Yang Dihormati, Tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia, Tn. Hj. Nashan bin Singgan,
Pengetua SMK Kampong Jawa.
Yang Berusaha, Pn. Latipah binti Ahmad, Penolong
Kanan Pentadbiran,
Pn. Puziah binti Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Pn. Kamariah binti Md. Kamil, Penolong Kanan
Kokurikulum,
En. Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan
Petang,
Ibu bapa, guru-guru dan murid-murid yang
dikasihi sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, dan
salam sejahtera.
Terlebih
dahulu saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang hadir dalam
majlis ini, khususnya kepada pelajar yang menunjukkan kepintaran dan sahsiah
yang cemerlang. Tahniah dan terima kasih juga kepada guru-guru yang berjaya
memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang
berkualiti baik dari segi akademik mahupun sahsiah.
Tuan-tuan
dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Pada hari ini, peranan pendidikan telah berubah. Murid-murid bukan sahaja
datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara
agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Kita
juga patut sedar, sistem pendidikan kini memerlukan perubahan selaras dengan
keperluan semasa, untuk memenuhi tuntutan zaman. Sistem
pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan
seiring dengan peredaran zaman.
Para
hadirin yang saya muliakan,
Sasaran
membawa negara mencapai standard pendidikan berkualiti di peringkat
antarabangsa perlu digalas semua pihak. Pelbagai program diperkenalkan oleh Kementerian
Pelajaran seperti Sarana Ibu Bapa
dan Sarana Sekolah sebagai platform meningkatkan penglibatan ibu
bapa dengan pembelajaran anak-anak serta menggalakkan penglibatan komuniti
dengan sekolah.
Usaha
menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat
penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21. Selama
ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka
di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan
cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu
kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang
kepada kejayaan anak-anak. Ibu bapa perlu menitikberatkan
soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di
rumah.
Tuan-tuan
dan puan-puan,
Saya
percaya sambutan Majlis Anugerah Cemerlang pada hari ini selari dengan matlamat
memotivasikan murid agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan.
Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa akan datang
bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang
tetapi ada peningkatan atau kemajuan.
Saya
juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada
murid-murid yang akan menerima hadiah atas pencapaian mereka dan diharapkan
pencapaian tersebut tidak berakhir di sini. Teruskanlah kecemerlangan itu
sampai bila-bila.
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah
dan syabas kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan Majlis
Anugerah Cemerlang pada tahun ini.
Saya dengan lafaz “Bismillahhirrahmannirahim”
dengan ini merasmikan, Majlis
Anugerah Cemerlang SMK Kampong Jawa tahun 2014.
Sekian, wabillahitaufik
walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan