Terima kasih pengacara majlis.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang
Berbahagia Puan Anita bt. Md. Idris,
Yang
Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa
Yang Berusaha
Puan Norshidah bt. Mohd Saad,
Penolong
Kanan Pentadbiran SMK Kampong Jawa
Yang
Dihormati Tuan Haji Muzikir b. Muhammad
Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid
Puan
Eng Hong Li, Penolong Kanan Kokurikulum
Puan
Mahani bt. Saad, Penolong Kanan Petang
Puan
Nordiana bt. Ngaspan, Penolong Kanan Pendidikan Khas
Barisan
guru kanan mata pelajaran
Ahli-ahli
Jawatankuasa PIBG SMK Kampong Jawa
Guru-guru dan para ibu bapa yang saya hormati sekalian.
Bersyukur
ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya kita dapat berkumpul secara
maya sempena Mesyuarat Agung PIBG SMK Kampong Jawa kali ke-24 tahun 2021 ini. Sesungguhnya,
jauh di sudut hati saya, saya mengimpikan mesyuarat ini dilakukan secara
bersemuka kerana sejak saya mengemudi SMK Kampong Jawa ini, saya belum berkesempatan
bersua muka, beramah mesra dengan para waris di sekolah ini. Namun apakan daya,
pandemik Covid-19 menjadi kekangan bukan sahaja kepada kita bahkan kepada
masyarakat seluruh dunia.
Kita perlu akur kepada Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan demi memastikan kita kembali ke dalam norma yang biasa. Walau bagaimanapun, sebagai pentadbir saya tetap akan melaksanakan tugas saya sebaik mungkin. Justeru, atas sokongan ibu bapa dan guru-guru, saya telah menambah baik banyak prasarana di sekolah ini untuk kemudahan pembelajaran murid-murid di SMK Kampong Jawa. Setiap kelas dipastikan mempunyai kipas dan lampu yang berfungsi, pintu dan tingkap yang sempurna, tandas murid dibaik pulih, bilik guru dinaik taraf untuk keselesaan guru dan persekitaran sekolah diceriakan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya pasti ibu bapa tertanya-tanya tentang keselamatan anak-anak di sekolah. Keselamatan guru dan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan pihak sekolah dengan memastikan semua SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dipatuhi. Kami yakin dengan kerjasama ibu bapa, guru dan anak-anak mematuhi SOP yang telah dikeluarkan, anak-anak kita akan hadir ke sekolah dalam keadaan selamat. Dalam hal ini kami berharap ibu bapa atau penjaga dapat memastikan bahawa anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah.
Alhamdulillah,
masa terus berlalu tanpa kita sedar. Banyak kecemerlangan dan kejayaan yang
telah pihak sekolah cipta sama ada dalam bidang akademik mahupun dalam bidang
kokurikulum. Kejayaan dan kecemerlangan ini menggambarkan usaha guru-guru yang
tidak pernah putus asa dalam mendidik anak-anak. Kejayaan ini juga
menggambarkan usaha dan kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dengan ibu
bapa selama ini diberkati oleh Allah SWT.
Dalam usaha kita untuk menjana kecemerlangan ini, pihak PIBG sentiasa menyokong pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti. Pihak PIBG juga banyak memberi sumbangan dalam bentuk kewangan untuk pelbagai aktiviti sekolah serta hadiah kecemerlangan untuk anak-anak yang berjaya. Sumbangan yang PIBG berikan dalam menjayakan semua aktiviti ini adalah hasil sumbangan ibu bapa kepada tabung PIBG. Untuk itu, saya menyeru kepada ibu bapa agar terus menyumbang kepada tabung PIBG untuk kita sama-sama terus menjana dan merancang pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak kita.
Ibu bapa yang dihormati sekalian,
Kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja bergantung kepada hebatnya guru mengajar, pakarnya pihak pentadbir mengurus sekolah, malah perlu seiring dengan komitmen ibu bapa. Kita tidak boleh lepas tangan menyerahkan bulat-bulat urusan mendidik anak-anak kepada pihak sekolah. Jika pihak sekolah mengambil tahu segala tindak-tanduk anak-anak dari sekecil-kecil salah laku umpamanya datang lewat kepada sebesar-besar masalah, umpamanya merosakkan harta benda sekolah, itu menggambarkan kecaknaan guru-guru dan pihak sekolah terhadap anak-anak. Pesanlah selalu kepada anak-anak untuk sentiasa menjaga harta benda sekolah seperti menjaga harta benda di rumah sendiri.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Sempena dengan mesyuarat PIBG kali ini, marilah kita menggunakan pendekatan musyawarah jika timbul sebarang masalah atau salah faham sesama kita. Masalah disiplin dan tingkah laku anak-anak perlu ditangani bersama. Masalah ponteng sekolah yakni tidak hadir ke sekolah tanpa sebab mesti diambil tindakan segera. Jangan kita biarkan anak-anak kita tidak hadir tanpa sebab. Para guru akan berasa bangga jika ibu bapa sentiasa mengambil berat dengan disiplin anak-anak di sekolah.
Akhir kata, sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua ibu bapa yang hadir dalam majlis pada hari ini. Kehadiran para ibu bapa menggambarkan kesungguhan dan komitmen dalam meningkatkan kecemerlangan anak-anak pada masa hadapan.
Sekian,
wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.