Rabu, 29 Oktober 2008

Tip Menjimatkan Petrol

(Dua awek kesayangan cikgu, tunang cikgu dan Myvi cikgu)

Banyak orang memperkatakan bagaimana untuk menjimatkan perbelanjaan petrol. Banyak nasihat dan tunjuk ajar dari pengguna petrol yang lain dapat membantu kita menguruskan petrol dengan lebih baik. Di sini, ingin cikgu paparkan beberapa nasihat untuk dikongsi bersama.
Sebenarnya perkara yang paling penting dalam penjagaan enjin atau dalam penjimatan petrol, ialah cara penggunaan kita terhadap kenderaan. Cara pengguna menggunakan kenderaan mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan baik buruk di akhirnya. Tidak dinafikan, soal sikap, apa-apa perkara pun, merujuk kepadanya. Mari kita lihat beberapa tips untuk membantu kita menjimatkan petrol.

1. Lambat menukar gear. Berada pada gear rendah dalam masa yang lama membuatkan petrol digunakan pada kadar yang maksima. Kadar penggunaan petrol secara maksima biasanya berlaku antara gear 2 ke gear 3. Ini bagi pengguna manual. Jadi, jangan tunggu lama-lama sangat pada gear 2.

2. Membawa kenderaan dalam keadaan laju pada jalan yang mendatar dan menuruni bukit. Sekiranya tiada apa-apa hal penting, tidak perlulah bawa laju-laju. Lagi-lagi bila turun bukit, nak buat apa bawa laju. Biarlah dia jalan sendiri, dengan menekan sedikit sahaja pedal minyak.

3. Beban yang berat. Setiap 50kg pertambahan beban dalam kenderaan, maka bertambahlah penggunaan minyak. Jadi, jangan bebankan kenderaan anda dengan beban yang tidak diperlukan. Cuba tengok-tengok dalam kenderaan anda, kalau-kalau selama ni ada anda tinggalkan apa-apa barang yang tidak berguna. Dibawa ke hulu-ke hilir. Ini sebenarnya lebih membebankan kereta anda. Jika tidak perlu, tinggalkan di rumah.

4. Memasang pengikat barang di atas bumbung sebenarnya amatlah tidak patut. Ini kerana dengan kehadiran pengikat barang tersebut, ia menghalang laluan angin dan daya yang lebih perlu digunakan untuk melawan arus angin tersebut. Ini akan menyebabkan petrol terpaksa digunakan secara berlebihan. Ia juga menambahkan beban sebenarnya. Jadi, jika tiada keperluan, tak perlulah pasang.

5. Panaskan enjin terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Ini kerana, paras normal kepanasan enjin dapat membantu meningkatkan prestasi enjin dan penggunaan petrol juga tidak akan berlebihan.

6. Antara jalan shortcut dan longcut. Jika anda menerima situasi seperti ini, jalan shortcut tetapi mengalami jam yang teruk atau jalan yang rosak, atau jalan longcut tetapi jalannya cukup baik dan tiada kesesakan lalulintas. Jika menerima situasi seperti ini, pilihlah jalan longcut, jika jalan longcut tersebut berbeza dalam 1-2 kilometer. Ini kerana, ia dapat mengurangkan dari asyik menukar gear. Sekali gear bertukar, banyak minyak digunakan di situ.

7. Rancanglah perjalanan anda. Tahu ke mana arah tuju dan jalan yang ingin dilalui. Jangan dah jauh berjalan baru nak start rancang. Tahu arah perjalanan juga amat penting, ini kerana jika anda sesat, kemudian ingin mencari jalan pulang, sebenarnya anda telah membazir banyak minyak.

Tiada ulasan: