Saya tidak pernah mengetahui sama ada pernyataan yang saya catatkan dari semasa ke semasa akhirnya menjadi sebuah puisi. Definisi yang menyatakan sama ada sesebuah tulisan itu puisi atau tidak cukup bererti bagi saya. Sebuah definisi menjadi semacam orthodoxy yang menghalalkan penulisan sesebuah puisi. Dalam catatan, saya menghubungkan idea dalam satu penyataan dengan idea dalam penyataan yang lain dengan harapan mencipta kesatuan dalaman. Kesatuan ini, malangnya merupakan hal yang tidak wujud secara tegas. Sedemikian, sebuah puisi yang terdiri daripada lima baris mungkin sahaja berasal daripada berbagai-bagai penyataan yang mempunyai intensiti berbeza yang ditulis dalam jangka waktu yang panjang.
Saya selalu menjadi bingung apabila ada penyair yang membuat pengakuan yang dia menulis sebuah puisi secara terusan tanpa sebarang semakan. Rilke tidak mengubah sepatah perkataan pun dalam Sonnets to Orpheus, sebuah buku yang mengandungi 55 puisi yang diciptanya tanpa gangguan selama dua minggu. Rilke tahu apa yang mahu dikatakannya dan bagaimana. Masalah saya ialah, saya jarang sekali mengetahui apa yang mahu saya katakan dan bagaimana memperkatakannya. Hanya setelah mencatat pernyataan yang awal, baru saya mempunyai idea apa yang mahu saya katakan. Berbagai-bagai tokok tambah, pembuangan dan sebagainya perlu saya lakukan sebelum saya berasa puas. Kerja semakan ini mempunyai tujuan yang satu iaitu untuk mewujudkan kesinambungan, mencapai kesatuan. Kalau kesatuan dan kesinambungan ini wujud dan saya menyedarinya, saya akan berhenti. Namun, berhenti ini bukan bererti saya tidak akan mengubah satu dua perkataan dan menambah di sana sini sebelum saya mengirimkannya untuk siaran. Jika tersiar, mungkin karangan berangkap saya ini sebuah puisi, jika tidak, belum lagi.
Yang terdapat dalam sesebuah puisi seharusnya sesuatu yang bererti. Kalau tidak, kita cuma membuang masa menulisnya. Saya selalu menghubungkan puisi dengan masa lepas yang gagal dilalui, kasih yang tidak berbalas, pesanan yang tidak disampaikan, kata-kata yang tidak diucapkan. Puisi, daripada satu segi merupakan obsesi terhadap hal-hal yang tidak terselesai. Sedemikian, hal ini sentiasa kembali, enggan memudar − seperti parut atau luka. Terdapat dua cara menghadapi perkara yang tidak mahu selesai ini. Pertama, dengan membiarkan pengalaman baru menenggelamkan mereka, menolak mereka tersembunyi jauh di bawah lapisan ingatan ke alam separuh lupa. Mereka menjadi terpendam dan akhirnya kehilangan erti. Satu cara lagi adalah dengan menggunakan mereka sebagai bahasa untuk menulis puisi. Diperbentuk, perkara ini sudah tidak berhenti mengganggu, menjadi masa lalu yang tenang, citra yang mudah diertikan oleh pembaca.
Kepuasan memang mudah dirasai tetapi payah untuk dikongsi. Saya pernah menulis puisi tentang mencabut rumput di belakang rumah, merapi pagar, mengumpul daun yang gugur, mencabut lalang pada hari minggu yang tercatat semata-mata untuk membezakan dengan kehidupan yang saya tempuhi sebagai penumpang di rantau orang. Suatu masa, dirundung kelaparan dan kesejukan, saya melihat bayang saya di cermin kaca sebuah butik di Tanjung Malim. Saya melihat sebuah tubuh yang hiba, bingung dan keliru seperti seorang pelarian. Pada masa itu saya ingin berada kembali di kampung, Pasir Puteh. Pergi jahanam segala markah peperiksaan. Pergi jahanam segala ijazah. Jahanam segala rasa berani yang didesak soalan eksistensial: Siapakah aku? Apakah yang aku lakukan di sini? Apakah ijazahku akan selesai?
Saya tidak pernah memikirkan hendak menjadi guru, lebih-lebih lagi guru sekolah menengah. Ayah menaruh cita-cita agar saya menjadi doktor. Saya sendiri mahu menjadi peguam. Sayangnya fakulti ingatan saya tidak mampu menampung ilmu-ilmu asas untuk membolehkan saya menjadi doktor atau peguam. Sewaktu di sekolah rendah, sebelas tahun dahulu, saya dikatakan berpotensi menjadi guru. Pencapaian saya dalam pelajaran lebih pada normal, begitulah kata guru. Setiap peperiksaan selama enam tahun di sekolah rendah saya berada di tempat antara nombor satu dan nombor lima. Seingat saya sejak kecil saya amat gemar membaca. Saya membaca apa sahaja yang ada di rumah – surat khabar, majalah selain membaca al-Quran, menelaah kitab-kitab besar imam yang empat serta segala macam buku agama dalam pelbagai jurusan ilmu. Saya sering menyimpan angan-angan hendak menjadi pengarang. Hendak menulis cerita yang enak dibaca. Angan-angan itu hanya terbuai-buai dalam kepala begitu sahaja dan tidak terlaksana. Mulai waktu itu, saya semakin berminat membaca. Saya membaca novel dan antologi cerpen yang dengan mudah diperolehi di perpustakaan sekolah. Di perpustakaan ini banyak tersimpan buku yang membuatkan saya hendak membaca sebanyak-banyaknya. Akan tetapi, tidak semua buku yang saya baca di perpustakaan itu menarik minat. Ada buku yang tidak menarik minat saya, sekadar membaca beberapa halaman. Begitu tabiat suka membaca itu, menimbulkan kesusahan kepada diri saya. Ini demikian kerana, pertama, setelah saya membaca sebuah buku di perpustakaan, saya ingin memiliki buku itu untuk disimpan dan hendak membacanya berulang-ulang. Sedangkan buku di perpustakaan itu hak milik sekolah dan tidak dapat dipinjam lebih lama. Keduanya, ketika saya memasuki sebuah kedai buku, saya ingin membelinya, tetapi saya tidak mempunyai duit untuk membelinya kerana ayah tidak pernah membekalkan duit yang banyak untuk perbelanjaan sekolah. Keluarga saya bukanlah tergolong daripada keluarga yang berada. Namun begitu, saya sentiasa mengharapkan ayah memberikan duit belanja sekolah yang lebih untuk saya membeli sebuah novel dan memilikinya untuk disimpan di rumah. Harapan saya itu hanya tertangguh begitu sahaja sehingga saya berada di sekolah menengah.
Buku mula menjadi sahabat saya yang lebih akrab sejak di SMK Kamil lagi. Siri Enid Blyton dan Biggles yang ada di perpustakaan boleh dikatakan habis saya baca. Pemilihan bahan bacaan saya berubah apabila usia saya meningkat. Saya mula gemar membaca cerita bercorak pengembaraan. Yang paling memberi kesan ialah buku Seven Years In Tibet. Selera membaca saya berubah lagi apabila saya belajar di kelas menengah atas. Saya mula membaca buku bercorak biografi dan autobiografi seperti Jawaharlal Nehru, Gandhi, Magsasay, Stalin, Abraham Lincoln, antara lainnya.
Sewaktu saya masih remaja, usia 16 tahun, saya dilanda penyakit angan-angan tinggi melangit. Angan-angan saya hendak menjadi seorang pengarang, bukan semestinya seperti Usman Awang atau Abdul Talib Hassan, cukup sekadar terkenal dalam kalangan gadis seusia dengan saya, bukan semestinya di seluruh negara, cukup sekadar gadis di kampung saya. Saya selalu ghairah hendak menghasilkan sesuatu dalam bentuk tulisan. Tidak kira apa, cerpen, puisi, syair, kartun, yang penting semua ada unsur remaja dan berupaya menarik perhatian gadis.
Lalu, langkah pertama yang saya lakukan ialah menciplak sajak yang saya tafsirkan berunsur cinta. Mereka percaya sajak itu ciptaan saya lantaran karya itu dipersembahkan dalam tulisan tangan di atas kertas buku latihan. Tetapi jiwa remaja saya sentiasa bergejolak untuk cuba menghasilkan sesuatu. Keinginan saya mahu menjadi penulis semakin membuak-buak. Cemburu juga melihat orang lain boleh mendapat tempat di akhbar dan majalah. Tetapi saya masih tidak mampu menghasilkan cerpen atau artikel yang saya fikir baik. Saya tidak boleh jadi cerpenis atau novelis. Saya mula menjadi pesimis. Namun, saya terus bercita-cita mahu jadi pengarang. Lantaran saya pilih menjadi penterjemah dahulu. Kecil-kecilan pun cukuplah. Maka saya pun mula menterjemah artikel untuk majalah Seni Beladiri. Kemudian saya cuba mengirimkan puisi terjemahan ke majalah tahunan sekolah. Alhamdulillah, usaha saya itu tidak sia-sia. Kesempatan begini menyemarakkan lagi minat saya dalam dunia penulisan. Tetapi untuk terus berkreatif, ketika itu, saya fikir saya memerlukan sesuatu yang original. Original dengan erti kata bukan terjemahan. Saya masih belum mampu ke arah itu. Amat mengecewakan.
Namun minat saya dalam penulisan tidak patah di tengah jalan. Saya terus membaca sekalipun saya sudah tamat pengajian di SMK Kamil. Membaca sudah jadi darah daging saya. Kebanyakan buku yang dibaca saya beli sendiri. Bahannya banyak, cuma mood tiada. Tambah pula saya sibuk belajar untuk cemerlang dalam STPM kerana tertekan dengan syarat ketat memasuki universiti.
Minat menulis saya selama ini menguntum di dalam jiwa mula mengembang. Saya mula yakin yang saya berbakat dalam dunia penulisan, walaupun saya yakin tidak boleh menjadi Pak Sako, Keris Mas, Tongkat Warrant. Yang perlu kini adalah keberanian, kerajinan dan keseriusan menghasilkan sesuatu. Namun tidak banyak yang dapat saya hasilkan dan tidak ada apa-apa yang boleh saya tampilkan untuk pembicaraan serius. Rasa rendah diri tetap membelenggu fikiran saya. Taraf sebagai penulis belum layak saya terima. Rupa-rupanya apa yang saya rasakan tidak serupa dengan apa yang dirasakan orang lain. Sungguhpun saya tidak terkenal, teman rapat menaruh minat pada potensi yang ada pada diri saya.
Berkarya terutamanya puisi seperti makanan buat saya. Saya tidak boleh hidup tanpa puisi kerana pada saya, kita ialah puisi. Cabaran pertama saya, mengorbankan sejumlah wang simpanan untuk menerbitkan sebuah antologi puisi sulung yang berjudul, Sekuntum Bunga Di Hati Lelaki. Walaupun antologi ini tidaklah sehebat mana, tetapi yang penting, saya sudah melakukannya.
Pernah saya termimpikan kalaulah saya ini anak hartawan, saya tidak mahu bekerja, saya mahu membaca dan menulis pada bila-bila masa dan ke mana-mana sahaja yang saya suka untuk merasai denyut manusia dan dunia tanpa risau tentang soal kewangan. Pada saya, melakukan tugas yang kita suka biarpun umpama kerja tetap dirasai seperti tidak bekerja kerana kita sudah jatuh cinta dengan apa yang dilakukan. Namun, saya sedar sebagai penulis atau penyair mempunyai sejenis rasa yang jauh lebih seni daripada manusia lain. Saya perlu berada dalam ruang lingkup hidup manusia yang sebenarnya. Dari situlah nanti akan ada cetusan dan letusan idea apabila saya ‘mendongak’ ke langit, sama ada kerlip bintang atau senyum mentari yang menandakan bahawa setiap sesuatu yang dianugerahi tuhan itu punya matlamat dan bagaikan permata yang harus digalas dengan sebaiknya di atas bahu. Kata ayah, penulis tidak perlu terlalu kaya harta tetapi harus kaya hati. Kata Hamka, untuk menjadi pujangga, kecaplah lazat cinta sebelum mengenal hidup dalam adunan syair, falsafah dan agama. Biarpun mungkin tidak dapat saya mencapai apa yang dicita-cita sepenuhnya, cukuplah sekadar ada antara karya saya kelak dikenang menuruni zaman yang akan datang.
Sesuai dengan pilihan saya sebagai pendidik dan ahli akademik, maka perkara ini menjadi satu saranan penting bagi saya. Mungkin dari suasana inilah yang membentuk jiwa saya menjadi seorang penulis. Menjadi pemerhati alam dan suasana. Membuat penyelidikan tentang satu-satu bahan. Memerhatikan aksi dan telatah manusia. Menganalisis perasaan dan senyuman orang yang ditemui. Memerhatikan gelagat manusia dalam pelbagai suasana pula. Segala-galanya itu amat berguna dan penting digarap menjadi bahan atau inspirasi bagi menghasilkan karya. Aspek inilah yang dinamakan pengalaman yang tidak dapat dijual beli itu. Sudah tentu kemudiannya disiplin ilmu memberi pertolongan yang kukuh. Disiplin ilmu yang saya pilih ini juga bersesuaian dengan apa yang saya suka lakukan iaitu menulis.
Gabungan pengalaman dan ilmu menjadikan kita mantap dan matang dalam menghasilkan karya. Dalam bahasa yang paling mudah; yang ada pada diri saya kini merupakan ilmu yang saya dapati daripada guru dan buku ini dapat dinamakan sebagai ‘universiti akademik’. Ini dijalinkan pula dengan ilmu yang didapati daripada pemerhatian dan pengalaman iaitu dari ‘universiiti alamiah’. Segala-galanya ini dicernakan dalam fikiran untuk dikeluarkan semula dalam karya kreatif yang menarik. Sebagai seorang penulis, saya sudah berusaha menjalankan tanggungjawab saya iaitu dengan menghasilkan karya kreatif. Kini terpulanglah kepada pembaca untuk mengkritiknya. Kritikan yang membina, akan saya terima dan jadikan garis panduan untuk menulis lebih baik lagi pada masa depan. Kritikan yang tidak berapa membina, lebih-lebih lagi apabila kritikan itu condong ke arah peribadi, saya tolak ke tepi. Namun, saya tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi membaca karya saya − seorang penulis baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan