Jumaat, 10 Oktober 2008

Indahnya adab, budaya dan bahasa Melayu


Semua orang Melayu tahu dan sedar tentang betapa indahnya bahasa Melayu sehingga wujud istilah yang khusus untuk Istana atau Bahasa Istana. Bahasa Istana sebenarnya melambang ketinggian adat resam Melayu yang begitu hormat akan Raja Melayu. Walaupun Malaysia mengamalkan apa yang disebut sebagai Raja Berperlembagaan, namun penggunaan Bahasa Istana tidak diketepikan malah terus dipupuk dan disanjung tinggi.

Seorang Raja atau Sultan akan dibahasakan sebagai "Tuanku" dan rakyat yang berbicara dengan Raja akan membahasakan dirinya sebagai 'patik'. Bahasa Melayu juga menetapkan istilah khas untuk keluarga DiRaja apabila merujuk kepada sesuatu perbuatan, umpamanya 'bersiram' untuk mandi, 'santap' untuk makan, 'bersemayam' untuk duduk, 'berangkat' untuk pergi dan 'beradu' untuk tidur. Apabila istilah berkenaan digunakan, umum akan mengetahui bahawa ia merujuk kepada pihak Istana. Begitulah indah dan halusnya Bahasa Melayu.

Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah menulis bahawa semasa berada di Jeddah, Arab Saudi pada tahun 1971, Tunku menerima sepucuk surat daripada seorang pegawai tinggi kerajaan yang meminta mantan Perdana Menteri itu memulangkan pas kereta api dan kemudahan lain yang diperuntukkan semasa Almarhum menjadi Ahli Parlimen.

Bahasa yang diguna oleh pegawai berkenaan bukan sahaja tidak betul tetapi biadab. Dalam surat itu pegawai berkenaan antara lain menulis: "Saya minta tuan serah balek tiket-tiket keretapi".

Almarhum Tunku membalas surat itu sambil menyatakan bahawa Almarhum tidak membuang gelaran sebagai Yang Teramat Mulia dan tidak juga membuang pangkatnya sebagai Tunku. Almarhum menegaskan bahawa yang diletakkan hanyalah kerusi sebagai Ahli Parlimen. Selepas menerima surat itu, pegawai berkenaan memohon ampun dan maaf daripada Tunku.

Adat dan adab Melayu menentukan penggunaan bahasa yang betul apabila berhadapan dengan pihak Istana, lebih-lebih lagi seorang Sultan atau Raja. Sama ada orang yang menghadap Sultan atau Raja itu adalah Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri atau pegawai tinggi kerajaan, semuanya kena dan semestinya menggunakan bahasa yang betul.