Khamis, 20 Mac 2014

Teks pengerusi Majlis Tilawah Al-Quran MTQ


Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum WBT.

Yang dihormati barisan panel hakim, guru-guru pengiring, yang dikasihi peserta pertandingan Majlis Tilawah Quran peringkat daerah Klang bagi tahun 2014.

Alhamdulillah, setinggi ucapan syukur kita  panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, pada pagi ini kita dapat bersama-sama untuk Majlis Tilawah Quran Peringkat Daerah Klang bagi tahun 2014.  Saya bagi pihak jawatankuasa pengelola pertandingan mengalu-alukan kehadiran  tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Sebelum kita menyaksikan pertandingan, izinkan saya memperkenalkan barisan hakim yang akan mengendalikan pertandingan kita pada hari ini.

Diperkenalkan
1. Ustaz Mohd Nor b. Abd. Rahman selaku ketua juri. Seterusnya
2. Ustaz Munir selaku hakim taranum.
3. Ustaz Ahmad Ridzaki selaku hakim fasohah.
4. Ustazah Radziah selaku hakim tajwid, dan
5. Ustazah Siti Asmah selaku hakim suara.

Sebelum memulakan acara, saya mempersilakan Ustaz Mohd Nor untuk memberi sedikit taklimat kepada peserta.

Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Mohd Nor atas taklimat itu tadi.

Tanpa melengahkan masa, saya mempersilakan peserta pertama iaitu Adik Mohd Rifqi b. Shaari. Surah yang akan dibaca ialah Surah Al-Hajj.

Begitulah tadi bacaan Surah Al-Hajj oleh Adik Mohd Rifqi.

2. Seterusnya, ______________________________
3. Seterusnya, ______________________________
4. Seterusnya, ______________________________
5. Seterusnya, ______________________________
6. Seterusnya, ______________________________
7. Seterusnya, ______________________________
8. Seterusnya, ______________________________
9. Seterusnya, ______________________________

Demikian tadi bacaan oleh semua peserta. Kita akan berhenti rehat seketika untuk memberi laluan kepada barisan hakim membuat pengiraan markah.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh 

Rabu, 19 Mac 2014

Doa sempena majlis persaraan dan perpisahan

Bismillahirrahmanirrahimm, alhamdulillahi rabbil 'alamin, wassolatu wassala muala asyrafil ambiya iwal mursalin, waala alihi wasahbihi ajma'in.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, segala pujian hanya bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada rasul junjungan

Ya Allah, bagi-Mu segala puji, kurniakanlah kami lisan yang lembut dan basah, mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar, mensyukuri nikmat-Mu, serta badan yang ringan, menyempurnakan perintah-Mu.

Ya Munzilar Rahmat Ya Fatihal Barakat,
Rahmatilah majlis kami pada malam ini, tautkanlah ukhuwah kami, kuatkanlah silaturahim dalam kalangan kami, padukanlah tenaga dan usaha kami, mudahkan urusan kami, berilah kami kekuatan semangat, tidak berputus asa, bersungguh-sungguh dan rajin untuk memikul tanggungjawab sebagai pendidik yang meninggikan syariat-Mu.

Ya Allah, Ya Aalim, Ya Qaadhial Hajat,
ampunkanlah dosa-dosa kami; sesungguhnya kami lemah dalam sendirian, maka kuatkanlah kami dalam amal jemaah dan kolektif; sesungguhnya kesabaran kami punya batasnya, maka kurniakanlah kami nikmat kesabaran seumpama sabarnya Nabi-nabi Ulul’azmi, sesungguhnya kami amat cenderung untuk mengutamakan diri kami, maka didiklah hati kami untuk mengutamakan keperluan saudara-saudara seagama kami, sesungguhnya hati kami juga sentiasa berbolak balik, maka satukanlah hati kami dalam menegakkan agama-Mu.

Ya Allah, Yang Menunjuki yang tersesat dan Yang Mengembalikan yang hilang, kami memohon kepada-Mu, lindungilah semua penumpang di dalam pesawat MH370, kembalikanlah mereka kepada kami dengan selamat, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu, dan Maha Penerima segala permintaan.

Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah pertemuan ini sebagai pertemuan yang dirahmati, dan jadikanlah perpisahan ini sebagai perpisahan yang diberkati.

Rabbana atina fiddunnya hasanah, wafil a khirati hasanah, waqina azab bannar, walhamdulillahirabbil alamin.

Doa Kursus LADAP

Bismillahirrahmanirrahimm, alhamdulillahi rabbil 'alamin, allahumma solli wasallim 'ala saiyidina muhammadiw waala alihi wasahbihi ajma'in.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, segala pujian hanya bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada rasul junjungan.

Ya Allah,
bagi-Mu segala puji, kurniakanlah kami lisan yang lembut dan basah, mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar, mensyukuri nikmat-Mu, serta badan yang ringan, menyempurnakan perintah-Mu.

Ya Rahman, Ya Rahim
kami bersyukur kerana Engkau mengizinkan kami, menghadirkan diri, emosi dan roh kami, sesungguhnya, pada hari ini kami berhimpun dalam Majlis LADAP, bagi menyatakan kesungguhan, komitmen dan iltizam kami, untuk membangun, membina dan memartabatkan anak bangsa supaya berbudi, berguna dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Ya Munzilar Rahmat Ya Fatihal Barakat,
berkatilah pertemuan kami, berkatilah usaha kami, ilhamkanlah dalam minda kami, idea yang bernas, pandangan yang jelas dan keputusan yang waras, kurniakanlah kepada kami limpahan ilmu yang berguna, dan kefahaman yang benar, satukanlah hati kami, eratkanlah silaturahim dalam kalangan kami, padukanlah tenaga dan usaha kami, untuk memartabatkan pendidikan negara secara bersama, mudahkan urusan kami untuk mendidik anak murid kami, berilah kami kekuatan semangat, tidak berputus asa, bersungguh-sungguh dan rajin untuk memikul tanggungjawab ini.

Ya Qaadhial Hajat,
ampunkanlah dosa-dosa kami; sesungguhnya kami lemah dalam sendirian, maka kuatkanlah kami dalam amal jemaah dan kolektif; sesungguhnya kesabaran kami punya batasnya, maka kurniakanlah kami nikmat kesabaran seumpama sabarnya Nabi-nabi Ulul’azmi; sesungguhnya kami amat cenderung untuk mengutamakan diri kami, maka didiklah hati kami untuk mengutamakan keperluan saudara-saudara seagama kami, seperti Kekasih-Mu mendidik para sahabat baginda berbuat demikian; sesungguhnya hati kami juga sentiasa berbolak balik, maka satukanlah hati kami dan berikanlah kami ruang dan masa untuk bantu-membantu, dalam menegakkan agama-Mu.


Rabbana atina fiddunnya hasanah, wafil a khirati hasanah, waqina azab bannar, walhamdulillahirabbil alamin.