Isnin, 15 April 2019

Latihan Lembut Lidah


LATIHAN PENGUCAPAN KONSONAN K

Ketam ketip kuku kakinya. Kawan karib Ketam, Kodok kata kepada Ketam, "Kenapa kau ketip kuku kaki kau, Ketam?" Ketam kata, "Kuketip kuku kakiku kerana kuku kakiku kelurut... kakakku kata, kalau kukuku kelurut, kita kena ketip!"

Kodok kentut kekeliruan. Kodok kata kekalutan, "Kadang-kadang kalau kukuku kelurut, kuketip kenapa keluar kudis?" Ketam ketawa, "Kah..kah..kah..kah..kih..kih..kih..kih.. Kuh.. kuh.. kuh.. kuh! Kodok... Kodok... kenapa kadar kebodohan kau ketara keterlaluan?"

Kodok kata kepada Ketam, "Ketam, kenapa kau ketawakanku?" Ketam kilas, "Kelakar."
"Kelakar ke kurang ajar?" kata Kodok. Kerana kemarahan Kodok keterlaluan, Kodok keperok kepala ketam kuat kadar kilat. "Kelekuk! ", kepala Ketam kehancuran kerana kena ketuk Kodok.

Ketam kata, "Kodok... Kodok.. kenapa kau ketuk kepalaku? kan kesakitan." Kesian Ketam. Kerana kurang ajar, kepala kena ketuk.

LATIHAN PENGUCAPAN KONSONAN AWAL

b = Besok bapak boleh beli buku biru baru
c = Comel cuma cari cili celah cerek
d = Dalam dongeng dulu dara duduk diam dekat dewa
f = Fakir fikir fasal fulus filus
g = Gembala gila gelek gadis gagap goyang gusi
h = Hati hairan hendak hormat hukum hidup
j = Jika jengkel jual jagung jangan jolok jendela jiran
k = Kakak kerja kita kena ketil kutu kolam
l = Lekas lompat lari lihat leher laki luka
m = Merak merah muda marah minta mogok
n = Nenek nona nujum naik nesan
ny = Nyonya nyanyuk nyenyek nyanyut
p = Paman penat potong putik pisang pendek pendek
r = Rumah rimba raya roboh rebah ranap ranah
s = Siput suka seret sotong sambil senyum
t = Tamu tolak tapai tumpah tepi tilam
z = Zahir ziarah zuriat zulu zirafah zalim

LATIHAN PENGUCAPAN KONSONAN BERULANG

b = Babu bebal bubuh bubur baba
c = Cucu cacat cicir cicit cuci cicak
d = Duda duduk dedah dadu di dada
g = Gegat gagah gigit gagak gugur

Taklimat Pengungsian Bangunan Fire Drill di Sekolah

Dalam bahasa yang mudah, pengungsian bangunan bererti semua penghuni sesebuah bangunan keluar dari bangunan secara teratur mengikut pelan laluan menuju ke tempat berkumpul.

Mengikut piawaian latihan kebakaran, masa maksimum yang diambil untuk berkumpul di tempat yang ditetapkan ialah tujuh minit sahaja bagi bangunan 4 tingkat.

Tujuannya ialah bagi memastikan warga sekolah peka, tenang dan bersedia menghadapi kemungkinan kebakaran dan kecemasan, supaya AJK yang dilantik sentiasa bersedia sepanjang masa, supaya laluan kecemasan digunakan mengikut perancangan, dan dapat menguji keberkesanan alatan bomba.

Latihan perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Apabila loceng kecemasan dibunyikan, tutup lampu dan kipas. Selepas semua pelajar keluar dari kelas, tutup pintu menandakan tiada pelajar yang masih tinggal.

Di setiap aras ada seorang guru yang akan memantau dan setiap blok ada seorang penyelaras tingkatan yang akan memastikan semua penghuni telah keluar.

Kawasan berkumpul hendaklah 30 meter dari bangunan.

Kesalahan yang akan dipotong markah ialah penghuni tolak-menolak, bersikap acuh tak acuh seperti bercakap dan bergurau semasa berjalan ke tempat selamat dan berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal.

Setelah semua pelajar berkumpul di tempat selamat, panggilan baris hendaklah dilakukan.

Guru kelas hendaklah memanggil nama mengikut buku kedatangan dan akan melaporkan jumlah pelajar yang ada dan tiada dalam barisan kepada pegawai insiden (PKP).

Pegawai insiden hendaklah memberi laporan kebakaran kepada anggota bomba, iaitu jenis kebakaran, headcount semua pelajar dan pelajar yang tiada di tempat perhimpunan.

Pihak bomba akan melakukan proses mencari dan menyelamat setelah menerima maklumat daripada pegawai insiden.

Proses pengungsian bangunan diringkaskan seperti berikut –  tanda kebakaran kelihatan – isyarat kecemasan dibunyikan – tutup kipas, lampu dan pintu – keluar dengan teratur – berkumpul di tempat selamat – berbaris mengikut kelas – guru kelas mengira bilangan pelajar – guru kelas membuat laporan kepada pegawai insiden (PKP) – jentera bomba tiba di lokasi – pegawai insiden membuat laporan kepada anggota bomba – anggota bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat – mangsa ditemui – pasukan bantu mula (PBSM) memberi bantuan awal kepada mangsa – kebakaran berjaya dipadamkan – penggera dimatikan – arahan selamat oleh anggota bomba – demonstrasi alat pemadam api – kawad kebakaran selesai.

Teks Ucapan Perasmian Hari Anugerah Kecemerlangan


Bismillahhirrahmanirahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
salam sejahtera, salam Negaraku Malaysia.

Terima kasih pengerusi majlis.

Yang Berusaha Tuan Haji Mohamad Kamaludin bin Taib,
Pengetua SMK Kampong Jawa, Klang,
Yang Berbahagia Puan Anita binti Md. Idris, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa
Yang Dihormati Puan Shuhara binti Abu Hamizan,
Penolong Kanan Kurikulum dan Pentadbiran,
Cik Zarina binti Ismail, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Tuan Haji Muzikir bin Muhammad, Penolong Kanan Kokurikulum,
Barisan guru dan ibu bapa yang budiman
dan murid-murid yang dikasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa kerana sudi mengundang saya ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada ibu bapa yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan hadir ke majlis ini. Terima kasih dan tahniah kepada guru-guru yang berjaya memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti ini. Semoga majlis ini dapat dijadikan asas permulaan anjakan paradigma menjana modal insan yang terbilang.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Sebenarnya, kejayaan seorang pelajar bukan hanya terletak pada usaha dan kesungguhan guru semata-mata. Selain guru yang diumpamakan lilin membakar diri ini, ibu bapa juga perlu mencorakkan masa depan anak-anak mereka. Malah tuan-tuan dan puan-puan, bagi saya faktor yang paling utama kejayaan terletak pada diri pelajar itu sendiri, agar sentiasa mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

Pada kesempatan ini saya ingin melontarkan cabaran kepada murid-murid agar dapat membuktikan bahawa anda mampu meneruskan kejayaan yang lebih gemilang. Berusahalah dengan lebih gigih berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru untuk memperoleh kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah.

Hadirin sekalian,

Saya percaya majlis pada hari ini selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan murid-murid agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Diharapkan semoga program seperti ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengucapkan tahniah  dan  syabas kepada semua murid atas kejayaan anda. Akhir kata, dengan lafaz “Bismillahirahmanirrahim” saya merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.