Ahad, 14 September 2008

Guruku


Guruku memikul demikian banyak harapan
setiap ibu bapa dan juga kerajaan
bersama sederetan beban tambahan
untuk tiap minit dan jam persekolahan.

Guruku adalah segala-galanya
mengajar angka huruf dan kata
dan kini ilmu lebih dewasa
komputer ganti pemikir otak manusia.

Guruku mengajar pelbagai kurikulum
pendidikan budi bahasa
supaya otak manusia
jangan jadi pandir atau gila

Juga kokurikulum untuk anak didiknya
cergas dan sihat anggota
supaya degup jantung bahagia
saluran darah lancar terjaga.

Ke mana saja pindah-randahmu, guruku
ke hilir ke hulu engkau sebarkan buku dan ilmu
sebagai ejen budaya
pemimpin tanpa pilihanraya.

Tiap pagi seluruh cakerawala
jutaan suara menjulang ke angkasa
mengucapkan kata syahdu:
selamat pagi, cikgu.

Usman Awang 12.4.89