Rabu, 12 November 2008

Jelingan Ayah

Kisah ini benar-benar terjadi pada cikgu sewaktu kanak-kanak dahulu. Ayah cikgu suka memberi amaran pada cikgu dengan menjeling garang jika membuat sesuatu yang tidak disukainya. Contohnya, jika ke kedai, kalau cikgu mengambil gula-gula, dia akan menjeling pada cikgu bermakna letakkan semula gula-gula itu ke tempatnya semula. Suatu hari, cikgu mengikut ayah ke surau untuk solat maghrib. Ketika sedang rukuk, cikgu melihat kain pelikat tok imam tersepit di celah punggungnya. Cikgu yang 'konon'nya ingin membantu terus menarik kain yang tersepit itu. Ayah cikgu yang sedang solat terus memberi jelingannya pada cikgu. Cikgu pun faham maksudnya itu, lalu terus memasukkan semula kain pelikat tok imam itu semula ke celah punggung tok imam tadi. Apalagi, melatahlah tok imam tadi. Habis satu jemaah batal solat mereka kerana turut terkejut dengan latahan tok imam tadi. Ayah cikgu yang bermuka merah padam menahan malu dan marah mengheret cikgu balik ke rumah. Malam tu, berbirat punggung cikgu dirotannya.

Moral : Jangan memandai nak masukkan kain ke celah punggung tok imam.

Isnin, 10 November 2008

Sebuah Pesanan yang Menarik

Dalam hidup manusia, yang penting ialah BERKAT
Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat
Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat
Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat
Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat
Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat
Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat
Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat
Apabila pembangunan pun meningkat, kemajuan menjadi pesat
TETAPI AWAS,
Apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat,
kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat
Di tengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat
Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat
Ketika manusia mula mengubah tabiat
Apabila manusia telah mengubah tabiat, ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat
Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat
Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat
Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat
Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat
Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan jelah minyak gamat
Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat
Semua nak tunjuk kuat
Bila berjudi, percaya unsur kurafat
Tapi hidup pula yang melarat
Tali kasut dah tak berikat
Rambut pun jarang sikat
Yang perempuan, pakai mini sekerat
Suka pakai baju ketat... (apa dapat?)
Suka sangat menunjukkan pusat
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat
Pakai pulak yang singkat-singkat
Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'
Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat
Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat
Duduk jauh berkirim surat
Bila berjumpa, tangan berjabat
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat
Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat
Usah peduli agama dan adat
Usah takut Allah dan malaikat
Yang penting apa kita nak buat? Kita 'bukti' lah kita buat
Akhirnya perut kempis dah jadi bulat
Maka lahirlah pula anak-anak yang tak cukup sifat
Bila anak-anak tak cukup sifat, jam tu kita tengok bayi dibuang di merata tempat
MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT
Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat
Habis manusia telah tersesat
Inilah dia fenomena masyarakat
Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat
Marilah kita pakat mengingat
Bahawa dunia hari ini makin singkat
Esok atau lusa mungkin kiamat
sampai masa kita semua akan berangkat!
Berangkat menuju ke negeri akhirat
Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat
Masa tu, sendiri mau ingat
Umurmu banyak mana, berapa banyak kamu buat ibadat...?
Zaman mudamu, apa yang telah kamu buat...?
Harta benda anda, dari mana anda dapat...?
Ilmu anta, adakah anta manfaat...?
Sebagai sesama insan sama-samalah ingat mengingati sesama insan!!!
Semoga ia dapat mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat
dan memperbanyakkan ibadat.

Ahad, 9 November 2008

Surat Mahasiswa Kepada Ayahnya

Seorang mahasiswa menulis surat kepada ayahnya yang berbunyi begini.

Ayah,
Saya merasa tidak selesa kerana terus menerus menulis surat kepada ayah untuk meminta wang. Saya merasa malu dan sedih. Saya ingin meminta wang sebanyak RM200 daripada ayah, walaupun setiap bahagian tubuh saya memberontak. Saya meminta dengan tulus dari hati saya yang paling dalam, ayah maafkan saya.

Salam dari anakanda, Mat.

P/s: Saya merasa berat hati untuk mengirimkan surat ini, jadi saya cuba untuk mengejar posmen yang mengambil surat ini dari peti surat. Saya ingin mengambil kembali surat ini dan membakarnya, kerana surat ini pasti menyusahkan hati ayah. Saya berdoa dalam hati agar saya dapat semula surat ini, tapi sudah terlambat.

Beberapa hari kemudian dia menerima balasan surat dari ayahnya yang mengandungi ayat yang ringkas.

Kepada Mat,
Nak, doamu sudah dimakbulkan. Suratmu tidak pernah ayah terima.

Dari Ayahmu.

Sabtu, 8 November 2008

10 Sebab Cuci Motor Lebih Baik Dari Berkhalwat

1. Cuci motor boleh dilakukan depan kawan-kawan tanpa merasa malu dan bersalah.
2. Masa sedang asyik menggosok dada motor tak perlu tengok kiri kanan.
3. Motor tak merengek-rengek masa ia mula basah dan licin oleh sabun.
4. Boleh tangguh beberapa minit, pergi sambut telefon, makan nasi, pergi tandas, hisap rokok tanpa sesiapa yang tak puas hati.
5. Tak perlu pujuk-pujuk dan berjanji untuk bertanggung jawab sekiranya hendak mula mencuci motor.
6. Lepas cuci boleh naik dan henjut-henjut serta tunggang dalam sebarang posisi tanpa emak atau JPJ tegur sekiranya belum dihidupkan enjin.
7. Tak perlu bersusah payah mencari tempat tersembunyi - depan rumah atau di stesen minyak pun boleh.
8. Nak pancut air sepuas-puasnya dalam atau luar enjin tiada siapa yang larang.
9. Nak buat setiap hari lagi digalakkan, malah dipuji oleh kawan-kawan. Majikan tidak akan memecat anda.
10. Jika kebetulan tok kadi dan ketua kampung melintas, anda boleh menegur dengan senang hati dan mempelawa mereka mencuci motor.

A Malay Gentleman

A Malay Gentleman ialah lelaki Melayu yang terdidik dalam kesusilaan, Melayu yang halus, yang sensitif terhadap nilai-nilai murni universal, tahu malu, bersih dan bijak menjaga kehormatan

1. Lelaki gentleman seorang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan tahu apa matlamat hidup yang ingin dicapai dan dia bersemangat bagi merealisasikan impiannya.
2. Dia banyak bertimbang rasa dengan orang lain.
3. Dia pandai menyesuaikan diri dalam banyak keadaan.
4. Salah satu peribadi gentleman adalah apabila dia diperlakukan dengan buruk, dia membalas dengan berbuat baik, dan bukan dengan membalas keburukan itu.
5. Lelaki gentleman lebih banyak senyap daripada bercakap.
6. Wanita mudah percaya dan tertarik kepada lelaki yang berpakaian kemas.
7. Seorang lelaki tidak serius dalam hidupnya selagi dia tidak suka memakai baju masuk dalam (tuck in) dan bertali leher.
8. Lelaki gentleman sentiasa mengucapkan terima kasih kepada sesiapapun bagi menyampaikan rasa penghargaan.
9. Gentleman mampu menjadikan hati wanita cair apabila berhadapan dengannya.
10. Lelaki gentleman menggunakan sifat yakin dirinya apabila berhadapan dengan wanita.
11. Lelaki gentleman sentiasa memandang muka wanita semasa wanita itu bercakap kepadanya atau sewaktu lelaki sendiri sedang bercakap kepada wanita.
12. Lelaki gentleman adalah lelaki yang pandai membelai jiwa wanita dan faham keperluan wanita secara kejiwaannya.
13. Lelaki gentleman bukan seorang pemalu. Malunya ditempatkan pada dua perkara sahaja iaitu pada melakukan perbuatan maksiat dan mendedahkan dia kepada jatuhnya maruah diri.
14. Lelaki gentleman dikagumi kerana sifat gentleman yang yakin dan tidak pemalu.
15. Lelaki gentleman menggunakan gaya bercakap yang dinamik dan sangat meyakinkan. Mereka bercakap dengan lancar, tidak tersekat-sekat dan tidak teragak-agak. Bahasa mereka betul nahunya, tidak patah-patah dan tidak bercampur aduk dengan bahasa-bahasa lain. Sebutan mereka juga terang dan jelas.
16. Lelaki gentleman tidak berpeluk tubuh semasa bercakap dengan orang lain. Berpeluk tubuh menandakan seseorang itu bersikap defensif.
17. Lelaki gentleman yang berpenampilan menarik mempunyai peluang yang lebih baik untuk menarik perhatian wanita.
18. Memulakan langkah pertama. Anda bukan lelaki gentleman jika anda membiarkan wanita yang memulakan perbualan dan mengatur pertemuan.
19. Melayan semua wanita seperti ‘ratu cantik’ walaupun anda tidak menganggapnya sebagai teman istimewa. Jika seorang wanita rasa dirinya istimewa di mata anda, dia akan memberi komen yang positif mengenai anda pada rakan-rakan wanitanya.
20. Belanja makan pada pertemuan pertama. Bukannya wanita tidak mampu tetapi jika anda membiarkan wanita mengeluarkan wang pada pertemuan pertama, ini menunjukkan anda tidak berkemampuan ‘menjaganya’ kelak.
21. Yakinkan diri anda mempunyai sifat lelaki gentleman yang diidamkan oleh semua wanita.
22. Gunakan sifat-sifat maskulin anda seperti membukakan pintu, menawarkan diri untuk menghantarnya pulang, membantunya mengangkat benda-benda berat dan lain-lain lagi. Sifat ini akan memberikan rasa selamat pada diri seorang wanita dan membuatnya rasa dilindungi.
23. Wanita melihat kemampuan kewangan, fizikal dan mental seorang lelaki sebagai potensi teman hidup. Anda harus faham fitrah wanita mahu dirinya dijaga, dilindungi dan masa depannya terjaga. Mereka mahukan jaminan bahawa anda adalah tempatnya bergantung jiwa dan raga. Jika mereka melihat anda tidak tegas membuat keputusan mengenai perkara-perkara kecil, mereka mungkin berpendapat anda juga tidak tegas apabila berumah tangga. Sama seperti kewangan, wanita mesti diberi jaminan bahawa anda mampu menjaganya. Oeh itu anda harus ingat, kemampuan anda menjaga seorang wanita diukur melalui aspek anda membuat keputusan, kedudukan kewangan dan fizikal anda sebagai lelaki.
24. Janji temu adalah mengenai situasi lelaki dan wanita memainkan peranan maskulin dan feminin masing-masing. Gentleman mesti memberi sepenuh perhatian pada wanita semasa membuat janji temu. Tunjukkan bahawa anda mempunyai sifat-sifat lelaki sejati: penjaga, pemimpin, tempat wanita mencurah kasih sayang. (Perasaan romantis wujud apabila ada sifat maskulin dan feminin dalam sesuatu pertemuan. Sifat feminin adalah sifat menerima manakala sifat maskulin adalah keupayaan memberi dan menjaga)

Jumaat, 7 November 2008

Adakah Anda Lelaki Uberseksual?

Bagi wanita kini, anda mempunyai banyak pilihan sama ada memilih lelaki metroseksual yg mementingkan penampilan gaya diri atau lelaki uberseksual yg mementingkan taraf hidup dan karier mereka.

Panduan untuk menjadi lelaki uberseksual yang menarik.

1. Sentiasa berfikiran positif
Anda perlu berfikiran terbuka menerima sesuatu perkara. Dengan menggunakan akal yang bijak, anda perlu membuat keputusan yg betul. Jangan terburu-buru tanpa memikirkan buruk baiknya.

2. Sentiasa tampil bergaya
Pastikan anda berpenampilan menarik dan kemas. Jgn keterlaluan pula yg boleh menghilangkan imej maskulin anda.

3. Berkeyakinan dan sentiasa bersemangat dalam diri
Dalam apa jua tujuan dan cita-cita dlm hidup anda, lakukan dengan penuh yakin. Yakin dan usaha tangga kejayaan.

4. Hubungan persahabatan yang baik
Anda seharusnya menambah persahabatan dengan mewujudkan kemesraan dan perbincangan. Kongsilah kedukaan dan kegembiraan bersama rakan.

5. Sentiasa bersikap cool
Tunjukkan diri anda seorang yg berpengetahuan, jgn tunjukkan kelemahan dan sentiasa bijak mengawal emosi ketika bersama rakan.

6. Jangan berpura-pura
Jangan cuba selindungkan diri anda yg sebenar. Anda perlu bangga dengan diri anda. Belajar mengawal emosi dan ketahui lah ramai org tidak suka sikap hipokrit.

7. Penuhkan ilmu di dada
Belajar dan membacalah andai ia mampu menambah pengetahuan dan dpt mengembangkan lagi karier anda.

8. Jangan terlalu merendah diri
Anda boleh menjadi lelaki uberseksual yang menarik. Mantapkan kerja anda dan tingkatkan diri sedikit demi sedikit. Jika anda seorang kerani sekali pun, anda boleh cuma anda perlu yakin pada diri sendiri.

9. Jadilah idola wanita
Menjadi idola utk wanita akan membuatkan anda lebih yakin. Jaga penampilan dan perbuatan akan membuatkan wanita mengambil perhatian terhadap anda.

Khamis, 6 November 2008

Kursus P & P Inovatif



Pada 3-5 November 2008, cikgu telah menghadiri Kursus P & P Bahasa Melayu Inovatif di Duta Village Beach Resort, Kuantan anjuran Jabatan Pelajaran Selangor. Antara fasilitator yang memberi ceramah ialah Cikgu Dr. Ghazali Lateh dan Cikgu Ghalib Yunus, dua guru inovasi peringkat kebangsaan. Di atas ialah gambar cikgu semasa berkursus.

Rabu, 5 November 2008

Doa Sempena Majlis Penutup Kursus

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
الْـحَمْدُ للهِ الذِيْ بِنِعْمَتِهِ تَتِمّ ُالصَّالِـحَاتُ ، وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِنَا الأمِيْنَ وَعَلَى ءَألِهِ وَأصْحَابهِِ أجْـمَعِيْنَ .

Ya Allah,
Engkaulah Penguasa Langit dan bumi serta perbendaharaan antara kedua-duanya,
Ya Allah kami merafakkan kesyukuran di atas keizinan-Mu,
untuk kami berkampung selama tiga hari dalam Kursus Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Inovatif,
kami juga bersyukur kerana Engkau mengizinkan kami menghadirkan diri, emosi dan roh kami sehingga dapat menyelesaikan kursus ini dengan jayanya.

Ya Allah,
bagi-Mu segala puji dan puja,
kurniakanlah kami lisan yang lembut basah, mengingati dan menyebut nama-Mu
hati yang penuh segar mensyukuri nikmat-Mu
serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintah-Mu.

Ya Munzilar Rahmat wa Ya Fatihal Barakat,
kembangkanlah lembayung dan gelombang rahmat-Mu kepada kami,
ibu bapa kami, keluarga dan anak-anak kami,
guru-guru kami, anak-anak didik kami di sekolah,
sahabat-sahabat seperjuangan dalam bidang pendidikan.

Ya Allah, Qaadhial Hajat,
tika dan saat ini kami hulurkan tangan kehambaan yang penuh dengan noda dan dosa serta tangan penuh dengan pengharapan,
sesungguhnya kami berlumuran dengan dosa,
maka ampunkanlah dosa-dosa kami;
sesungguhnya kami lemah dalam sendirian, maka kuatkanlah kami dan Islam dalam amal jamai’e dan kolektif;
sesungguhnya kesabaran kami punya batasnya, maka kurniakanlah kami nikmat kesabaran seumpama sabarnya Nabi-nabi Ulul’azmi;
sesungguhnya kami amat cenderung untuk mengutamakan diri kami,
maka didiklah hati kami untuk mengutamakan keperluan saudara-saudara seagama kami, sebagaimana Kekasih-Mu mendidik para sahabat baginda berbuat demikian;
sesungguhnya hati kami juga sentiasa berbolak balik dan bercerai-berai,
maka satukanlah hati-hati kami dan berikanlah kami ruang dan masa untuk bantu-membantu, dalam menegakkan amal makruf dan nahi mungkar .

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا ، وَتَفَرُّقَـَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقاً مَعْصُوْمًا ، وَلاَ تَجْعَلِ اللَّهُمَّ فِيْنَا وَلاَ مَعَنَا وَلاَ مَنْ يَتْبَعُنَا شَقِيًّا وَلاَ مَطْرُوْدًا وَلاَ مَحْرُوْمًا .
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار ِوَصَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ ، وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Doa Pembuka Majlis/Kursus

Di bawah ini ialah petikan doa yang cikgu baca semasa taklimat kursus P & P Bahasa Melayu di Duta Village Beach Resort, Kuantan.

Bismilla hirrahma nirrahimm
Alhamdulillahi rabbil 'alamin.
Allahumma solli wasallim 'ala saiyidina Muhammadiw
wala alihi wasahbihi ajma'in.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang
segala pujian hanya bagi Allah tuhan sekalian alam
selawat dan salam atas rasul junjungan Nabi Muhammad s.a.w

Ya Allah
pada hari yang penuh keberkatan ini
kami menadah tangan sambil melafazkan kesyukuran
atas segala nikmat, rahmat, inayat dan pertolongan
nikmat iman, nikmat kesejahteraan
nikmat kemerdekaan, pembangunan dan keamanan

Ya Allah
perbaikilah urusan dunia dan agama kami
bersih dan suci pekerjaan kami
berilah cahaya petunjuk-Mu
kepada hamba-hambamu di dunia ini
berilah kami ilham untuk mendapat jalan-Mu yang lurus
peliharalah kami daripada segala kejahatan dan keburukan

Ya Allah
yang maha berkuasa
yang maha mulia
yang maha bijaksana

Kami berdoa dan bermohon
bukakanlah hati kami dengan pancaran iman
sanubari kami dengan penuh yakin dan kepercayaan
fikiran kami dengan ilmu pengetahuan
jiwa dan rohani kami patuh dan taat kepada al quran
dan hadis nabi akhir zaman

Ya Allah Ya Rahman
kami memohon agar engkau jadikan Kursus Pengajaran dan Pembelajaran Inovatif Bahasa Melayu yang diadakan dari 3 hingga 5 November 2008 ini
sebagai kursus yang engkau berkati dan redhai
semoga melalui kursus ini
dapat menjadi wadah yang dapat mengeratkan perpaduan antara kami
dalam menghargai nikmat kemerdekaan
demi agama, bangsa dan negara yang kami cintai
kabulkanlah doa sekalian kami
ya rabbal ‘alamin...

Ahad, 2 November 2008

Rahsia Gadis Mengekalkan Keayuan

Keayuan gadis tidak hanya terletak pada paras rupa. Ia merupakan gabungan segalanya, dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. Berikut merupakan cara-cara untuk gadis mengekalkan keayuan mereka.

Menjaga kejelitaan semulajadi (natural beauty) dengan tidak memakai bahan-bahan luaran tetapi menjaga emosi, fizikal dan mental. Gunakan masa untuk perkara yang berfaedah dan tentukan wawasan secara objektif, jangan banyak angan-angan. Tidur awal setiap malam dan bangun awal setiap pagi untuk solat subuh. Jangan tidur siang hari.

Menjaga suara. Latih diri bercakap dengan nada yang lembut, tidak sengau atau suaranya terlalu kuat.

Menjaga cara berkata-kata. Biasakan menggunakan perkataan yang melambangkan keluhuran budi seperti "tolong" serta "minta maaf".

Jangan gunakan perkataan yang terlalu beremosi seperti bosan, sakit hati, menyampah, benci dan sebagainya kerana ia akan menyebabkan muka jadi berkerut dan masam.

Menjaga kulit. Kebersihan sentiasa dijaga. Makanan yang berupa ulam-ulam yang wangi serta sayuran dan buah-buahan segar patut selalu dimakan. Gunakan sabun yang tidak merosakkan kulit.

Menjaga muka. Tangan perlu sentiasa bersih dan lembut. Jangan gunakan bedak yang bukan-bukan.

Selalu menggunakan bedak sejuk untuk menjaga kulit muka. Jangan banyak berangan.

Menjaga rambut. Ia mahkota kejelitaan gadis. Bersihkan rambut tapi jangan terlalu kerap. Bila bersikat, ulangi sikatan ke seluruh bahagian kepala 100 kali untuk menjadikan rambut subur dan berkilat. Ramai lelaki suka pada gadis berambut panjang tapi kemas.

Menjaga cara berjalan. Latih cara berjalan. Jauhi dari berjalan mengengkang atau tangan terlalu dihayun. Langkah jangan terlalu besar.

Jangan berjalan terlalu laju. Badan jangan terlalu membongkok atau tegak. Leher jangan terteleng (senget sebelah). Muka elok ditundukkan sedikit.

Menjaga gerak-geri. Bila duduk di atas lantai duduklah dengan cara bersimpuh. Kalau duduk di atas kerusi, eloklah sila panggung. Jangan mengangkang. Tangan jangan terlalu digerakkan bila bercakap. Cara bergerak biarlah lemah-lembut.

Menjaga senyum. Latihlah senyum jangan tersengeh. Tutup mulut bila ketawa. Ketawa secara sederhana. Selalu senyum tapi untuk tujuan baik.

Menjaga mata. Mata janganlah terlalu liar memandang sekeliling. Tundukkan mata dan memandang hanya kepada apa yang sedang anda hadapi. Jangan terlalu kerap mengerdipkan mata.

Usah terlalu kerap menjeling walaupun kepada buah hati anda.

Menjaga kehormatan. Sentiasa bertemankan ibu atau saudara bila keluar. Minta izin ibubapa. Pakaian sopan. Pulang seawal mungkin.

Menjaga sikap. Taat beragama. Jangan bohong.

Jauhi dari merungut. Jauhi dari menjadi amat cerewet dan jaga hati orang lain.

Rahsia Keperibadian Wanita Melalui Cara Berjalan

Setiap gerakan wanita ketika berjalan itu melambangkan keperibadiannya. Sifat itu adalah seperti berikut:

Jika berjalan, dari belakang kelihatan seperti tidak memijak tanah.
Golongan wanita yang jalannya berginjat, kononnya wanita ini wanita yang tidak jujur, kalau berbual, mulutnya laser dan menyinggung perasaan orang lain. Wanita yang berjalan seperti ini juga terkenal dengan sikap egonya. Lebih parah, wanita ini biasanya pemboros atau suka membazir wang tanpa berfikir sebelum berbelanja. Padahal, wang yang dimilikinya itu masih banyak kegunaannya. Tapi jangan berkecil hati, kerana wanita seperti ini biasanya menjadi pujaan ramai lelaki.

Jika berjalan, sering menoleh ke kanan dan kiri.
Wanita seperti ini biasanya pandai menyimpan rahsia. Walaupun ramai yang menganggap wanita seperti ini tidak jujur, suka menipu teman sendiri, dan merugikan teman bualnya, namun, ramai lelaki yang berusaha untuk menakluk hatinya. Konon wanita seperti ini senang diatur dan diuruskan.

Jika berjalan suka menunduk.
Cara berjalan melambangkan wanita seperti ini memiliki sifat yang tertutup. Ia hanya akan berbual dengan orang-orang yang rapat dengannya dan boleh dipercayai untuk menyimpan rahsianya. Wanita seperti ini biasanya sukar untuk ditakluk hatinya. Di samping sikapnya yang dingin, wanita seperti ini tidak peduli dengan kehidupan cinta. Namun, jika ada lelaki yang berjaya menawan hati wanita dengan cara berjalan menunduk ini, dijamin akan mendapat kebahagiaan. Sebab, wanita jenis ini sangat setia, dan dia tidak akan mengkhianati lelaki yang dicintainya.

Jika berjalan menatap lurus ke depan.
Wanita seperti ini biasanya memiliki pendirian yang teguh, bukan senang hendak menggoncang imannya. Jangan sekali-sekali menentang apa yang pernah dikatanya, jika anda tidak mahu mendengar dia berleter panjang lebar. Meskipun pendiriannya teguh, tapi dia selalu berselisih pendapat. Jangan hairan jika wanita seperti ini hanya mahu berbual dengan orang yang berpengalaman luas.

Jika berjalan badan bergerak ke kanan dan kiri.
Wanita yang berjalan dengan gaya yang sedemikian tidak ambil kisah dengan masalah yang berlaku. Apa pun masalah yang ada dihadapannya, dia dianggap kecil. Padahal masalah itu sebenarnya memerlukan kebijaksanaan untuk diselesaikan. Kerana sifatnya yang suka ambil mudah ini, banyak persoalan yang akhirnya tidak dapat diselesaikan dan akibatnya merugikan dirinya sendiri.

Jika berjalan badan tampak tegak.
Wanita ini tegas menentukan sikapnya sendiri. Dia tidak mahu urusan peribadinya dicampur oleh orang lain. Gaya bicaranya serius seperti ingin menunjukkan dia memiliki pendirian teguh. Yang menarik dari wanita ini, dia bertanggungjawap terhadap apa yang pernah dilakukannya. Dia menyenangi lelaki yang berdikari tanpa meninggalkan sifat-sifat romantiknya.

Jika berjalan seperti zirafah.
Maksudnya, ketika melangkahkan kaki, badannya kelihatan bergerak ke depan dan ke belakang. Wanita jenis ini sangat lemah perasaannya. Dia seorang yang mudah terasa dan mudah tersinggung. Jadi, jika anda berbual dengan wanita seperti ini kenalah menjaga perasaannya agar tidak tersinggung, kerana wanita ini mudah mengalirkan air mata.

Sabtu, 1 November 2008

Tip Bercukur

Bersihkan Muka
Sebelum bercukur anda sepatutnya mencuci atau membuang segala kekotoran dan daki di bahagian muka. Begitu juga bagi kulit yang berminyak. Cara ini akan membuang semua kotoran dan melicinkan muka anda sekaligus memudahkan anda bercukur. Untuk membuka pori-pori dan melembutkan rerambut, lapkan muka dengan tuala yang direndam dalam air panas.

Bahan Pelembap
Anda perlu menggunakan bahan pelembap yang banyak terdapat di pasaran. Rasanya yang dingin serta mengandungi vitamin C dapat membersihkan muka. Ia dapat menanggalkan segala saki-baki kotoran degil dan melembutkan bulu atau rambut yang hendak dicukur.

Gunakan Cermin
Bercukur bukan sahaja untuk bahagian muka malah meliputi kawasan yang anda perlu bersihkan. Untuk ini anda perlu berhati-hati terutama kawasan yang berhampiran dengan alat kelamin. Tetapi bagi kawasan yang tidak dapat diihat dengan jelas sebaiknya menggunakan cermin. Menggunakan 3 buah cermin lebih membantu anda.

Pisau Cukur Pelbagai Guna
Gunakan pisau cukur yang mempunyai mata berlapis. Bagi sesetengah kulit, muka elok menggunakan pisau cukur jenis ini. Selain mudah, ia juga lebih menjimatkan berbanding menggunakan pisau cukur bermata tunggal. Penggunaan pisau ini akan menjadi lebih lancar kerana setiap lengkung tubuh dapat dicapai olehnya. Dengan kemajuan teknologi, pelbagai bentuk pisau cukur telah dicipta. Hanya kebijaksanan anda untuk memilih pisau yang sesuai.

Jangan Cukur Ketika Muka Kering
Jangan bercukur dalam keadaan kulit kering. Anda patut menggunakan pelembap yang sesuai. Kompenon glycerin yang tedapat dalam losyen ini dapat menutup pori-pori dan melembapkan segala rambut atau bulu. Kulit yang kasar akan berisiko mendapat luka. Anda boleh memilih pelembap jenis krim atau buih.

Gunakan Berus
Gunakan berus yang sesuai untuk menyapu losyen atau krim pada bahagian yang hendak dicukur. Dengan menggunakan berus ia dapat meratakan losyen berbanding dengan jari. Sebaik-baiknynya berus berbulu halus dan lembut agar anda rasa lebih tenang dan selesa.Teknik
Anda boleh bercukur dengan mengguna pelbagai teknik asalkan mata pisau tidak tertoreh kulit. Bagi rambut atau bulu yang panjang, cukur mengikut arah bulu itu. Bagi melicinkan kesan cukur atau bahagian rambut atau bulu pendek, cukur berlawanan arahnya. Ini akan memastikan bulu-bulu terpotong sehingga ke dalam liang. Anda patut mencuba teknik baru yang dapat memberikan keselesaan. Lakukan yang terbaik untuk anda. Ada lelaki yang bercukur setiap hari. Bagaimanapun ini bergantung kepada berapa cepat bulu muka, janggut atau misai itu tumbuh.

Bilas
Selepas bercukur, bilaskan pisau cukur menggunakan air paip yang mengalir. Langkah ini dapat menanggalkan segala bulu atau rambut daripada mata pisau. Setelah itu anda boleh mengetuk pisau cukur pada pintu. Walaupun cara ini tidak dapat menanggalkan segala rambut yang melekat tetapi ia memudahkan dan menjimatkan masa anda. Sebaiknya gunakan mata pisau pakai buang.

Bersikap Tenang
Anda harus ingat, bahawa anda sedang menggunakan 'senjata tajam'. Tersilap langkah, anda akan mendapat luka. Oleh itu anda perlu memberikan tumpuan sepenuhnya dan bersikap tenang. Jangan menekan terlalu kuat pisau ketika bercukur. Bagi anda yang baru tumbuh bulu atau misai, eloklah berlatih mencukur belon tanpa memecahnya!.

Gunakan Kedua-dua Tangan
Anda hendaklah menggunakan kedua-dua tangan ketika bercukur. Sebelah memegang pisau cukur manakala sebelahnya lagi bertindak sebagai co-pilot. Tangan co-pilot ini akan menekan kulit sebelum mencukur agar kawasan tersebut menegang.

Buat Perancangan
Anda tidak boleh mencukur sebarangan. Anda hendaklah menyediakan pelan sebelum mencukur. Seeloknya jika ingin mencukur di bahagian muka hendaklah dimulakan di bahagian bauk (sideburn) kemudian diikuti janggut atau misai. Setelah itu bercukur ke bahagian leher, seterusnya ke bahagian bawah sebelum ke bawah bibir. Anda boleh meninggalkan bahagian yang sukar dicukur terlebih dahulu sebelum menyambung kembali. Anda hendaklah bercukur dalam keadaan santai. Bercukur seperti juga memandu di jalan raya kerana kelajuan membunuh.

Selepas Bercukur
Bersihkan muka menggunakan tuala yang bersih. Jangan sesekali menggunakan tuala yang anda telah guna. Ini kerana ketika ini kulit muka anda cukup sensitif. Setelah bercukur, anda hendaklah membiarkan kulit muka anda dalam keadaan rehat dengan mengeringkannya. Cara ini dapat menutup kembali pori-pori kulit. Losyen atau aftershave cologne dapat membantu merehatkan kulit anda.

Luka
Sekiranya anda mengalami luka, jangan diteruskan pencukuran. Bersihkan luka itu dengan tisu terlebih dahulu sebelum kembali bercukur. Hanya titiskan dan sapu sedikit minyak gamat atau ubat luka. Tidak perlu pergi ke hospital kerana biasanya yang berlaku hanyalah luka kecil.

Penyelaras Bestari

Cikgu bersama rakan-rakan semasa mengikuti KDP Bestari 4 Minggu di IPBMM

Jawatan Penyelaras Makmal Bestari diwarankan kepada sekolah-sekolah selaras dengan Program Pembestarian Sekolah di Malaysia. Pekeliling Ikhtisas Bil 3/2005 menyatakan bahawa seorang Penyelaras Bestari diperuntukkan kepada sekolah-sekolah yang bertaraf Sekolah Bestari.

Dalam proses pembestarian sekolah biasa, jawatan Penyelaras Makmal Bestari diadakan. Waran perjawatan Bil S37 Tahun 2000 digunapakai sebagai panduan (bidang tugas dan jumlah waktu mengajar) dalam projek Pembestarian Sekolah ini. Bagi membezakan jawatan yang dipegang oleh sekolah Bestari dan sekolah biasa yang sedia ada maka terdapat dua jawatan:

1. Jawatan Penyelaras Bestari - untuk Sekolah Bestari
2. Jawatan Penyelaras Makmal Bestari - untuk Sekolah Biasa yang dipilih dalam Projek Pembestarian Sekolah Malaysia.

Proses mengisi waran perjawatan ini dilakukan berperingkat-peringkat mengikut fasa sebaik saja pihak JPA/BTP Negeri Perak selesai menemuduga ribuan calon yang memohon jawatan Juruteknik Makmal Komputer. Bagi Jawatan Penyelaras Makmal Bestari pula, pihak sekolah perlu mencadangkan nama guru yang difikirkan layak menjawat jawatan ini kepada BTP Negeri melalui PKG Zon masing-masing.

Panduan Mendapatkan Salinan Keputusan Peperiksaan

Sijil atau pernyataan asal hanya dicetak sekali sahaja bagi semua jenis peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Salinan keputusan peperiksaan dikeluarkan bagi menggantikan sijil atau pernyataan yang hilang atau rosak.

Surat sumpah atau laporan polis yang asal perlu dikemukakan sekiranya permohonan dibuat melalui pos atau mewakilkan kepada orang lain untuk membuat permohonan. Walaubagaimana pun surat sumpah atau laporan polis tidak diperlukan sekiranya pemohon datang sendiri. Pemohon hanya perlu menunjukkan kad pengenalan sebagai bukti.

Surat sumpah atau laporan polis hendaklah mengandungi maklumat berikut:
1. Nama penuh yang digunakan semasa mengambil peperiksaan
2. Nombor kad pengenalan lama dan baru
3. Tarikh lahir
4. Nombor pusat mengambil peperiksaan dan angka gilliran
5. Nama peperiksaan
6. Nama sekolah dan tahun mengambil peperiksaan.

Sertakan bersama salinan pernyataan atau sijil (sekiranya ada) untuk rujukan. Bayaran proses RM10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Sahaja) dikenakan bagi setiap helaian salinan keputusan yang dipohon. Bayaran boleh dibuat menggunakan Wang Pos (Postal Order) atau Kiriman Wang Pos (Money Order) atas nama ‘PENGARAH PEPERIKSAAN'. Cek persendirian tidak diterima. Lembaga Peperiksaan tidak akan mengeluarkan salinan keputusan jika didapati mana-mana peraturan di atas tidak dipatuhi atau butir-butir yang dikemukakan tidak benar. Wang proses permohonan tidak akan dikembalikan.