Assalamualaikum w.w. Salam sejahtera dan
selamat pagi.
Yang Berbahagia, Pengetua SMK Kampong Jawa,
Tuan Haji Nashan b. Singgan,
Penolong-penolong Kanan, barisan guru kanan mata
pelajaran dan seterusnya guru SMK Kampong Jawa yang dikasihi sekalian.
Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana
dengan inayah dan kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia
ini. Marilah kita mengikhlaskan kehadiran kita dalam majlis ilmu ini demi
kecemerlangan pendidikan dan demi kebaikan sekalian pelajar kita. Tahniah
kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sanggup berkorban untuk berada di sekolah pada hari Sabtu
dan berjaya menangguhkan segala keinginan yang muncul dalam minda ketika ini.
Bagi pihak majlis, saya mengalu-alukan
kedatangan tuan penceramah, wakil NUTP ke sekolah ini. Terima kasih tuan atas
kesediaan memenuhi undangan pihak sekolah dan selamat berkenalan. Di hadapan
tuan ialah lebih 100 orang guru yang sangat komited dan berpengalaman luas.
Guru-guru SMK Kampong Jawa memang bersikap terbuka dan sentiasa mengalu-alukan
sebarang idea pembaharuan atau inovasi dalam amalan pendidikan.
Sebagai pembuka majlis, saya mempersilakan
tuan-tuan dan puan-puan berdiri untuk bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku.
Terima kasih diucapkan kepada hadirin
sekalian yang telah bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku itu tadi.
Bagi memberkati majlis, marilah sama-sama
kita mengaminkan doa yang akan dibacakan oleh Encik Rezuali. Dipersilakan.
Terima kasih Encik Rezuali kerana bacaan
doa itu tadi.
Tuan pengetua, dan guru-guru yang dihormati, untuk slot Ladap yang pertama pada hari ini,
saya mempersilakan En. Sundaram, wakil dari NUTP untuk menyampaikan taklimat tentang
Skim Insurans Kelompok NUTP. Dipersilakan.
Terima kasih En. Sundaram atas penerangan
itu tadi.
Majlis diteruskan lagi dengan slot ceramah
yang kedua, iaitu Hala Tuju Sekolah yang akan disampaikan oleh Tuan Pengetua.
Dipersilakan.
Majlis merakam ucapan terima kasih kepada
Tuan Pengetua atas kesudian menyampaikan ceramah itu tadi.
Dengan rasa sukacitanya saya mempersilakan
Puan Latipah binti Ahmad untuk menyampaikan sedikit cenderamata kepada Tuan
Pengetua. Dijemput Tuan Pengetua untuk menerima tanda kenang-kenangan.
Hadirin sekalian, majlis berhenti rehat
buat seketika. Majlis akan disambung semula pada pukul 11.00 pagi. Para hadirin
dipersilakan ke kantin untuk menikmati jamuan yang disediakan. Dipersilakan.
Assalamualaikum. Setelah kita mendengar
ceramah daripada Tuan Pengetua itu tadi, saya mempersilakan Encik Abd. Karim b.
Abd. Hamid untuk slot kita yang seterusnya. Dipersilakan.
Syabas cikgu-cikgu atas kesabaran dan
perhatian yang diberikan sepanjang slot Ladap kali ini. Mudah-mudahan tuan puan
beroleh manfaat yang melimpah ruah.
Guru hebat guru cemerlang
Selesai Ladap mari kita pulang.
Majlis sudah sampai ke penghujungnya. Saya selaku wakil urus setia memohon beribu-ribu kemaafan jika ada tersilap kata sepanjang mengendalikan majlis ini. Sekian, wabillahitaufik walhidayah,
wassalamualaikum wbt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan