbaik 
                                                                                            


3.4 Frasa Nama (FN) + Frasa Sendi (FS)

      Harold MacMichael berjaya menggunakan tipu muslihat
             untuk menguasai pentadbiran Tanah Melayu.



                          
                           
                           subjek                                                                          predikat



                              FN                                                                                 FS


 
         Harold MacMichael berjaya                              untuk menguasai pentadbiran Tanah Melayu
         menggunakan tipu muslihat    

4.0  Kesimpulan

Kesimpulannya, kajian ini diharap dapat memberi kefahaman kepada guru-guru yang mengajar Bahasa
Melayu di sekolah atau pengkaji bahasa Melayu tentang perbezaan perkataan, frasa, klausa dan ayat.
Penggunaan rencana akhbar sebagai bahan kajian dianggap bersesuaian kerana akhbar ialah bahan bacaan
yang paling digemari dan mudah didapati.

Berdasarkan hasil analisis rencana, pengkaji dapat menganalisis setiap jenis kata, frasa dan ayat yang
digunakan oleh penulis rencana. Di sini, frasa dapat dikenal berdasarkan ciri-cirinya, iaitu berpotensi untuk
diperluas, boleh disisipi dengan kata hubung atau kata sendi, tidak mengandungi subjek dan predikat, dan
boleh dipancangkan ke dalam frasa-frasa yang lain. Peluasan frasa sangat produktif untuk menyatakan
konsep-konsep tertentu dan memberi pengertian yang lebih jelas dan terperinci akan sesuatu perkara.

BIBLIOGRAFI


Abdullah Hassan. 2005. Linguistik Am. Bentong: PTS Publications.

Abdullah Hassan et al. 2005. Sintaksis. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.

Ahmad Khair Mohd Nor. 2003. Tatabahasa Melayu Mesra Pengguna. Kuala Lumpur: Utusan Publications.

Asraf. 2011. Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

Nik Hassan Basri. 2007. Komsas dan Tatabahasa Melayu. Kuala Lumpur: Icon Region Sdn. Bhd.

Nik Safiah Karim et al. 1996. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Za’ba. 1965. Pelita Bahasa Melayu Penggal 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Khamis, 20 Mac 2014

Teks pengerusi Majlis Tilawah Al-Quran MTQ


Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum WBT.

Yang dihormati barisan panel hakim, guru-guru pengiring, yang dikasihi peserta pertandingan Majlis Tilawah Quran peringkat daerah Klang bagi tahun 2014.

Alhamdulillah, setinggi ucapan syukur kita  panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, pada pagi ini kita dapat bersama-sama untuk Majlis Tilawah Quran Peringkat Daerah Klang bagi tahun 2014.  Saya bagi pihak jawatankuasa pengelola pertandingan mengalu-alukan kehadiran  tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Sebelum kita menyaksikan pertandingan, izinkan saya memperkenalkan barisan hakim yang akan mengendalikan pertandingan kita pada hari ini.

Diperkenalkan
1. Ustaz Mohd Nor b. Abd. Rahman selaku ketua juri. Seterusnya
2. Ustaz Munir selaku hakim taranum.
3. Ustaz Ahmad Ridzaki selaku hakim fasohah.
4. Ustazah Radziah selaku hakim tajwid, dan
5. Ustazah Siti Asmah selaku hakim suara.

Sebelum memulakan acara, saya mempersilakan Ustaz Mohd Nor untuk memberi sedikit taklimat kepada peserta.

Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Mohd Nor atas taklimat itu tadi.

Tanpa melengahkan masa, saya mempersilakan peserta pertama iaitu Adik Mohd Rifqi b. Shaari. Surah yang akan dibaca ialah Surah Al-Hajj.

Begitulah tadi bacaan Surah Al-Hajj oleh Adik Mohd Rifqi.

2. Seterusnya, ______________________________
3. Seterusnya, ______________________________
4. Seterusnya, ______________________________
5. Seterusnya, ______________________________
6. Seterusnya, ______________________________
7. Seterusnya, ______________________________
8. Seterusnya, ______________________________
9. Seterusnya, ______________________________

Demikian tadi bacaan oleh semua peserta. Kita akan berhenti rehat seketika untuk memberi laluan kepada barisan hakim membuat pengiraan markah.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh 

Rabu, 19 Mac 2014

Doa sempena majlis persaraan dan perpisahan

Bismillahirrahmanirrahimm, alhamdulillahi rabbil 'alamin, wassolatu wassala muala asyrafil ambiya iwal mursalin, waala alihi wasahbihi ajma'in.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, segala pujian hanya bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada rasul junjungan

Ya Allah, bagi-Mu segala puji, kurniakanlah kami lisan yang lembut dan basah, mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar, mensyukuri nikmat-Mu, serta badan yang ringan, menyempurnakan perintah-Mu.

Ya Munzilar Rahmat Ya Fatihal Barakat,
Rahmatilah majlis kami pada malam ini, tautkanlah ukhuwah kami, kuatkanlah silaturahim dalam kalangan kami, padukanlah tenaga dan usaha kami, mudahkan urusan kami, berilah kami kekuatan semangat, tidak berputus asa, bersungguh-sungguh dan rajin untuk memikul tanggungjawab sebagai pendidik yang meninggikan syariat-Mu.

Ya Allah, Ya Aalim, Ya Qaadhial Hajat,
ampunkanlah dosa-dosa kami; sesungguhnya kami lemah dalam sendirian, maka kuatkanlah kami dalam amal jemaah dan kolektif; sesungguhnya kesabaran kami punya batasnya, maka kurniakanlah kami nikmat kesabaran seumpama sabarnya Nabi-nabi Ulul’azmi, sesungguhnya kami amat cenderung untuk mengutamakan diri kami, maka didiklah hati kami untuk mengutamakan keperluan saudara-saudara seagama kami, sesungguhnya hati kami juga sentiasa berbolak balik, maka satukanlah hati kami dalam menegakkan agama-Mu.

Ya Allah, Yang Menunjuki yang tersesat dan Yang Mengembalikan yang hilang, kami memohon kepada-Mu, lindungilah semua penumpang di dalam pesawat MH370, kembalikanlah mereka kepada kami dengan selamat, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu, dan Maha Penerima segala permintaan.

Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah pertemuan ini sebagai pertemuan yang dirahmati, dan jadikanlah perpisahan ini sebagai perpisahan yang diberkati.

Rabbana atina fiddunnya hasanah, wafil a khirati hasanah, waqina azab bannar, walhamdulillahirabbil alamin.

Doa Kursus LADAP

Bismillahirrahmanirrahimm, alhamdulillahi rabbil 'alamin, allahumma solli wasallim 'ala saiyidina muhammadiw waala alihi wasahbihi ajma'in.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, segala pujian hanya bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada rasul junjungan.

Ya Allah,
bagi-Mu segala puji, kurniakanlah kami lisan yang lembut dan basah, mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar, mensyukuri nikmat-Mu, serta badan yang ringan, menyempurnakan perintah-Mu.

Ya Rahman, Ya Rahim
kami bersyukur kerana Engkau mengizinkan kami, menghadirkan diri, emosi dan roh kami, sesungguhnya, pada hari ini kami berhimpun dalam Majlis LADAP, bagi menyatakan kesungguhan, komitmen dan iltizam kami, untuk membangun, membina dan memartabatkan anak bangsa supaya berbudi, berguna dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Ya Munzilar Rahmat Ya Fatihal Barakat,
berkatilah pertemuan kami, berkatilah usaha kami, ilhamkanlah dalam minda kami, idea yang bernas, pandangan yang jelas dan keputusan yang waras, kurniakanlah kepada kami limpahan ilmu yang berguna, dan kefahaman yang benar, satukanlah hati kami, eratkanlah silaturahim dalam kalangan kami, padukanlah tenaga dan usaha kami, untuk memartabatkan pendidikan negara secara bersama, mudahkan urusan kami untuk mendidik anak murid kami, berilah kami kekuatan semangat, tidak berputus asa, bersungguh-sungguh dan rajin untuk memikul tanggungjawab ini.

Ya Qaadhial Hajat,
ampunkanlah dosa-dosa kami; sesungguhnya kami lemah dalam sendirian, maka kuatkanlah kami dalam amal jemaah dan kolektif; sesungguhnya kesabaran kami punya batasnya, maka kurniakanlah kami nikmat kesabaran seumpama sabarnya Nabi-nabi Ulul’azmi; sesungguhnya kami amat cenderung untuk mengutamakan diri kami, maka didiklah hati kami untuk mengutamakan keperluan saudara-saudara seagama kami, seperti Kekasih-Mu mendidik para sahabat baginda berbuat demikian; sesungguhnya hati kami juga sentiasa berbolak balik, maka satukanlah hati kami dan berikanlah kami ruang dan masa untuk bantu-membantu, dalam menegakkan agama-Mu.


Rabbana atina fiddunnya hasanah, wafil a khirati hasanah, waqina azab bannar, walhamdulillahirabbil alamin.

Isnin, 24 Februari 2014

Teks ucapan majlis perasmian penutupan rasmi perkhemahan kadet bomba


Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam 1Malaysia,
Terima kasih saudara dan saudari pengacara majlis,
Yang Berbahagia En. Mohd Khudzari b. Mohd Nor, Penyelia Kokurikulum PPD Klang,
Yang Berbahagia Pengetua SMK Tengku Idris Shah, Tuan Haji Najib b. Ayob,
Yang Berusaha Encik Zaidi b. Bidin, Komandan Kem,
Barisan Guru Pengiring,
Pegawai-pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Klang;
Para kadet bomba yang diraikan serta hadirin yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapatlah kita semua berhimpun dalam Majlis Penutupan Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Peringkat Daerah Klang Tahun 2014 dengan sambutan penuh mesra dan meriah ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama warga Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya di daerah Klang ini dan pihak jabatan bomba dalam menjayakan perkhemahan ini yang telah berlangsung selama 3 hari bermula sejak hari Sabtu yang lalu. Secara peribadinya, saya amat berpuas hati dan bangga dengan komitmen semua pihak yang bersama-sama menjayakan perkhemahan tahun ini sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan perkhemahan ini berjalan dengan lancar.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Perkhemahan Integrasi Kadet Bomba ini diatur dan dijadikan sebagai acara tahunan bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah Klang. Salah satu tujuan perkhemahan ini diadakan adalah sebagai aspirasi dan inspirasi jabatan agar matlamat melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing dan berdisiplin tinggi akan terlaksana.

Kadet-kadet sekalian,

Kita hendaklah sentiasa cemerlang dalam apa juga bidang yang diceburi. Jika kita kurang ilmu, mempunyai nilai peribadi yang rendah, dan sering melanggar disiplin sekolah, ia akan membawa kepada keruntuhan negara pada masa hadapan. Oleh itu, peliharalah akhlak dan disiplin anda sepanjang masa bagi menjamin keutuhan dan kecemerlangan anda sebagai pelajar. Saya juga berharap kadet-kadet memanfaatkan ilmu yang dipelajari daripada perkhemahan ini. Segala pengalaman yang anda lalui selama tiga hari di sini adalah untuk tujuan pendidikan dan pembangunan kerjaya sebagai seorang pelajar. Saya mengucapkan selamat maju jaya dalam bidang yang diceburi. Saya percaya, kadet-kadet telah didedahkan dengan pelbagai ilmu secara teori dan praktikal untuk membolehkan kita menjadi warga yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Tuan-tuan, puan-puan serta para hadirin sekalian

Saya berasa amat gembira kerana program ini berjalan dengan lancar tanpa banyak masalah serta terhindar daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Saya percaya, kejayaan ini disumbangkan berkat kerjasama daripada semua pihak sehingga dapat memastikan perkhemahan ini berjalan dengan baik dan sempurna.  Insya-Allah, segala bakti yang telah dicurahkan untuk sama-sama melahirkan generasi cemerlang ini akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya bagi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program perkhemahan kadet bomba peringkat daerah pada tahun ini. Dengan lafaz “bismillahhirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penutupan Perkhemahan Kadet Bomba Daerah Klang tahun 2014.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah,  wasalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Isnin, 22 April 2013

Teks Pengacara Majlis Penutupan Perkhemahan Kadet Bomba Daerah Klang 2013

Semua kadet diminta bersedia. Diumumkan ketibaan Penguasa Bomba dan Penyelamat Daerah Klang, Tuan Mustakim b. Rimon. 
Tuan Mustakim akan membuat pemeriksaan perbarisan, semua kadet diminta bersedia.
Diumumkan ketibaan Pn. Hjh Adliah bt. Ramli, Pegawai Pelajaran Daerah Klang.
Alhamdulillah. Dipanjatkan kesyukuran, kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya kita diberikan kekuatan untuk berhimpun dalam Majlis Penutupan Rasmi Kem Integrasi Kadet Bomba 2013 Daerah Klang.  Semoga majlis ini menjadi bertambah meriah, penuh cemerlang dan membawa seribu makna kepada kita semua.
Majlis mengalu-alukan kehadiran Yang Setia Penguasa Bomba Daerah Klang, Tuan Mustakim b. Rimon dan Penyelia Kokurikulum PPD Klang, Yang Berbahagia Pn. Hjh Adliah bt. Ramli ke Majlis Penutupan Rasmi Kem Integrasi Kadet Bomba 2013 Daerah Klang.
 Hadirin hadirat sekalian,
Kem Integrasi Kadet Bomba bermatlamat untuk memupuk semangat dan menggilap potensi diri para pelajar. Kem sebegini juga dapat meningkatkan kekuatan dari segi fizikal dan mental pelajar untuk mengharungi pelbagai cabaran yang akan datang.
Bagi memulakan majlis pada hari ini, semua hadirin diminta berdiri bagi menyanyikan lagu Negaraku, dan lagu Kadet Bomba dan Penyelamat.
 Sebagai tanda syukur bahawa kem ini berjalan dengan jayanya, dengan hormatnya dipersilakan al-fadil Ustaz Muaz b. Hassan untuk memimpin bacaan doa.
Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Pengetua SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Pn. Hjh Rohayah untuk menyampaikan ucapan alu-aluan.
Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Penguasa Bomba Daerah Klang, Tuan Mustakim b. Rimon bagi menyampaikan ucapan. Dipersilakan.
Majlis merakamkan terima kasih atas ucapan oleh Tuan Mustakim sebentar tadi.
Majlis menjemput Pn. Hjh Adliah bt. Ramli, Pegawai PPD Klang bagi menyampaikan ucapan. Dipersilakan.
Terima kasih diucapkan kepada  Pn. Hjh Adliyah atas ucapan tadi. Kini, tibalah masa yang dinanti-nantikan.
Majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan En. Khudzari diiringi Pn. Hjh Rohayah menjemput dan mengiringi Pn. Hjh Adliyah bagi menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Penyampaian hadiah dimulakan dengan pemenang bagi kategori Kawad Operasi Kering.
Lelaki
1.      Kumpulan 4
2.      Kumpulan 6
3.      Kumpulan 9
Perempuan
1.      Kumpulan 1
2.      Kumpulan 3
3.      Kumpulan 5
Aspect Challenge
Lelaki
1.      Kumpulan 8
2.      Kumpulan 5
3.      Kumpulan 9

Perempuan
1.      Kumpulan 4
2.      Kumpulan 2
3.      Kumpulan 9

Cadet Challenge
1.      Kumpulan 3
2.      Kumpulan 1
3.      Kumpulan 4
Kawad Kaki

1.      Kumpulan 6
2.      Kumpulan 9
3.      Kumpulan 5

Ikatan dan Simpulan
1.      Kumpulan 3
2.      Kumpulan 4
3.      Kumpulan 2
Kuiz
1.      Kumpulan 2
2.      Kumpulan 5
3.      Kumpulan 1
Kadet Lelaki Terbaik
Mohd Izzat Khair b. Mohd Hisamudin dari SMK Sultan Abdul Samad
Kadet Perempuan Terbaik
Zety Arfah bt. Saharudin dari SMK Teluk Gadong
Pasukan Kadet Terbaik Keseluruhan menjadi milik
Kumpulan 4.

Dipersilakan jurulatih pasukan Kumpulan 4 menerima hadiah.
Urus setia turut memilih pemenang bagi kategori jurulatih terbaik dan guru pengiring terbaik . Jurulatih terbaik diberikan kepada Pegawai Bomba Mohd Faizal b. Samsudin. Guru pengiring terbaik diberikan kepada Pn. Maziani bt. Ismail dari SMK Tinggi Klang.
Sebagai tanda terima kasih juga, majlis mempersilakan komandan kem bagi menerima cenderamata. Dipersilakan En. Mohd Faiz b. Nazmi.
Dipersilakan Timbalan Komandan En. Shayuty.
Dipersilakan Timbalan Komandan Cik Juliana.
 Majlis menjemput En. Lim Boon Leong sebagai wakil guru pengiring untuk menerima sijil penghargaan. Dipersilakan

Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, majlis menjemput wakil
Balai Bomba Sungai Pinang,
Dipersilakan wakil Balai Bomba Kota Raja,
Dipersilakan wakil Balai Bomba Pelabuhan Klang,
Dipersilakan wakil Balai Bomba Sri Andalas,
Dipersilakan wakil Balai Bomba Zon Klang. 
 Majlis sekali lagi mempersilakan Pn. Hjh Rohayah bagi menerima cenderamata penghargaan sebagai tuan rumah daripada Pejabat Pelajaran Daerah Klang. Dipersilakan.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Terima kasih diucapkan kepada Pn. Hjh Adliyah bt. Ramli yang sudi menyempurnakan upacara penyampaian hadiah sebentar tadi.
Sebagai tanda terima kasih, majlis mempersilakan Pn. Hjh Rohayah, Pengetua SMK Bandar Baru Sultan Suleiman bagi menyampaikan cenderamata kepada Penguasa Bomba Daerah Klang, Tuan Mustakim b. Rimon. Dipersilakan.

Majlis turut mempersilakan  Pegawai Pelajaran Daerah, Pn. Hjh.  Adliyah bagi menerima tanda kenang-kenangan daripada pihak penganjur.  Dipersilakan.
Terima kasih Pn. Hjh Rohayah atas penyampaian cenderamata itu tadi.
Dari Rokan ke Inderagiri
Membawa tinta ke Kuala Linggi
Pulanglah tuan rehatkan diri
Lain kali bersua lagi.
Majlis berakhir di sini. Tahniah diucapkan sekali lagi kepada semua para pemenang. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Kem Integrasi Kadet Bomba dan Penyelamat 2013 Daerah Klang. Sekian, assalamuaikum wbt.

Teks Ucapan Perasmian Majlis Penyampaian Hadiah Minggu Bahasa

Bismillahirahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam perpaduan dan salam 1Malaysia. Terima kasih Pengerusi Majlis. Yang Berbahagia Encik Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG, Yang Berbahagia Tuan Haji Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa, Yang Berusaha Puan Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Kurikulum, guru-guru serta para pelajar yang saya kasihi sekalian.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kerana mengundang saya ke Majlis Penyampaian Hadiah sempena Minggu Bahasa 2013. Aktiviti yang dijalankan ini amat berfaedah kepada pelajar-pelajar untuk menyerlahkan bakat dan potensi masing-masing. Semoga aktiviti yang bermakna ini dapat dijadikan asas permulaan bagi menjana modal insan gemilang dan terbilang.

Guru-guru dan pelajar yang dikasihi sekalian,
Peranan guru amat penting dalam membentuk dunia seseorang pelajar. Peranan guru sebagai pendidik, pembimbing dan rakan kepada pelajar berupaya meyakinkan seseorang pelajar terhadap masa depannya. Jika pelajar diberikan keyakinan diri, kepercayaan dan sokongan untuk berfikiran positif tentang diri dan masa depannya, maka laluan yang ada akan menjadi lebih mudah, tetapi jika pelajar ini sering diperlekeh dan dipandang rendah, maka kita akan menjadikannya seorang yang sangat lemah dan sukar menghadapi cabaran hidup pada masa depan.

Namun, pada masa yang sama, pelajar sendiri harus bijak menggunakan peluang yang ada. Kita harus bijak mendapatkan maklumat dan paling penting berminat dengan ilmu pengetahuan untuk melihat dunia masa depan yang luas terbentang. Yang terbaik hanya dapat diperoleh melalui kerja keras. Yang terbaik hanya dapat dicapai melalui usaha berterusan memanfaatkan apa-apa sahaja yang ada di hadapan kita.

Itulah sebenarnya yang saya percaya dan yakini selama ini, bahawa kita boleh berjaya selagi kita berusaha. Biar sehebat mana pun sekolah tidak akan mampu mengubah kita dan masa depan yang akan kita tempuhi jika kita sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya. Saya fikir SMK Kampong Jawa bukan sahaja bertunjangkan kepada kekuatan guru-gurunya, tetapi bergantung kepada komitmen dan jiwa pelajar yang berada di dalamnya untuk mengukir kejayaan yang diingini.

Guru-guru dan pelajar yang saya hormati sekalian,
Saling menghormati, saling menyayangi dan saling berganding bahu perlu untuk mencapai kehidupan yang lebih baik untuk masa depan kita semua. Orang luar akan melihat dan menghormatinya, bukan hanya kita yang melihat orang luar dan mencontohi mereka. Malangnya, kita sering melihat kejayaan di luar, dan cuba mencontohinya kerana fikir itulah yang terbaik, sedangkan kita lupa, kita ada nilai-nilai yang lebih baik untuk dicontohi dan dikagumi oleh orang lain di luar sana.

Akhir sekali, terima kasih kerana memberikan penghormatan ini kepada saya. Saya berharap agar SMK Kampong Jawa akan terus menjadi pemangkin untuk membangunkan generasi Malaysia yang berdaya saing, berilmu tinggi, dihormati dan disegani. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah sempena Minggu Bahasa 2013.

Sekian, terima kasih.

Khamis, 2 Julai 2009

Kelantan No.1

Negeri Kelantan kaya dengan adat. Sehingga sekarang masih dapat dilihat dan dihayati kesan peninggalan kebudayaan yang tinggi nilainya itu. Awal kurun XIX, Abdullah Munshi melawat Kelantan, banyak hal menarik khususnya hal berkaitan dengan kebudayaan ditulis oleh beliau. Lapangan kesusasteraan yang berhubung dengan manuskrip amat terang dinyatakan. Alam kesenian juga dinyatakan begitu baik pelaksanaannya. Permainan seumpama menora , makyung, wayang kulit dan tarian amat maju masa itu. Tiap pembesar negeri amat mengambil tahu akan hal2 permainan tradisi ini sehingga sanggup mengadakan kumpulan khas. Antara permainan tradisi rakyat Kelantan zaman dahulu ialah:

1. Makyung
2. Menora
3. Asyik
4. Joget
5. Wayang kulit Kelantan/Siam
6. Topeng (Tarian joget memakai topeng di depan panggung wayang melayu pada sebelah pagi )
7. Rebana kercing
8. Rebana riba
9. Rebana ubi
10. Rebana besar
11. Rebana mangkuk
12. Tari inai
13. Belaga kukoran
14. Gasing pangkah/uri
15. Main peteri
16. Bageh
17. Ulek banda
18. Ulek bubu
19. Wau
20. Main choh
21. Sepak raga tinggi
22. Sepak bulu ayam
23. Golek para
24. Tikam seladang
25. Gajah/Raja patah
26. Kertok
27. Lokan bertepuk
28. Selampit
29. Silat tari
30. Silat tongkat
31. Dikir laba
32. Dikir barat

Khamis, 18 Jun 2009

Pertunangan

Pertunangan berasal dari bahasa Melayu yang memiliki kesamaan erti dengan khitbah dalam Bahasa Arab atau dikenal dengan istilah meminang. Pertunangan atau khitbah atau pinangan, iaitu satu ikatan perjanjian yang berlaku antara pihak lelaki dan pihak perempuan untuk mendirikan rumah tangga.

Khitbah dimaksudkan untuk menutup kesempatan bagi pria lain meminang perempuan yang telah dipinang. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak halal bagi kamu penjualan di atas penjualan orang lain, dan tidak halal bagimu pertunangan di atas pertunangan orang lain”.

Sejarah pertunangan dilitirekan oleh Yunani. Sebelum menikah, masyarakat Yunani biasa melakukan pertunangan. Dalam hal ini, seorang pria meminta wanita yang dicintainya pada ayah sang wanita untuk dinikahi. Ketika kedua-dua belah pihak menyepakati pernikahan itu, dipanggilah pendeta untuk memberkati cincin pertunangan dan menyematkannya di jari manis kiri masing-masing pasangan. Kemudian para tamu menyambut kebahagiaan tersebut dengan mengucapkan “Kala stephand” (mahkota baik, semoga pernikahannya baik).

Dalam Islam, pertunangan pertama kali dilakukan pada masa jahiliyah. Imam Bukhari meriwayatkan melalui Aisyah ra., bahawa pada masa jahiliyah dikenal empat macam pernikahan. Pertama, pernikahan sebagaimana berlaku kini, dimulai dengan pinangan kepada orang tua atau wali, lalu membayar mahar dan menikah. Kedua, seorang suami memerintahkan istrinya untuk menikah dengan orang lain guna memperoleh keturunan yang baik. Apabila telah hamil, ia kembali pada sang suami untuk digauli lagi. Ketiga, sekelompok laki-laki kurang dari 10 orang menggauli satu wanita. Bila wanita itu hamil dan melahirkan, ia memanggil sekelompok laki-laki tadi dan menunjuk satu antara mereka untuk memberi nama pada sang anak. Keempat, hubungan seks yang dilakukan oleh seorang pelacur. Sang pelacur memasang tanda di depan pintu rumah mereka dan bercampur dengan siapapun.

Setelah Islam datang, cara-cara pernikahan yang kedua, ketiga, dan keempat tersebut dilarang. Cara pernikahan pertama yang dibolehkan dalam Islam. Di sinilah mulai dilestarikan budaya pertunangan atau khitbah.

Pertunangan dimaksudkan untuk membuka ruang antara pasangan untuk saling mengenal sebelum menikah, baik dari segi lahiriah mahupun batiniah. Dari Mughirah bin Syu’bah berkata, “Aku pernah melamar seorang wanita. Lalu Nabi SAW bersabda, “Lihatlah ia, kerana yang demikian itu akan merapatkan kasih sayang antara kalian berdua” (HR. Nasa’I, Ibnu Majah dan Tirmidzi). Dalam hal ini jumhur ulama membatasi anggota tubuh yang boleh dilihat, iaitu wajah dan kedua-dua tapak tangan.

Pertunangan hanya sebatas perjanjian untuk mengadakan pernikahan dan tidak mewujudkan pernikahan tersebut. Ertinya, masing-masing pihak berhak untuk membatalkan. Namun bila tidak ada alasan yang tepat, maka kedua belah pihak dilarang membatalkannya. “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian-perjanjian kamu” (QS. 5: 1). Dalam hal ini, pihak yang diputuskan dapat meminta ganti rugi pada pihak yang memutuskan.
Bagi pasangan yang ingin melangsungkan pertunangan, sukacita Cikgu ingin berkongsi pengalaman semasa bertunang dulu. Cikgu bertunang secara bersederhana. Antara hantaran yang dibawa oleh Cikgu ialah:
1. Cincin berlian (RM1500.00)
2. Kain batik (RM150.00)
3. Kain pasang (RM100.00)
4. Tuala (RM20.00)
5. Buah anggur (RM50.00)
6. Kek (RM50.00)
7. Pulut semangat

Jumaat, 15 Mei 2009

Piala Diraja Kedah 2009



Cikgu bersama rakan seperjuangan ketika menjadi krew bagi Kejohanan Tomoi Antarabangsa Piala Diraja Kedah pada 8 & 9 Mei 2009.

Khamis, 14 Mei 2009

Bengkel Apresiasi Puisi

Pada 12 & 13 Mei yang lalu, Cikgu telah mengikuti Bengkel Apresiasi Puisi di Institut Pendidikan Guru - Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai. Kursus ini diadakan bagi memberi pendedahan lebih luas kepada guru tentang kaedah penghayatan seloka, gurindam, pantun, sajak dan syair. Seramai 30 orang guru dari seluruh Selangor dan Kuala Lumpur terpilih mengikuti bengkel ini.
Cikgu Kacak yang kacak
Ketika berlakon sebagai Sultan Mahmud

Cikgu berbalas pantun dengan Cikgu Izwan

Kumpulan 1 sedang menyumbangkan Syair Siti Zubaidah

Kumpulan 2 memanggil hujan dengan mendendangkan Seloka Pak Kaduk

Kumpulan 3 membuatkan cicak terjatuh kerana bertepuk tangan

Kumpulan 4 membuatkan katak pun malu apabila menyanyikan Gurindam 12

Kumpulan 5 (kumpulan Cikgu) dikatakan layak bertanding dalam Akademi Pentasia-sia

Cikgu bersama ahli kumpulan

Peserta diminta melagukan nazam

Kumpulan 1 diminta berdiri kerana tidak menyiapkan kerja sekolah

Semua peserta sedang memanggil hujan

Kumpulan 3 melagukan syair seperti katak memanggil hujan