Sabtu, 13 September 2008

Etika minum di majlis rasmi

Pernahkah tiba-tiba anda jadi bingung kerana peralatan makan yang disediakan di meja bukan sahaja pelik tetapi ada yang lebih daripada dua jumlahnya. Misalnya gelas yang disediakan di depan anda sampai tiga. Untuk pengetahuan anda yang tidak biasa dengan peradaban atau cara menyediakan atur letak makan seperti ini, tentulah ia akan menghidangkan anda makanan Barat dan cara atur letak meja seperti ini dianggap formal konsepnya. Pada masa yang sama anda mungkin akan lihat beberapa sudu, garpu, pisau yang pelbagai rupa. Apakah sebenarnya yang akan dihidangkan dalam gelas tersebut dan bagaimana menggunakannya?

Walaupun kadangkala terdapat lebih daripada tiga gelas yang diatur letak di meja makan Barat tetapi itu amat jarang dan kecuali majlis makan malam tersebut sangat formal dan hanya digunakan pada jamuan yang dihadiri oleh dif-dif kehormat seperti orang besar dan raja. Untuk tidak menggerunkan anda dan memudahkan hidup anda, usah fikir tentang itu kerana jika anda boleh dijemput ke jamuan dan majlis seumpama itu, maknanya anda sudah pun melalui bengkel etika untuk majlis sedemikian seperti kerabat diraja, pembesar negara juga isteri mereka. Jadi buat ketika ini, anda hanya perlu tahu tentang tiga gelas penting yang kerap digunakan pada majlis formal yang biasa kerana ia selalu diadakan dan anda juga mungkin salah seorang undangannya.

Bagi mengetahui sama ada sesuatu majlis itu formal seperti yang dikatakan itu, anda mungkin boleh mendapatkan sedikit tip melalui kad undangan yang anda terima. Misalnya jika kod pakaiannya tercatat formal, black tie dan bila penganjur bertegas anda menjawab RVSP (harap balas) dengan menelefon berkali-kali untuk mendapatkan kepastian kehadiran anda dan apabila penganjur atau hos memberitahu ia adalah sitting dinner.

Dalam hal mencari tip, janganlah segan-silu untuk bertanyakan kepada penganjur atau hos sekiranya anda tidak berapa pasti dengan apa yang tercatat di dalam kad. Biasanya jemputan formal akan mencatatkan nama dan talian hubungan orang berkenaan untuk anda membuat RSVP. Jadi, sambil anda membuat confirmation kehadiran anda, tidak salah jika anda bertanya tentang jamuan yang bakal disediakan. Sesetengah jamuan formal yang sangat tertutup sifatnya atau private dinner, biasanya anda akan ditanya juga sama ada anda juga diberi keutamaan memilih jenis hidangan yang anda mahu sebagai contoh ayam, lembu, ikan dan sebagainya dan kerana sifatnya yang sangat formal itu, anda juga tentulah seorang tetamu yang sangat penting dan sekiranya anda seorang vegetarian, nyatakan sekali. Begitu pun biasanya terdapat juga pilihan tersebut disediakan memandangkan kini ramai yang memilih tidak makan daging atas sebab kesihatan atau kerana anutan agama. Apabila anda diundang ke majlis seperti ini, janganlah anda kalut dan bimbang hingga tidak dapat menikmati hidangan yang enak di depan mata. Tarik nafas panjang tiga kali dan ingat petua di bawah, anda akan menjadi tetamu yang sopan dan berhemah.

Terdapat tiga gelas penting yang patut anda fokuskan setiap kali berada di jamuan seperti ini. Satu untuk air kosong, satu untuk wain dan satu untuk champagne. Bentuk gelas yang besar dan lebar mulutnya untuk air kosong atau kordial, jenis kecil, runcing, kecil mulutnya dan berkaki panjang untuk champagne dan sederhana, membulat bentuknya serta rendah sedikit untuk wain. Semasa memegangnya, selitkan di antara dua jari, iaitu jari manis dan jari hantu atau biasa juga orang selitkan di antara jari telunjuk dan jari hantu. Apa yang anda perlu tahu tentang gelas ini ialah pastikan anda minum hanya daripada gelas di kanan anda. Minuman anda diletakkan di sebelah kanan anda, jadi jangan sesekali ambil di sebelah kiri. Sekiranya anda terminum dari gelas di sebelah kiri, minta maaf dan cepat tukarkan gelas yang bersih di kanan anda itu kepadanya. Cara itu bukan sahaja boleh menyejukkan hati orang sebelah yang marah tapi menunjukkan anda seorang yang berhemah dan tahu tentang etika atau peradaban meja makan. Apa yang perlu diingat, walaupun minuman yang dihidangkan itu sungguh sedap, janganlah anda menghirup apatah lagi hingga menghasilkan bunyi yang tidak menyenangkan. Perbuatan seperti itu di meja makan formal Barat sesungguhnya sesuatu perbuatan yang biadab dan tidak boleh diterima.

Tiada ulasan: