Ahad, 14 September 2008

Surat Cinta Lawak

Dalam kesuraman ultra lembayung tika tujuh bulan menumpahkan cahaya di bawah kaki langit khirmizi, tiba-tiba aku terkenangkan eurika nostalgia cinta lama yang kita palitkan berdua. Kehadiranmu bersama molekul-molekul hidrogen menerjang segala kekusutan yang membelit tali perutku. Dan kehadiranmu itu mengajar aku erti rindu elora dan shahdu. Kau juga mengajarku erti cinta, singa laut, beruang kutub, penguin, kambing salji, mee rebus, cendol, koridor, kotak pensil, tali kasut dan pasu bunga. Kala itu, kita bagaikan Nobita dan Sizuka.

Kau dan aku umpama Kurt Cobain dan Rafeah Buang yang tidak dapat dipisahkan. Malangnya percintaan yang mendapat liputan meluas hingga ke planet Ziku itu telah mengundang perpisahan yang akhirnya telah mengecewakan seluruh penternak lipan di Burma. Kau pergi jua ketika Kuala Lumpur sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998.

Sesungguhnya perpisahan itu berpunca daripada penebangan pokok getah secara besar-besaran di Lembah Klang. Pemergianmu menyebabkan aku menghidap penyakit resdung dan hepatitis-Q secara mengejut.

Ketiadaanmu memaksa aku memakai topi keledar setiap masa sebagai langkah keselamatan. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Aku bagaikan tergelincir dari orbit bumi dan terpelanting ke ruang angkasa, apabila daya tarikan graviti terhadapku tiada lagi berfungsi setelah aku tersungkur dalam percintaan yang berlarutan hingga ke rubber-set.

Seluruh perjalanan hidupku menjadi gelita bagaikan terperangkap di dalam gua yang gelap dan ditemani stalagtit dan stalagmit yang bagai sembilu. Kondominium cinta yang kita bina dari makgat basikal dan kipas helikopter akhirnya musnah setelah kau berpaling tadah. Ternyata sikapmu mulai berubah bila Malaysia mula melancarkan satelit MEASAT-1 ke ruang angkasa raya.

Sejak itu kau sering melarikan diri bila terserempak dengan abang iparku. Akhirnya aku menyedari bahawa diri ini tidak diperlukan lagi. Sejak kau tiada, aku sering menyendiri berbual-bual dengan pokok betik untuk mengisi masa lapang. Kadang-kadang aku mengikat botol oren pada tiang rumah agar nampak lebih cantik.

Saban hari aku termenung di dalam peti sejuk mengenangkan dirimu yang entah ke mana menghilang. Aku cuba bermain badminton sambil makan mi hailam untuk melupakanmu, tetapi aku tak berdaya. Lalu aku membakar mesin basuh dan membelasah empat ekor itik serati jiran sebelah sebagai tanda aku tidak bersalah.

Mengapa? Mengapa sayang? Mengapa ini semua bisa terjadi? Mengapa setelah kau curi hatiku, kau rompak cintaku lantas kau bunuh cintaku sehingga aku terbunuh dalam kemalangan cinta yang ngeri. Aku bagaikan terhimpit dan dihimpit oleh guni-guni batu yang kau timpakan di atas belakangku.

Derita yang kau timpakan itu adalah bebanan yang terlalu berat untuk kutanggung bagaikan mendukung 75 ekor biawak dan 386 ekor anak beruk. Dan kini segala harapanku hancur berkecai bagaikan aku terjatuh dari Menara Kuala Lumpur dan dihempap oleh Menara Berkembar Petronas lalu tersangkut di celah landasan LRT, digilis keretapi Komuter malah dihempap seketul tayar Monorel hingga aku hancur berkecai.

Oh! terlalu berat dugaan yang kutempuhi kini. Kini segalanya telah pun berakhir. Aku sedar siapa aku. Aku hanya insan biasa yang suka makan mi segera. Aku bukan McGyver, McDonald's, Superman atau Kesatria Baja Hitam. Aku juga bukanlah Ultraman seperti yang kau idam-idamkan.

Aku menyedari kekurangan diri dan kekurangan kemudahan awam di tempat sendiri. Tak perlu dikesali lagi kerana nasi telah menjadi capati dan tin sardin yang kugenggam ini telah pun luput tarikhnya. Segalanya sungguh mengharukan dan semua hadiah pemberianmu termasuk enjin kapal selam telah pun aku cincang untuk dibuat makanan lembu.Walaupun segalanya telah pun berakhir, di sini, di atas pokok getah ini aku tetap menunggu kau akan kembali.

Selagi ada nafas ini, selagi ada kompleks membeli-belah SOGO, selagi ada kedai kasut selipar di sekitar Argentina, selagi kumpulan Metallica tidak berpecah, aku tetap menunggumu sehinggalah mentari terbelah lapan.

Namun aku menyedari bahawa penantianku hanyalah sia-sia belaka. Akhirnya aku mengambil keputusan muktamad untuk menunggu tiang elektrik di hadapan rumahku berbuah. Kalau tiang elektrik berbuah nanti, aku poskan buahnya kepadamu.

Famili Ceria, Keluarga Bahagia Singer


Jawatankuasa Pembestarian Sekolah

Penasihat:
Pn. Laila binti Ibrahim (Pengetua)
Pengerusi:
Pn. Latifah binti Ahmad (Penolong Kanan Kurikulum)
Pn. Junaidah binti Suhadi (Penolong Kanan Petang)
Setiausaha:
Y.M. Raja Ahmad Talmizi Raja Abdullah (Penyelaras)
Ahli Jawatankuasa:
Pn. Norhayati binti Ismail (Ketua Bidang Bahasa)
Pn. Rahimah binti Jalil (Ketua Bidang Kemanusiaan)
Pn. Ter Bee Ser (Ketua Bidang Teknik & Vokasional)
Pn Paridah binti Mokhtar (Ketua Bidang Sains & Matematik)
Semua Ketua Panitia Mata Pelajaran
Semua Penyelaras Mata Pelajaran
Penyelaras Makmal Komputer
Penyelaras SPBT

Tomoi

Pain is temporary, pride is forever

Mari bercerita

Ada empat orang sedang menunggu lif. Seorang doktor, seorang jurutera, seorang peguam dan seorang lagi pak tabligh. Tengah-tengah boring tunggu lif itu, datang seorang awek cun yang sangat seksi. Apabila lif sampai, semua orang pun naik lif itu. Dalam masa lif itu hendak naik ke atas, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Lif itu pun berhentilah dengan tiba-tiba dalam keadaan gelap-gelita. Dalam keadaan ’black-out’ itu, mulalah ada salah seorang daripada mereka yang gatal nak buat kurang ajar dengan perempuan seksi itu. Puas dia meraba perempuan itu dalam gelap. Tiba-tiba elektrik dah ada semula. Perempuan itu pun tengok kat si jurutera. Lepas itu ke arah si doktor, peguam dan juga pak tabligh. Dengan geramnya, perempuan itu pun bagi pak tabligh satu penampar yang teramat kuat. ”Hei tua-tua bangka pun ada hati nak meraba lagi tu!,” jerit perempuan seksi sambil menunjukkan peumbuknya ke arah muka pak tabligh.
Mengapa perempuan itu benar-benar yakin yang pak tabligh itu yang buat onar?

Jawapan:
Ini kerana pak tabligh tu seorang je lelaki di dalam lif itu.

Mahaguru


Kukuh Insan Molek Peribadi
Itulah Sifat Pahlawan Sejati
Pertahan Negara Sepenuh Hati
Kerana Allah Sanggup Mati

Muay Boran Weapon


MAE SUN SOWKS is a ground level weapon, made of hard wood or bone. They come in pairs, each one you wear it on the outside part of your forearm. The weapon is used to attack as well as to block. Because it is a close range weapon you can use it very well in close combat.

Sabtu, 13 September 2008

Sang Kacak Kembali

Cikgu semasa dikelilingi bekas awek-awek di majlis reunion Persatuan Bekas Awek Raja (Exaraj) di Pulau Pangkor.

Kelapa atau mutiara

Apabila kamu berkawan dengan lelaki, ingatlah ada dua pilihan terbentang. Yang pertama, kamu jadi seperti kelapa, mudah diperoleh, diparut, diperah dan diambil santannya. Selepas itu hampasnya dibuang. Yang kedua, kamu menjadi sebutir mutiara. Berada di dasar lautan, tersimpan rapi. Dilindungi kulit, bukan senang nak melihat, apa lagi mendapatkannya. Hanya orang yang bertuah berusaha menyelami dasar lautan dapat memperolehnya. Harganya mahal sekali. Dan ia akan tersimpan selamanya. Jadi, kamu pilihlah sama ada hendak menjadi kelapa ataupun mutiara. Di sebalik santan, menjadi penyedap makanan, diperah segala kenikmatan, dengan mudah jatuh menjadi titisan akhirnya habis kari dimakan, pulut panggang sisa habis ditelan dan santan hilang tak jadi ingatan. Yang terasa lazat hanya kari dan pulut panggang. Orang tak kenang jasa santan. Mutiara tertanam di dasar yang paling dalam. Sukar andai mengharap jadi perhatian kerana dilapisi kulit yang keras namun kiranya ditemui insan akan menjadi permata hiasan, terletak tinggi di cincin idaman atau di leher nan jinjang atau di lengan menawan, makin lama mutiara tertanam, makin tinggi nilaian. Oleh itu, tentukan yang mana satu pilihan. Menjadi santan, mudah jadi perhatian tapi hanya sebentar jadi santapan kemudian hilang segala nikmat dan pujian. Menjadi mutiara sukar ditemukan, namun bila dihias indah gadis perawan, hilang ia tangisan mengiringi berzaman.

Cerita Cinta

Pada zaman dahulu, ada seorang pahlawan yang sangat mencintai seorang puteri raja. Setiap hari dia akan melihat dari jauh puteri itu di dalam istana. Pada suatu hari, dia memberanikan dirinya untuk meluahkan perasaan itu kepada puteri tersebut. Puteri itu berjanji akan mengahwininya sekiranya dia sanggup menunggu puteri itu di luar istana selama seratus hari. Demi cintanya yang suci, pahlawan itu berpanas hujan di luar istana menunggu hari yang dijanjikan. Puteri itu hanya memerhati dari biliknya keadaan pahlawan itu. Pada hari ke-99, pahlawan itu pergi meninggalkan istana dalam keadaan lemah. Tahukah mengapa dia berbuat begitu? Tidak bolehkah dia menunggu sehari lagi? Pahlawan itu pergi meninggalkan puteri itu kerana dia tidak sanggup melihat puteri itu memungkiri janji yang telah dibuat. Dia tahu mereka tidak akan dapat hidup bersama dan puteri itu hanya mahu mengujinya. Sebelum hari keseratus tiba, lebih baik dia pergi dengan membawa cintanya terhadap puteri itu. Sekurang-kurangnya dia tidak akan kecewa kerana cintanya ditolak. Dia juga boleh hidup walaupun hanya dengan cintanya sekalipun ia tidak berbalas.

Latihan Pengucapan Konsonan Berulang

b = Babu bebal bubuh bubur baba
c = Cucu cacat cicir cicit cuci cicak
d = Duda duduk dedah dadu di dada
g = Gegat gagah gigit gagak gugur

Latihan Pengucapan Konsonan Awal

b = Besok bapak boleh beli buku biru baru
c = Comel cuma cari cili celah cerek
d = Dalam dongeng dulu dara duduk diam dekat dewa
f = Fakir fikir fasal fulus filus
g = Gembala gila gelek gadis gagap goyang gusi
h = Hati hairan hendak hormat hukum hidup
j = Jika jengkel jual jagung jangan jolok jendela jiran
k = Kakak kerja kita kena ketil kutu kolam
l = Lekas lompat lari lihat leher laki luka
m = Merak merah muda marah minta mogok
n = Nenek nona nujum naik nesan
ny = Nyonya nyanyuk nyenyek nyanyut
p = Paman penat potong putik pisang pendek pendek
r = Rumah rimba raya roboh rebah ranap ranah
s = Siput suka seret sotong sambil senyum
t = Tamu tolak tapai tumpah tepi tilam
z = Zahir ziarah zuriat zulu zirafah zalim

Latihan Pengucapan Konsonan K

Ketam ketip kuku kakinya. Kawan karib Ketam, Kodok kata kepada Ketam, "Kenapa kau ketip kuku kaki kau, Ketam?" Ketam kata, "Kuketip kuku kakiku kerana kuku kakiku kelurut... kakakku kata, kalau kukuku kelurut, kita kena ketip!"

Kodok kentut kekeliruan. Kodok kata kekalutan, "Kadang-kadang kalau kukuku kelurut, kuketip kenapa keluar kudis?" Ketam ketawa, "Kah..kah..kah..kah..kih..kih..kih..kih.. Kuh.. kuh.. kuh.. kuh! Kodok... Kodok... kenapa kadar kebodohan kau ketara keterlaluan?"

Kodok kata kepada Ketam, "Ketam, kenapa kau ketawakanku?" Ketam kilas, "Kelakar."
"Kelakar ke kurang ajar?" kata Kodok. Kerana kemarahan Kodok keterlaluan, Kodok keperok kepala ketam kuat kadar kilat. "Kelekuk! ", kepala Ketam kehancuran kerana kena ketuk Kodok.
Ketam kata, "Kodok... Kodok.. kenapa kau ketuk kepalaku? kan kesakitan." Kesian Ketam. Kerana kurang ajar, kepala kena ketuk.

Permainan Bahasa: Kemahiran Berhujah

Panduan untuk guru:

1. Murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada enam orang.
2. Guru mengedarkan teks kepada setiap kumpulan dan meminta mereka memahami kes selama 5 minit.
3. Guru meminta murid menyelesaikan kes dengan berbincang di dalam kumpulan selama 15 minit. Sekiranya murid tidak faham kehendak soalan, guru haruslah membimbing mereka.
Setiap kumpulan diminta hadir ke hadapan untuk membentangkan kes dan menyelesaikannya selama 5 minit bagi setiap kumpulan.
4. Markah setiap kumpulan dikira berdasarkan gaya, intonasi, tatabahasa dan hujah yang disampaikan. Guru juga boleh menambah dan merangsang pemikiran murid sekiranya hujah mereka terlalu lemah atau murid tidak dapat bertutur dengan lancar. Permainan ini juga sesuai digunakan bagi Ujian Lisan Bahasa Melayu tingkatan 3.

Nahas Pesawat

Sebuah pesawat terhempas di Lautan Pasifik yang dipenuhi ikan jerung. Hanya enam orang yang terselamat dalam kejadian itu daripada enam puluh penumpang. Terdapat kerosakan pada sistem elektronik yang menyebabkan pesawat itu tidak dapat terbang semula. Radio juga gagal berfungsi untuk menghantar isyarat kecemasan. Lokasi kejadian terletak di tengah-tengah lautan dan mengambil masa sehari untuk sampai ke daratan. Terdapat sebuah bot getah kecil yang boleh digunakan terletak di sisi pesawat, tetapi hanya boleh memuatkan empat orang. Setiap ahli kumpulan itu mesti mencapai kata putus mengenai siapa yang patut hidup sebelum pesawat itu tenggelam.

Berikut ialah enam penumpang yang terselamat:

Kapten Rashid – Rashid ialah juruterbang semasa kapal terbang itu terhempas. Beliau ialah bekas juruterbang Tentera Udara Malaysia yang pernah bertugas di Lebanon. Beliau pernah dianugerahkan Pingat Gagah Berani kerana keberaniannya menyelamatkan penduduk awam semasa satu pertempuran di antara tentera Lebanon dengan tentera Israel. Bagaimanapun kerana kecederaan, beliau bersara awal. Beliau kini merupakan juruterbang pesawat komersil.
Mr. Chandran – Chandran ialah usahawan bertaraf bilionair. Umurnya baru menjangkau 48 tahun dan mempunyai empat orang anak. Isterinya baru sahaja meninggal kerana menghidap kanser. Beliau terkenal kerana mempunyai yayasan yang membantu anak-anak yatim dan sering menderma berjuta-juta ringgit untuk murid yang miskin. Hobinya ialah mengumpul kereta antik.

Keluarga Lim

Robert Lim ialah paderi yang berumur 40 tahun. Beliau dihormati oleh pengikutnya dan menjadi tempat rujukan sekiranya mereka menghadapi masalah. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah kepada remaja yang bermasalah dan membentangkan kertas kerja dalam seminar keibubapaan.
Rosy Lim ialah guru berusia 35 tahun. Guru yang berdedikasi ini begitu komited terhadap tugasnya. Beliau baru sahaja mencipta formula menguasai bahasa Inggeris dengan lebih mudah untuk diajar kepada murid-muridnya. Beliau bercadang menerbitkan buku tentang formulanya itu.
Suzanne Lim – Suzanne ialah kanak-kanak berumur 10 tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang. Dia bersama ibu bapanya dalam perjalanan ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan. Pembedahan itu nanti mungkin dapat menyelamatkan nyawanya. Suzanne seorang kanak-kanak yang aktif dan periang sebelum jatuh sakit.
Profesor Hassan Basri – Hassan Basri ialah saintis yang terkenal dalam bidang bio-perubatan. Beliau baru sahaja menemui vaksin yang dapat menyembuhkan penyakit kanser. Bagaimanapun, beberapa kajian perlu dilakukan sebelum vaksin itu boleh digunakan merawat pesakit.

Bentuk dan Jenis-jenis Pantun

Pantun terdiri dari banyak jenis dan bentuk. Jenis-jenisnya ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun sepuluh kerat. Pantun yang lebih daripada empat kerat disebut juga talibun. Selain lima jenis bentuk ini, terdapat sejenis bentuk lagi yang dinamakan pantun berkait Bentuk-bentuk pantun pula bermacam-macam. Ada pantun yang berbentuk "nasihat", "adat", "agama", "teka-teki", "jenaka" dan juga ada sesetengahnya berbentuk "peribahasa".
Di samping itu, pantun juga turut mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pertumbuhan serta perkembangan puisi Melayu lama. Pantun sebagai jenis puisi Melayu lama yang tertua dan asli amat diminati. Ini terbukti, pantun digunakan secara meluas dalam kegiatan-kegiatan hidup harian dan seni budaya masyarakat Melayu lama, seperti dalam acara permainan, hiburan, majlis keramaian, adat istiadat atau upacara. Justeru itu, pantun pantun dari segi isi atau temanya terdapat beberapa jenis. Antaranya yang penting tentang teka-teki, jenaka, kasih sayang, nasihat, budi, nasib, perantau, adat, kepahlawanan, peribahasa, kias ibarat dan agama. Meskipun begitu, penentuan jenis-jenis isi atau tema tersebut bukanlah mutlak. Ini kerana dalam setiap jenis isi pantun itu, lazimnya terdapat juga isi atau persoalan lain. Penentuannya lebih dilihat pada isi yang menjadi latar dan dasar perkembangannya dengan isi atau persoalan lain yang berhubungan.
Pantun yang isinya mengemukakan tentang "nasihat", "adat" dan "agama" pada umumnya adalah mudah dikenali serta difahami. Pantun "nasihat" misalnya, lebih jelas bersifat mengajar atau memberi nasihat ke arah melakukan sesuatu yang baik dan meninggalkan yang buruk.Walaupun demikian, isi tentang "adat" dan "agama" tidak kurang pula yang lebih serius serta mendalam persoalan isinya. Umapamanya, persoalan adat yang berkaitan dengan norma-norma adat, peraturan atau undang-undang dan persoalan agama yang berkaitan dengan Keesaan Allah dan balasan hari kemudian.
Pantun jenis "peribahasa" juga mudah dikenali, iaitu melalui penyampaian isinya menggunakan peribahasa-peribahasa yang begitu jelas bentuk serta susunannya. Bagi pantun "kias dan ibarat" pula, sesuai dengan namanya maka setiap isi yang disampaikan atau dikemukakan itu adalah bersifat kiasan, ibarat atau perbandingan. Dengan demikian, pernyataan isinya selalu ditemui dalam bentuk peribahasa; tetapi gambaran pernyataannya lebih halus, luas dan mendalam. Pada pantun "teka-teki" yang memerlukan jawapan adalah merupakan satu daripada alat untuk menggerakkan cara berfikir secara spontan dam membina kemahiran berfikir dengan tepat.
Pantun "jenaka" yang unsur kejenakaan atau kelucuannya terhasil daripada gambaran keanehan dan keganjilan perlakuan itu, terdapat unsur-unsur pengajaran, nasihat dan sindirannya di dalamnya.

Etika minum di majlis rasmi

Pernahkah tiba-tiba anda jadi bingung kerana peralatan makan yang disediakan di meja bukan sahaja pelik tetapi ada yang lebih daripada dua jumlahnya. Misalnya gelas yang disediakan di depan anda sampai tiga. Untuk pengetahuan anda yang tidak biasa dengan peradaban atau cara menyediakan atur letak makan seperti ini, tentulah ia akan menghidangkan anda makanan Barat dan cara atur letak meja seperti ini dianggap formal konsepnya. Pada masa yang sama anda mungkin akan lihat beberapa sudu, garpu, pisau yang pelbagai rupa. Apakah sebenarnya yang akan dihidangkan dalam gelas tersebut dan bagaimana menggunakannya?

Walaupun kadangkala terdapat lebih daripada tiga gelas yang diatur letak di meja makan Barat tetapi itu amat jarang dan kecuali majlis makan malam tersebut sangat formal dan hanya digunakan pada jamuan yang dihadiri oleh dif-dif kehormat seperti orang besar dan raja. Untuk tidak menggerunkan anda dan memudahkan hidup anda, usah fikir tentang itu kerana jika anda boleh dijemput ke jamuan dan majlis seumpama itu, maknanya anda sudah pun melalui bengkel etika untuk majlis sedemikian seperti kerabat diraja, pembesar negara juga isteri mereka. Jadi buat ketika ini, anda hanya perlu tahu tentang tiga gelas penting yang kerap digunakan pada majlis formal yang biasa kerana ia selalu diadakan dan anda juga mungkin salah seorang undangannya.

Bagi mengetahui sama ada sesuatu majlis itu formal seperti yang dikatakan itu, anda mungkin boleh mendapatkan sedikit tip melalui kad undangan yang anda terima. Misalnya jika kod pakaiannya tercatat formal, black tie dan bila penganjur bertegas anda menjawab RVSP (harap balas) dengan menelefon berkali-kali untuk mendapatkan kepastian kehadiran anda dan apabila penganjur atau hos memberitahu ia adalah sitting dinner.

Dalam hal mencari tip, janganlah segan-silu untuk bertanyakan kepada penganjur atau hos sekiranya anda tidak berapa pasti dengan apa yang tercatat di dalam kad. Biasanya jemputan formal akan mencatatkan nama dan talian hubungan orang berkenaan untuk anda membuat RSVP. Jadi, sambil anda membuat confirmation kehadiran anda, tidak salah jika anda bertanya tentang jamuan yang bakal disediakan. Sesetengah jamuan formal yang sangat tertutup sifatnya atau private dinner, biasanya anda akan ditanya juga sama ada anda juga diberi keutamaan memilih jenis hidangan yang anda mahu sebagai contoh ayam, lembu, ikan dan sebagainya dan kerana sifatnya yang sangat formal itu, anda juga tentulah seorang tetamu yang sangat penting dan sekiranya anda seorang vegetarian, nyatakan sekali. Begitu pun biasanya terdapat juga pilihan tersebut disediakan memandangkan kini ramai yang memilih tidak makan daging atas sebab kesihatan atau kerana anutan agama. Apabila anda diundang ke majlis seperti ini, janganlah anda kalut dan bimbang hingga tidak dapat menikmati hidangan yang enak di depan mata. Tarik nafas panjang tiga kali dan ingat petua di bawah, anda akan menjadi tetamu yang sopan dan berhemah.

Terdapat tiga gelas penting yang patut anda fokuskan setiap kali berada di jamuan seperti ini. Satu untuk air kosong, satu untuk wain dan satu untuk champagne. Bentuk gelas yang besar dan lebar mulutnya untuk air kosong atau kordial, jenis kecil, runcing, kecil mulutnya dan berkaki panjang untuk champagne dan sederhana, membulat bentuknya serta rendah sedikit untuk wain. Semasa memegangnya, selitkan di antara dua jari, iaitu jari manis dan jari hantu atau biasa juga orang selitkan di antara jari telunjuk dan jari hantu. Apa yang anda perlu tahu tentang gelas ini ialah pastikan anda minum hanya daripada gelas di kanan anda. Minuman anda diletakkan di sebelah kanan anda, jadi jangan sesekali ambil di sebelah kiri. Sekiranya anda terminum dari gelas di sebelah kiri, minta maaf dan cepat tukarkan gelas yang bersih di kanan anda itu kepadanya. Cara itu bukan sahaja boleh menyejukkan hati orang sebelah yang marah tapi menunjukkan anda seorang yang berhemah dan tahu tentang etika atau peradaban meja makan. Apa yang perlu diingat, walaupun minuman yang dihidangkan itu sungguh sedap, janganlah anda menghirup apatah lagi hingga menghasilkan bunyi yang tidak menyenangkan. Perbuatan seperti itu di meja makan formal Barat sesungguhnya sesuatu perbuatan yang biadab dan tidak boleh diterima.

Kapak Bungkus, Kapak Binjai, Kapak Kecil

Kapak Bungkus

Kapak Kecil

Kapak Binjai Manis

Kapak Binjai Antik

Hari ini cikgu nak sentuh berkaitan kapak kecil, kapak bungkus dan kapak binjai. Semasa mengajar silat di sekolah, anak murid akan bertanya macam-macam bila cikgu tunjukkan teknik permainan kapak binjai (kapak siam). Jadi hari ini bolehlah kita tengok keunikan kapak binjai antik, kapak binjai manis, kapak kecil dan kapak bungkus. Ini kerana lagenda kapak bungkus dan kapak terbang Kelantan banyak menghantui masyarakat luar Kelantan. Keadaan ini terjadi kerana dalam tahun 70-an seorang ahli politik terkenal telah kembali ke rahmatullah akibat penangan kapak kecil yang melekat di kepalanya. Kapak kecil menjadi kegemaran ramai suatu masa dulu di Kelantan. Ini kerana ia senang dibawa dan pelbagai guna, sama ada untuk senjata dan boleh digunakan untuk kerja-kerja harian yang agak ringan. Pada zaman dahulu kapak ini dibawa atau disimpan dalam lipatan kain yang dipakai oleh pembawanya. Ada juga yang menyimpannya dalam lipatan kain lilit kepala (semutar) pembawanya. Kapak kecil biasanya digunakan sebagai senjata untuk mengajar seseorang yang kurang beradap yang masuk kampung. Kadar kebiadapannya diukur dengan inci mata kapak yang tidak dibungkus. Mata kapak dibungkus untuk mengelakkan kecederaan parah, sebaliknya takekan kapak bungkus adalah untuk "mengajar" atau memberi kecederaan ringan, biasanya di kepala atau dahi. Kapak terbang pula ialah kapak yang diikat tali pada hulunya dan puncanya diikat pada pergelangan siku. Kapak akan dibaling dan disentak semula ke dalam gengaman tangan. Ia memerlukan kemahiran yang amat tinggi. Kapak binjai manis mempunyai mata yang lebih lebar di bahagian bawah berbanding kapak kecil Kelantan. Bentuknya akan menyebabkan kecederaan parah dan sukar dicabut apabila memasuki kepala mangsa. nama binjai manis diambil sempena nama kampung di Selatan Thai yang merupakan pengeluar asal kapak jenis ini. Sebenarnya cerita kapak ini banyak memaparkan latar belakang sosio budaya masyarakat Kelantan dan Patani yang ingin mendidik mereka yang kurang adab di dalam kampung pada suatu masa dahulu - sumber Cikgu Nasir

Senjata Buku Lima


Buku lima merupakan senjata kecil yang bukan untuk membunuh, tetapi hanya sebagai 'habuan' berbisa dalam pertempuran. Biasanya digunakan bagi mengalahkan lawan yang lebih handal, atau bertubuh sasa, atau yang dirasakan `tak makan cekak'. Buku lima diasaskan dari bentuk penumbuk. Sebagai hiasan barang keras pada penumbuk, buku lima ditambah yang mana sedia maklum akan memberikan pukulan yang sangat berbisa, sekaligus menghilangkan cabaran musuh.
Buku lima diperbuat daripada bahan logam besi atau tembaga dan dijadikan sebagai senjata sulit. Namun begitu ia jarang digunakan dalam pertempuran, tetapi hanya untuk tempur satu lawan satu. Biasanya dipakai tanpa disedari lawan, dan pukulan 'curi' digunakan secara helah. Sasarannya pada muka yang mana akan memberikan kecederaan parah.
Terdapat 2 jenis buku lima iaitu jenis,`genggaman' dan jenis 'sarung'. Jenis genggaman mempunyai mata yang rata dan mudah terlepas jika genggaman tidak kuat atau musuh mahir dalam kuncian. Berbanding pula dengan jenis sarung yang mempunyai mata tajam pada bahagian luar genggaman yang mana mudah dilihat oleh musuh tetapi sukar terlepas dari tangan. Ada juga penyerang yang menanam 'besi kuning' pada buku lima mereka. Menurut ceritanya sesiapa yang terkena buku lima ini akan menemui maut atau setidak-tidaknya akan muntah darah dan menanggung penderitaan. Buku lima yang ditanam besi kuning juga boleh menewaskan ilmu kebal dan menawarkan ilmu hitam.
Buku lima hanya digunakan sekali sahaja dalam pertempuran, ini mengelakkan daripada diketahui oleh lawan yang mana boleh menyebabkan dendam yang berpanjangan. Tetapi jika sekali pukul lawan pengsan, ini akan memberikan kesedaran pada musuh akan kehebatan kita. Senjata ini adalah berbahaya dan diharamkan oleh kerajaan dan boleh didakwa jika memilikinya.

Sehebat Mana Pukulan Maut


Apakah jenis tumbukan yang dapat mematahkan tulang muka, meretakkan tempurung kepala atau menyebabkan seseorang pengsan serta merta? Tendangan siapa pula yang paling pantas dan berkuasa?
Dunia seni mempertahan­kan diri sememangnya menarik, pada masa yang mampu menggerunkan sesiapa sahaja. Setiap pergerakan, baik tumbukan, tendangan mahupun gerak-geri melambangkan kehalusan, dan betapa agresifnya sesuatu seni itu.
Kebanyakan seni mempertahan­kan diri lahir dari kuil-kuil penuh mistik di Asia. Pengamal atau perwira yang mengamalkan setiap disiplin membesar menjadi legenda dalam medan pertempuran dan juga gelanggang. Ketua-ketua rohaniah seperti sami Shaolin dari China mengimbangi ilmu meditasi Buddha dengan mempraktikkan seni mem­pertahankan diri, seterusnya menghasilkan gaya berlawan yang tidak dimamah usia.
Jika dahulu mereka yang mengamalkan seni ini dianggap sebagai kesatria ataupun perwira, imej masyarakat sekarang terhadap pengamal ini sering dibentuk oleh penghibur di layar perak termasuk Bruce Lee, Jackie Chan dan Jet Li. Di layar perak, mereka mempersembahkan keupayaan yang menjangkaui realiti. Pelbagai kepercayaan mahupun mitos sentiasa menyelubungi dunia seni memper­tahankan diri. Mampukah seorang pengamal menjatuhkan lawannya dengan hanya satu tumbukan mahupun tendangan?
Benarkah seseorang boleh tewas tanpa menggunakan sebarang tum­bukan dan tendangan? Mampukah suatu pergerakan melampaui kepantasan patukan seekor ular tedung? Menggunakan teknologi terkini, saluran National Geographic berupaya membezakan antara fakta dan mitos yang menyelubungi du­nia seni mempertahankan diri.
Penggambaran dan eksperimen yang dilaksanakan di sebuah dojo atau dewan latihan formal yang juga berperanan sebagai makmal, dilengkapi dengan per­alatan biomekanik, balistik, sains sukan dan juga rakaman gerak aksi. Penanda pemantul membarisi seluruh badan dengan 30 kamera inframerah mengesan setiap pergerakan ribuan kali setiap saat. Data yang diperoleh menghasilkan animasi komputer tiga dimensi (3D) yang membolehkan orang ramai melihat sendiri rahsia yang terkandung dalam suatu seni mempertahankan diri.
”Kita sering mempunyai kepercayaan bahawa seni mempertahankan diri mam­pu melakukan sesuatu yang kelihatan mustahil dilaksanakan secara fizikal. Kini, gabungan antara seni ini dan sains mampu mencapai satu lagi tahap,” kata Pengarah Pertarungan dan Koordinator Stunt fight Science, James Lew. Lew yang juga ahli Hall of Fame Seni Mempertahankan Diri menyatakan, idea untuk menghasilkan rancangan tersebut datang daripada kekurangan ujian saintifik yang dijalankan oleh mana-mana pihak. Bagi ukuran impak, patung manusia sering digunakan.
”Ia merupakan kaedah untuk mengukur kuasa suatu tendangan atau tum­bukan. Instrumen saintifik lain turut digunakan untuk melihat kelajuan tum­bukan, menguji keseimbangan badan kesateria, sela waktu reaksi dan juga keberkesanan suatu peralatan seni mem­pertahankan diri. Bagi saya ia penting kerana daripada penggunaan data saintiflk, kita mampu memperkembangkan kaedah latihan un­tuk melahirkan hero seni memperta­hankan diri yang lebih baik,” kata Lew.
Antara seni mempertahankan diri yang dipaparkan dalam program yang disiarkan selama seminggu itu ialah ka­rate, kung fu, jiujitsu, muay Thai, ninjitsu dan taekwando. Malah, seni tinju, memanah dan memecah objek seperti kepingan konkrit juga diuji dan dipertontonkan.
Persoalan sama ada seorang pengamal mampu menjatuhkan lawannya hingga pengsan (KO) dengan hanya satu tum­bukan terjawab dengan eksperimen yang dilakukan terhadap bahagian atas se­buah patung manusia. Suatu KO ialah mengenakan tenaga yang mencukupi pada tempat yang tepat untuk 'menutup' otak dan menyebabkan mangsa pengsan. Melalui sensor dan model, pengukuran tenaga dan kecederaan setiap tumbukan dikira. Setiap seni mempertahankan diri mempunyai stail dan kuasa tersendiri. Didapati, tumbukan seni kung fu menghasilkan 2,722.3 Newton (N) kuasa yang mampu mematahkan tulang muka, manakala tumbukan terus karate mengakibatkan 3.629.8N kuasa yang berupaya menjatuhkan lawan tetapi tidak menyebabkannya pengsan. Kuasa tumbukan taekwando (4.079N) mampu menyebabkan konkusi di kepala. Namun, dengan impak sekuat 4.417.1N yang sama dengan pukulan sebuah tukul besar, tumbukan si peninju mampu mengakibatkan lawannya pengsan hampir serta-merta.
Data yang diperoleh daripada kamera gerak aksi yang menangkap tumbukan oleh peninju profesional, Steve Petramale, menunjukkan umpama rangkaian kinetik, kuasa tumbukan bermula di kaki beliau dan disalur keluar melalui genggamannya. Sekiranya KO mampu dicapai, bagaimana pula menggunakan kaki sebagai senjata? Mampukah ia mendapat keputusan yang sama dengan tumbukan? Tendangan berganda kung fu menghasilkan kuasa 4,363.7N, manakala tendangan paling kuat yang berperanan memusnahkan lawan oleh tendangan belakang berpusing seni taekwando yang menghasilkan 6.992.6N.
Kedua-dua tendangan gagal menye­babkan lawan mereka pengsan tetapi mampu memberikan kesan seperti kehilangan keseimbangan, mematah tulang ataupun kecederaan pada organ dalaman. Satu tendangan yang mampu menye­babkan kecederaan dalaman yang teruk, malah juga kematian sekiranya tepat di bahagian yang senang sedera seperti di sternum, ialah Muay Thai yang juga merupakan seni mempertahankan diri yang popular di Thailand. Menggunakan lutut, seni yang sekuat hentaman sebuah kereta di dinding pada kelajuan 56.3 kilometer sejam itu berupaya memampatkan lima sentimeter bahagian dada.
”Ramai yang keliru antara Muay Thai dengan kickboxing yang menggunakan tumbukan dan tendangan. Muay Thai menggunakan siku, lutut dan bukan sekadar kaki dan tangan. Itulah sebab mengapa ia digelar sebagai 'seni membunuh',” kata Jaguh Muay Thai dunia, Melchor Menor.
Adakah satu fakta ataupun hanya mitos bahawa seseorang boleh tewas tanpa sebarang tendangan mahupun tumbukan? Jawapannya terletak pada ketangkasan seni mempertahankan diri jiujitsu.
”Seni ini bukan berhasrat untuk menyakitkan lawan tetapi untuk membawanya ke ke poin umpama checkmate, iaitu tidak boleh bergerak,” kata jaguh dunia jiujitsu, Rickson Gracie.
Pakar-pakar jiujitsu mengkaji badan manusia dengan ekstensif agar mampu mengekploitasi kelemahan anatomi manu­sia dan menewaskannya. 'Peralatan' utamanya bukanlah kuasa mahupun kekuatan sebaliknya tindakan pada anggota badan.
Legenda pernah mengatakan seni mempertahankan diri sepatutnya bertindak pada kelajuan seekor ular yang mampu menyerang antara 2.4 sehingga 3.0 meter sesaat. Kamera berkelajuan tinggi mendapati satu tumbukan kung fu adalah empat kali lebih pantas daripada serangan seekor ular. Manakala ujian kepekaan turut dilaksanakan pada taekwando mengguna­kan sela masa reaksi terhadap stimulasi cahaya. Didapati, tindak balas pengamal seni mempertahankan diri adalah lebih pantas daripada mereka yang tidak mengamalkannya. Namun, apakah seni mempertahankan diri yang unggul?

”Kuasa seni mempertahankan diri ti­dak bermaksud siapa yang paling kuat, tetapi keupayaan mengenakan impak terbesar pada sasaran,” kata Lew.
Menjawab persoalan itu, seni mempertahankan diri seharusnya mempunyai kemahiran yang tinggi dalam kepantasan, kuasa dan usaha minimum untuk kesan yang maksimum. Sehubungan itu, seni yang sering dikaitkan sebagai ’pelaksa kerja kotor Samurai’ atau ninjutsu mengimbangi segala kemahiran seni mempertahankan diri.
Melalui demonstrasi oleh pakar ninjitsu, Glen Levy, seni itu bukan hanya cepat, tetapi dilakukan dengan tepat dan efisyen terhadap sasaran. Penggunaan senjata dipercayai menjadikan seorang pejuang seorang manusia super kerana ia menggandakan kuasa dan menambahkan jarak serangan. Sementara itu, difahamkan kebanyakan senjata yang digunakan wujud apabila golongan petani dilarang untuk membawa sebarang senjata. Jadi, me­reka menggunakan instrumen pertanian sebagai peralatan semasa berlawan.
Seni mempertahankan diri mempercayai senjata dengan pengamal seni itu seharusnya menjadi satu. Tetapi sebelum itu, diri mereka haruslah menjadi senjata yang tersendiri. Senjata yang hebat harus merangkumi tiga kriteria, iaitu memperbesarkan im­pak dengan gabungan kelajuan dan berat untuk menghasilkan kuasa, menambah­kan jarak serangan dan pada masa yang sama boleh dikawal. Pelbagai senjata seni mempertahan­kan diri seperti pedang Katana, pedang lebar dan lurus, peralatan memanah dan nunchaku turut diuji.
”Ciri yang membolehkan suatu seni mempertahankan diri cemerlang dalam gaya masing-masing ialah apa yang saya gelar semangat seorang pejuang. Melalui proses fizikal, pengamal akan mengetahui bahawa seni ini adalah satu cara hidup dan dengan melangkah lebih jauh, dia akan menyedari nilai sebenar seni mempertahankan diri. Ia sebenarnya bukanlah berkenaan aspek berlawan, tetapi menjadikan kehidupan lebih tenteram,” tegas Lew.

Syoknya kahwin


Bila hujan, naluri manusia diserbu oleh perasaan yang pelik-pelik. Yang tidak ada kerja akan terfikir hendak tidur, yang jual aiskrim akan terfikir hendak menangis, yang ada isteri akan terfikir hendak masuk bilik dan yang bujang macam saya akan berfikir hendak kahwin. Memang itu hikmah yang dibawa oleh hujan.

The History of Mat Tricks

Jeng, jeng, jeng!! semua awek, siapa minat Raja Ahmad Talmizi angkat tangan! Fuyyoo… ramai tu! Let's the story begins! Raja Ahmad Talmizi, the most lovable wise guy around. Siapa tak kenal jantan rebutan ini boleh dianggap sebagai katak yang sengaja menyembunyikan diri di bawah tempurung. 01061983 besday dia dan dilahirkan di Pasir Puteh, Kelantan. Anak kacukan, mommy dia orang Melayu & daddy dia orang Kelantan. Nama glamer di kampung ialah Mat.
Jejaka yang bernaung di bawah persekutuan Gemini ini berasal dari “a very military, scientific, educated family.” Hobi masa lapangnya ialah tanya apa hobi orang, bermain sepak terajang, memasak kenduri kahwin, mengemas toilet, membaca buku hutang, tidur di kaki lima, menari makyong ketika bersiar di shopping complex, mentertawakan diri sendiri & berkenalan tak kira dengan sesiapa pun walaupun orang itu tumpang lalu depan rumah dia. Hobi sepenuh masa pula membakar sampah & menelefon bomba.
Selain daripada itu, dia suka menyendiri dengan hobi bosan seperti mengira jubin di siling, menganggar kuasa lampu mentol & mengisi borang peraduan. Dia juga suka tidur di sudut rumah untuk memotivasikan diri selain bercakap sorang-sorang & menangis dalam bilik air untuk menghilangkan tekanan. Subjek yang paling diminati ialah Gigolografi. Makanan yang paling sedap hingga menjilat jari kaki semestinya makan free & minuman kegemaran pula air. Ketinggian balak macho ini jika memakai kasut tumit tinggi ialah 173 sentimeter persegi & berat pula 124 pound sterling. Siri televisyen yang tak pernah miss walaupun satu episod ialah Pingu. Teruna yang masih berpunya ini sangat meminati majalah Maskulin & Gila-Gila. Buku pulak Fiqh Sunnah sebab dia kempunan nak jadi ustaz. Ni ada lagi pasal diz' guy, nak tahu tak yang dia ada perangai buruk macam suka patah-patahkan leher. Perghh!! Ada stail gangster la pula. Hehehehe!! Nak percaya susah, tak percaya pun takpe!
Anak kelima dari sebelas beradik ini masih teruna sunti & agak blur sikit sebab dia jenis lone ranger (suka dok sorang-sorang) & boleh dikatakan jenis yang suka habiskan masa indoor daripada outdoor. Mempunyai perwatakan yang down-to-earth & pemalu macam Bigfoot (orang datang dia lari, tengok tapak kaki dah la…). Tapi jangan tak tahu yang dia ada skill yang penuh di dada seperti kata pepatah 'tepuk dada tanya selera'. Balak sunyi sepi macam ubi kayu ini mula buat latihan hardcore, iaitu, bina badan tahap maksima & belajar semua jenis beladiri sejak umur 13 tahun lagi. Idola pula tidak ada sebab bangga dengan diri sendiri. Mamat yang memiliki IQ yang tinggi serta pandai berkata-kata macam penyair ini pada mulanya menanam impian untuk menjadi peguam tapi terpaksa melupakan cita-cita itu setelah dipaksa nenek saudaranya menjadi cikgu. Dia juga dikenali sebagai penipu yang tak berapa mahir dan berhasrat menjadi 'along' jika ada duit lebih suatu hari nanti.
Ni ekstra info untuk awek-awek frust menonggeng. Mamat ini sebenarnya sudah mempunyai awek dan tidak cukup lagi untuk menonggengkan anda semua, mamat ini juga sudah ada plan untuk berkahwin dengan aweknya yang bernama ...

Pembestarian Sekolah

Pembestarian Sekolah merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi pengunaan ICT dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan kompetensi guru. Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari iaitu sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi maklumat. Komponen utama Pembestarian Sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian Sekolah ini akan dapat melatih guru dan murid berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).

Makna di sebalik salam

Masyarakat Melayu sering mendapat pujian daripada bangsa lain kerana kelembutan mereka sehingga mampu berinteraksi dengan siapa juga tanpa mengira bangsa dan antara ciri istimewa mereka ialah dalam aspek bersalam yang membudaya dalam kehidupan seharian.

Si anak akan bersalam dengan ibu bapa mereka dengan cara mencium tangan orang yang disalam sebagai tanda hormat kepada yang berusia manakala golongan dewasa pula bersalam dengan membawa tangan mereka ke dada sebagai tanda menunjukkan keikhlasan sampai ke hati.

Bagaimanapun senario ini kini sudah semakin menghakis dengan perubahan zaman dan sudah menjadi perkara lumrah kini untuk melihat seseorang itu bersalam setakat berjabat tangan seperti dilakukan orang Barat, seolah-olah ia sudah tidak lagi dilihat sebagai suatu yang mewakili bangsa dan tradisi mereka. Senario ini kini hanya dapat dilihat pada pagi Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha ketika seisi keluarga bermaafan atau pada majlis perkahwinan yang memerlukan gadis yang bakal bergelar isteri mencium tangan calon suaminya pada upacara membatalkan air sembahyang.

Sejarah menunjukkan, budaya berjabat tangan menurut Islam berasal daripada tradisi kaum Yaman pada zaman pra-Islam, tetapi kemudian tersebar mengikut perluasan empayar agama terbabit di seluruh dunia dan membudaya dalam masyarakat Melayu selepas mereka menganut Islam. Perlakuan salam pada zaman dahulu turut dilihat sebagai kedatangan secara aman dan tidak membawa senjata selain menunjukkan ciri keperibadian seseorang di samping ini menjadi salah satu amalan Rasulullah SAW yang diwarisi umat Islam berdepan dengan ujian zaman yang menguji daya tahannya sebagai amalan dalam masyarakat.

Pensyarah Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Wan Abdul Kadir, yakin bahawa amalan bersalam dapat membina kemesraan yang lebih erat sekiranya wujud perasaan bersungguh di antara kedua-dua pihak dan cara bersalam dapat menilai sejauh mana kesungguhan seseorang itu.

“Salam boleh dikategorikan sebagai hubungan jiwa antara individu dan cara bersalam membawa maksud tersendiri. Seperti jika tangan diletakkan ke muka selepas berjabat tangan, ia dianggap lebih baik daripada meletakkannya ke dada menurut segelintir pihak,” katanya dalam pertemuan dengan Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebaliknya, jika seseorang itu bersalam dengan orang bukan Islam, mereka tidak perlu menjabatkan kedua-dua belah tangan dan meletakkannya ke bahagian muka atau dada serta cukup sekadar menggunakan sebelah tangan seperti yang sering dilakukan orang Inggeris. Suatu perkara yang mungkin tidak disedari sekalipun di kalangan orang Melayu ialah budaya Melayu melihat mereka yang bersalam, tetapi enggan melihat wajah yang disalaminya sebenarnya menunjukkan ketidakikhlasan pemberi salam dengan perbuatan terbabit.

“Amalan bersalam yang sudah membudaya dan meluas dalam masyarakat boleh disegarkan semula oleh setiap keluarga dengan menjadikannya sebagai suatu yang wajib setiap hari manakala sekolah dan masjid juga boleh dijadikan sebagai premis bagi menghidupkan amalan murni ini,” ujarnya.

Pandangan Prof Wan Abdul Kadir dipersetujui Pensyarah Fakulti Bahasa, Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi), Prof Dr Muhammad Bukhari Lubis, apabila beliau menekankan amalan bersalam dapat membina kemesraan di antara dua individu dan lazimnya dilaksanakan atas dasar silaturrahim.

“Salam mempunyai dua perspektif berbeza iaitu melalui perkataan Assalamualaikum dan disusuli perbuatan bersalam manakala perbezaan timbul apabila amalan itu dipupuk sejak kecil berbanding mereka yang hanya ‘mengenalinya’ apabila sudah dewasa sehingga sesetengahnya kekok untuk melakukannya,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, ada segelintir individu yang menarik tangan dengan cepat apabila disalam kerana mendakwa diri mereka mengamalkan sikap tawaduk iaitu merendah diri dan tidak mahu dipuja melebihi Tuhan mereka yang menghulurkan salam.

“Saya tertarik dengan cara masyarakat Iran bersalam iaitu dengan mengambil tangan orang yang ingin disalam lalu diletakkan ke dada mereka dengan maksud, ‘aku sanggup berkorban keranamu’ dan ini jelas mencerminkan betapa masyarakat terbabit menitikberatkan aspek budaya itu,” tegasnya.

Justeru, budaya bersalam wajar diberi perhatian di mata pihak bertanggungjawab kerana selain membina jatidiri masyarakat, ia turut menggambarkan peribadi sesuatu bangsa manakala badan kerajaan boleh mengangkatnya menjadi sebahagian daripada inti sari dalam program seperti Kempen Budi Bahasa atau Bahasa Jiwa Bangsa yang pernah dianjurkan sebelum ini.