Ahad, 19 Oktober 2008

Adat Istiadat Istana

Adat Tertib Mengadap Bagi Orang Awam
Apabila mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, hendaklah berdiri tegak dengan kaki kanan dan kiri dirapatkan. Luruskan kedua-dua tangan dan memberi hormat takzim dengan cara menundukkan dan mengangkat kepala sekali sahaja dan hendaklah jangan terlalu tunduk seolah-olah membongkok yang menyerupai adat hormat masyarakat Jepun. Selepas itu berjalan perlahan-lahan menghampiri baginda, dan tidak pula terlalu rapat. Jarak dengan baginda Tuanku adalah lebih kurang dua hingga tiga kaki. Beri hormat takzim sekali lagi. Bagi orang Islam adalah lebih elok jika mengucapkan "Assalamualaikum Tuanku". Bagi orang yang bukan beragama Islam boleh mengucapkan "Selamat Pagi Tuanku" atau "Good Morning Your Majesty" bagi rakyat asing mana yang berkenaan. Berundur kira-kira tiga tapak dan tunduk hormat sekali lagi.

Adat Tertib Mengadap Bagi Pegawai Berpakaian Seragam
Bagi pegawai berpakaian seragam apabila mengadap hendaklah memberi “Tabik Hormat Penuh” (Full Salute) dahulu sebelum tunduk memberi hormat takzim. Jika berdiri jauh, perlu “Tabik Hormat” dahulu sebelum berjalan menghampiri baginda, selepas itu beri hormat takzim.

Hormat Takzim Apabila Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Atau Raja Permaisuri Agong Sedang Bersemayam
Apabila mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sedang bersemayam di atas kerusi, hendaklah berdiri dengan kaki kanan dan kiri dirapatkan. Luruskan kedua-dua tangan dan beri hormat takzim dengan cara menundukkan dan mengangkatkan kepala. Perilaku menundukkan kepala hendaklah dilakukan dengan penuh hormat dan tertib, iaitu dengan memberhentikan seketika segala pergerakan sebelum kepala ditundukkan ke arah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong mana yang berkenaan. Kemudian meghampiri baginda, berlutut dan mencium tangan baginda. Selepas itu berundur kira-kira tiga tapak, beri hormat takzim sekali lagi sebelum berpusing.

Adat Tertib Menyembah Sembahan
Jika menyembahkan sesuatu persembahan berupa surat, cenderamata, bunga dan sebagainya kepada Tuanku dalam Majlis Rasmi hendaklah terlebih dahulu tentukan bahawa telah disediakan dua buah dulang yang beralaskan kain berwarna kuning. Sebuah untuk diletakkan persembahan dan sebuah lagi untuk Setiausaha Sulit atau untuk Pegawai Pengiring Peribadi atau Dang Perwara yang ditugaskan menyambut semula cenderamata daripada Tuanku. Beri hormat takzim kemudian mara ke hadapan anggaran tiga langkah atau sehingga berhadapan. Kemudian beri hormat takzim sekali lagi barulah sembahkan sembahan itu. Selepas itu berdiri tegak sebentar dan beri hormat takzim sekali lagi. Jika Tuanku menghulurkan tangan untuk bersalam, hendaklah beri hormat takzim sambil mencium tangan baginda. Undur tiga tapak ke belakang. Beri hormat takzim sekali lagi untuk duduk atau berpusing dan kembali ke tempat asal.

Adat Tertib Menyembahkan Sembah Apabila Tuanku Bersemayam (Duduk)
Beri hormat takzim dahulu kemudian mara ke hadapan anggaran tiga langkah atau sehingga berhadapan mengadap atau di sebelah kiri kanan tertakluk kepada keadaan tempat baginda bersemayam. Beri hormat takzim dan kemudian kendurkan kaki hingga hampir berlutut dengan lutut kiri mencecah lantai dan sembahkan persembahan itu. Jika Tuanku menghulurkan tangan, sambut serta cium tangan baginda. Kemudian bangun dan berdiri sebentar, beri hormat takzim, undur tiga tapak ke belakang baru duduk semula ke tempat asal atau berpusing dan berjalan balik ke tempat asal, tertakluk kepada keadaan.

Adat Tertib Duduk Dalam Majlis
1.Apabila duduk berhadapan dengan Tuanku hendaklah duduk dengan penuh adab sopan. Tidak duduk "bersila panggung" atau mengangkat kaki atas kaki atau lulut atau menghalakan tapak kaki ke hadapan Baginda ataupun berlunjur ataupun bersilang kaki.
2. Jika duduk di majlis makan, hendaklah duduk dengan tertib. Kedua-dua tangan hendaklah diletak di atas peha dan tidak berpeluk tubuh. Siku tidak diletak di atas meja dan jika terpaksa meletak tangan di atas meja, letakkan tangan setakat pergelangan tangan di atas meja. Mendagu tidak dibenarkan.
3. Apabila duduk, elakkan dari duduk bersandar seolah-olah badan hendak menggelungsur turun.
4. Dalam majlis rasmi, elakkan dari berbual-bual sesama sendiri sehingga lupa bahawa Tuanku di hadapan. Jika perlu berbincang, bicaralah dengan perlahan dan penuh tertib.
5. Jika Tuanku berangkat lalu di hadapan atau di belakang, di tepi atau di sebelah, adalah takzim jika bangun berdiri mengadap atau berpusing mengadap baginda dan tundukkan kepala sebagai tanda hormat.
6. Bagi wanita, sekiranya duduk mengadap Tuanku di atas lantai, hendaklah bertimpuh dan kain hendaklah menutup kaki bagi wanita yang memakai kain labuh. Jika tidak, bertimpuh sahaja dengan tertib. Bagi lelaki, hendaklah duduk dengan bersila dengan tertib dan sopan dan tidak duduk dengan melunjurkan kaki atau mengangkat lulut dan sebagainya. Merokok tidak dibenarkan.

Adat Tertib Dalam Majlis Makan
Tertib di meja makan hendaklah sentiasa dijaga, antaranya:
1. Jangan memulakan makan sebelum Tuanku santap.
2. Jauhkan dari menganga besar apabila menyuap makanan. Apabila mengunyah makanan, mulut dan bibir hendaklah ditutup. Jangan bercakap dengan mulut yang penuh makanan.
3. Tentukan penggunaan alat-alat memakan seperti pisau, garpu, camca dan sebagainya, digunakan dengan betul dan jangan sampai berbunyi bising. Sisa-sisa makanan tidak dibiarkan atas alas meja.
4. Selepas habis makan, camca, pisau dan garpu hendaklah disusun rapat dan tidak dibiarkan berselerak.
5. Jika makanan terselit di gigi, elakkan dari mengorek gigi dengan jari. Gunakan napkin untuk menutup mulut apabila mengeluarkan makanan yang terselit di gigi itu.
6. Ketika batuk atau bersin, mulut hendaklah ditutup dengan napkin.
7. Elakkan dari menguap atau sendawa kekenyangan kuat-kuat.
8. Jangan mengorek telinga, menggaru-garu badan, meggeliat, mematahkan jari tangan dalam majlis jamuan.
9. Jauhkan dari mengangkat dagu atau meletak kedua belah siku di atas meja.
Apabila duduk di meja makan, bagi wanita, tas tangan hendaklah digantung di sebelah kanan 10. dengan menggunakan handbag holder dan tidak sekali-kali di atas meja makan walaupun tas tangan tersebut kecil.

Adat Tertib Mengiring
1. Apabila mengiring Tuanku, hendaklah berjalan di belakang sedikit daripada Tuanku dan tidak sekali-kali seiring dengan baginda (sebelah kiri atau sebelah kanan).
2. Apabila terpaksa berlalu di hadapan atau di belakang Tuanku, hendaklah tunduk dengan hormat sambil berkata "Patik pohon lalu Tuanku".
3. Apabila baginda berangkat lalu dihadapan, hendaklah memberi tunduk hormat (bagi lelaki). Jika baginda berangkat lalu di belakang, hendaklah berpusing mengadap Tuanku dan menundukkan kepala dan memberi hormat dengan takzimnya.
4. Apabila berdiri berhadapan dengan baginda/Kerabat-kerabat Diraja, elakkan dari berpeluk tubuh, bercekak pinggang, menyelok saku atau bersilang tangan di belakang.
5. Bagi wanita yang menjadi pengiring rapat, jangan membawa tas tangan yang bergantung di bahu.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ASLM....

Silalah sudikan ke blog http://www.rajamenangis.blogspot.com


t kasih.