Terima kasih pengerusi majlis.
Bismillahhirrahmanirahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Negaraku
Malaysia.
Yang Berbahagia, Encik Muhammad bin
Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa,
Yang Berusaha, Puan Noraizah binti Mohd
Nor, Penolong Kanan Pentadbiran
Yang Dihormati Puan Puziah binti Tuban,
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Tuan Haji Muzikir bin Muhammad, Penolong
Kanan Kokurikulum,
Puan Normala binti Misman, Penolong
Kanan Pendidikan Khas,
Encik Amir Saifudin bin Abd Majid,
Penolong Kanan Petang,
Guru-guru SMK Kampong Jawa
Ahli jawatankuasa PIBG
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana
atas limpah kurnia-Nya segala perancangan dan usaha yang jitu maka Mesyuarat
Agung Tahunan PIBG kali ke-20 dapat diterjemahkan hari ini. Terima kasih kepada
semua ibu bapa yang dapat hadir pada hari ini ini. Kehadiran ibu bapa
menunjukkan komitmen yang tinggi bagi merealisasikan visi dan misi sekolah
untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah
pelajar. Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan dan terima kasih kepada
semua guru yang berhempas pulas dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam
menjayakan majlis kali ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati
sekalian,
SMK Kampong Jawa
menggalas visi menjadi sekolah cemerlang menjelang 2020 dengan misinya
membangunkan sahsiah pelajar ke arah kecemerlangan melalui pendidikan
berkualiti berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan. Hal ini selaras dengan
pepatah ‘Datang dengan Harapan, Pulang dengan Kejayaan. Kita sedia maklum
bahawa anak-anak ini merupakan penyejuk hati, pengarang jantung. Kelahiran
seseorang anak menjanjikan harapan yang tinggi menggunung kepada kedua-dua ibu
bapa. Kejayaan anak-anak merupakan hadiah yang paling bernilai untuk semua ibu
bapa. Kemenjadian anak-anak adalah bermula dengan ibu bapa. Pihak sekolah
berharap semua ibu bapa janganlah meletakkan 100% tanggungjawab mendidik
anak-anak kepada pihak sekolah sahaja.
Sokongan dan
penglibatan semua ibu bapa amat diperlukan dalam memastikan kejayaan anak-anak
ini. Sebagai permulaan untuk proses pengajaran dan pembelajaran, ibu bapa perlu
memastikan anak-anak membawa peralatan sekolah seperti alat tulis serta buku
teks. Selain itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak bangun awal dan datang
awal ke sekolah agar masalah pelajar lewat boleh diatasi. Ibu bapa perlu
memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pelajaran anak-anak. Anak-anak
perlu diberikan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya agar diri mereka
tidak tersisih.
Ramai ibu bapa tidak
hadir apabila pihak sekolah mengadakan program dan majlis ilmu dengan memberi
alasan sibuk bekerja. Keadaan ini amat menyedihkan pihak sekolah kerana
ditakuti anak-anak kita akan tersasar jauh. Jadi, saya mewakili pihak sekolah
menyeru supaya ibu bapa memberi kerjasama yang erat kepada pihak sekolah supaya
kita sama-sama dapat berganding bahu dan sekali gus dapat menyuntik semangat
belajar dalam sanubari anak-anak.
Anak-anak amat
memerlukan inspirasi dan galakan untuk belajar. Minat belajar perlu ditanam dan
disemai dalam jiwa anak-anak kerana mereka ibarat kain putih dan ibu bapalah yang
mencorakkan dan mewarnainya. Anak-anak memerlukan masa untuk bermesra dan berbincang
dengan ibu bapa mereka. Ibu bapa perlu memastikan bahawa mereka mempunyai masa
untuk tujuan tersebut. Hal ini tidak mustahil dilakukan walaupun ibu bapa sibuk
bekerja. Ibu bapa boleh menelefon untuk bertanya khabar atau makan semeja pada
waktu yang berkesempatan. Pokoknya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Dengan perkembangan semasa yang kita semua sedia maklum, PIBG menghadapi
pelbagai cabaran membantu pihak sekolah dalam semua aspek khasnya kemajuan dan
kecemerlangan pendidikan anak-anak dari semasa ke semasa. Tanpa kesepakatan dan
kerjasama yang jitu amat sukar bagi kita bagi mencapai kejayaan yang
diharapkan. Hasrat ini lebih mudah dicapai apabila semua pihak termasuk ibu
bapa dan ahli komuniti bersatu dan menyokong satu matlamat, iaitu membantu
murid berjaya. Peranan ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah
tidak dapat dinafikan. Apabila ibu bapa terlibat sama, sekolah mendapat banyak manfaat
antaranya pencapaian murid meningkat, kes disiplin dalam kalangan murid
berkurangan dan hubungan pihak sekolah dengan ibu bapa menjadi lebih baik.
Penglibatan ibu bapa
dengan pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan kajian
membuktikan ia membawa perubahan yang ketara dalam kejayaan seseorang anak. Melalui
penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak akan memberi faedah kepada
kedua-dua pihak. Anak-anak akan mencapai keputusan akademik yang lebih
cemerlang serta mempunyai motivasi yang lebih tinggi di samping rekod kehadiran
ke sekolah yang lebih baik.
Apa yang lebih penting
adalah mewujudkan suasana pembelajaran di rumah seperti menyediakan ruang untuk
anak belajar dan memastikan anak mempunyai jadual ulang kaji. Jika boleh, ibu
bapa perlu menemani anak semasa dia sedang belajar kerana kehadiran ibu bapa
mengukuhkan perasaan dan mengekalkan tumpuannya. Pada masa yang sama, ibu bapa
perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak dan perbualan merupakan interaksi yang
asas untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu secara sepakat. Berbincang
dengan anak mengenai pelajaran dapat mengetahui perkembangan pencapaiannya dan membimbingnya
merangka tindakan. Melalui perbincangan juga akan menghasilkan suatu pandangan
bersama tentang sasaran anak dalam pelajaran di samping membantunya mencapai
cita-cita.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saya bagi pihak sekolah
merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama
yang baik dalam melaksanakan pelbagai program sekolah. Hanya dengan kejasama semua
pihak secara berterusan maka anak-anak didik sekolah ini dapat terbina sebagai
insan yang cemerlang dari segi sahsiah, akademik dan kokurikulum.
Setinggi-tinggi
penghargaan juga dirakamkan kepada barisan PIBG yang diterajui oleh Encik
Muhammad yang banyak memberi sokongan baik dalam bentuk kewangan mahupun idea
serta moral. Tidak keterlaluan jika saya katakan barisan PIBG sekolah ini amat
dedikasi dan komited dalam membantu sekolah mencapai hala tuju dan
kecemerlangan.
Akhir kata, semoga
Allah memberkati kerjasama dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi
membina insan yang berilmu dan cemerlang seterusnya menjadi rakyat yang berjaya
kepada agama, bangsa, dan negara.
Sekian sahaja, saya
sudahi dengan wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.