Masyarakat Melayu sering mendapat pujian daripada bangsa lain kerana kelembutan mereka sehingga mampu berinteraksi dengan siapa juga tanpa mengira bangsa dan antara ciri istimewa mereka ialah dalam aspek bersalam yang membudaya dalam kehidupan seharian.
Si anak akan bersalam dengan ibu bapa mereka dengan cara mencium tangan orang yang disalam sebagai tanda hormat kepada yang berusia manakala golongan dewasa pula bersalam dengan membawa tangan mereka ke dada sebagai tanda menunjukkan keikhlasan sampai ke hati.
Bagaimanapun senario ini kini sudah semakin menghakis dengan perubahan zaman dan sudah menjadi perkara lumrah kini untuk melihat seseorang itu bersalam setakat berjabat tangan seperti dilakukan orang Barat, seolah-olah ia sudah tidak lagi dilihat sebagai suatu yang mewakili bangsa dan tradisi mereka. Senario ini kini hanya dapat dilihat pada pagi Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha ketika seisi keluarga bermaafan atau pada majlis perkahwinan yang memerlukan gadis yang bakal bergelar isteri mencium tangan calon suaminya pada upacara membatalkan air sembahyang.
Sejarah menunjukkan, budaya berjabat tangan menurut Islam berasal daripada tradisi kaum Yaman pada zaman pra-Islam, tetapi kemudian tersebar mengikut perluasan empayar agama terbabit di seluruh dunia dan membudaya dalam masyarakat Melayu selepas mereka menganut Islam. Perlakuan salam pada zaman dahulu turut dilihat sebagai kedatangan secara aman dan tidak membawa senjata selain menunjukkan ciri keperibadian seseorang di samping ini menjadi salah satu amalan Rasulullah SAW yang diwarisi umat Islam berdepan dengan ujian zaman yang menguji daya tahannya sebagai amalan dalam masyarakat.
Pensyarah Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Wan Abdul Kadir, yakin bahawa amalan bersalam dapat membina kemesraan yang lebih erat sekiranya wujud perasaan bersungguh di antara kedua-dua pihak dan cara bersalam dapat menilai sejauh mana kesungguhan seseorang itu.
“Salam boleh dikategorikan sebagai hubungan jiwa antara individu dan cara bersalam membawa maksud tersendiri. Seperti jika tangan diletakkan ke muka selepas berjabat tangan, ia dianggap lebih baik daripada meletakkannya ke dada menurut segelintir pihak,” katanya dalam pertemuan dengan Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebaliknya, jika seseorang itu bersalam dengan orang bukan Islam, mereka tidak perlu menjabatkan kedua-dua belah tangan dan meletakkannya ke bahagian muka atau dada serta cukup sekadar menggunakan sebelah tangan seperti yang sering dilakukan orang Inggeris. Suatu perkara yang mungkin tidak disedari sekalipun di kalangan orang Melayu ialah budaya Melayu melihat mereka yang bersalam, tetapi enggan melihat wajah yang disalaminya sebenarnya menunjukkan ketidakikhlasan pemberi salam dengan perbuatan terbabit.
“Amalan bersalam yang sudah membudaya dan meluas dalam masyarakat boleh disegarkan semula oleh setiap keluarga dengan menjadikannya sebagai suatu yang wajib setiap hari manakala sekolah dan masjid juga boleh dijadikan sebagai premis bagi menghidupkan amalan murni ini,” ujarnya.
Pandangan Prof Wan Abdul Kadir dipersetujui Pensyarah Fakulti Bahasa, Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi), Prof Dr Muhammad Bukhari Lubis, apabila beliau menekankan amalan bersalam dapat membina kemesraan di antara dua individu dan lazimnya dilaksanakan atas dasar silaturrahim.
“Salam mempunyai dua perspektif berbeza iaitu melalui perkataan Assalamualaikum dan disusuli perbuatan bersalam manakala perbezaan timbul apabila amalan itu dipupuk sejak kecil berbanding mereka yang hanya ‘mengenalinya’ apabila sudah dewasa sehingga sesetengahnya kekok untuk melakukannya,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, ada segelintir individu yang menarik tangan dengan cepat apabila disalam kerana mendakwa diri mereka mengamalkan sikap tawaduk iaitu merendah diri dan tidak mahu dipuja melebihi Tuhan mereka yang menghulurkan salam.
“Saya tertarik dengan cara masyarakat Iran bersalam iaitu dengan mengambil tangan orang yang ingin disalam lalu diletakkan ke dada mereka dengan maksud, ‘aku sanggup berkorban keranamu’ dan ini jelas mencerminkan betapa masyarakat terbabit menitikberatkan aspek budaya itu,” tegasnya.
Justeru, budaya bersalam wajar diberi perhatian di mata pihak bertanggungjawab kerana selain membina jatidiri masyarakat, ia turut menggambarkan peribadi sesuatu bangsa manakala badan kerajaan boleh mengangkatnya menjadi sebahagian daripada inti sari dalam program seperti Kempen Budi Bahasa atau Bahasa Jiwa Bangsa yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan