Jumaat, 27 Jun 2014

Teks Ucapan Pengetua sempena Kejohanan Sukan Sekolah


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi, salam perpaduan dan salam transformasi.

Yang Berbahagia Dr. Mohamad Faisal bin Dato’ Haji Hassan, Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya,
Yang Dihormati, En. Muhammad bin Hashim, Yang Dipertua PIBG,
Yang Berusaha Puan Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Puan Puziah binti Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Puan Hajah Kamariah binti Md. Kamil, Penolong Kanan Kokurikulum,
Puan Hajah Nor Madiah binti Abdul Rahim, Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Encik Amir Saifudin bin Abdul Majid, Penolong Kanan Petang,
Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran, Guru-guru, AJK PIBG, dan semua murid yang dikasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya bagi pihak seluruh warga SMK Kampong Jawa mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu yang hadir bagi sama-sama merasai dan menyaksikan kejohanan sukan sekolah pada tahun ini. Terima kasih saya ucapkan kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus sejak bulan Januari lagi, bermula dengan acara Larian Ria dan Sukan Tara. Acara sebelum kejohanan sukan itu memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Dalam masa yang sama guru-guru tidak pernah mengabaikan kepentingan akademik. Sesungguhnya kepentingan sukan sama utama dengan kepentingan akademik. Kepada para pelajar tahniah saya ucapkan atas kegigihan mengambil bahagian demi semangat berpasukan. Saya yakin semangat ini jika dipindahkan ke dalam bilik darjah akan memberikan impak yang tinggi kepada pencapaian akademik para pelajar.

Hadirin yang  dihormati,

Kejohanan yang djalankan merupakan agenda besar dalam kalendar sekolah. Kepada para pelajar yang terserlah kecemerlangannnya dalam bidang sukan diharapkan boleh menjadi atlet berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi bagi mewakili daerah, negeri dan negara.

Saya merasakan  kejohanan ini merupakan medan terbaik untuk guru-guru mencipta kreativiti memacu semangat pelajar, manakala para pelajar pula  berpeluang mengerah kudrat melepaskan beban emosi dengan berlari sederas yang mungkin, maka akan terciptalah momentum yang dapat menjana tenaga dalaman seterusnya menjadi juara.

Kepada ibu bapa, saya mengharapkan tuan-tuan dan puan-puan memberikan sokongan kepada anak-anak  untuk bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum kerana potensi dan penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum akan membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam bidang kurikulum.

Akhir kata, terima kasih kepada Dr. Mohamad Faisal yang sudi hadir merasmikan kejohanan sukan kali ini, terima kasih kepada guru-guru yang berkorban masa dan tenaga, terima kasih kepada ibu bapa yang menyokong anak-anak, dan terima kasih kepada pelajar yang bersemangat mengambil bahagian. Sokonglah kami untuk membentuk generasi masa depan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Sekian, terima kasih.

Teks Ucapan Perasmi Kejohanan Sukan Sekolah


Terima kasih pengerusi majlis.

Bismillahhirrahmanirahim.

Yang Berbahagia, Tn. Hj. Mohammed Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa, Klang,
Yang Dihormati, En. Muhammad bin Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa,
Yang Berusaha Pn. Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Puan Puziah binti Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Puan Hajah Kamariah binti Md. Kamil, Penolong Kanan Kokurikulum,
Puan Hajah Nor Madiah binti Abd Rahim, Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Encik Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran, guru-guru, AJK PIBG, dan semua murid yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi keizinan untuk berucap dalam majlis yang penuh bermakna ini. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada pihak sekolah kerana menjemput saya datang ke sekolah ini.

Tuan-tuan, puan-puan dan anak didik sekalian,

Aktiviti sukan cukup penting kepada rakyat dan negara, khususnya generasi anak bangsa. Selain memberi tubuh yang cergas dan minda yang cerdas, aktiviti sukan yang melibatkan murid daripada pelbagai kaum dapat memupuk semangat perpaduan sekali gus mengeratkan silaturahim.

Orang yang mementingkan sukan ialah orang yang tahu makna kehidupan. Dengan bersukan kehidupan lebih sihat, cergas dan kuat. Amalan ini mestilah dipupuk di peringkat sekolah lagi dan sudah tentulah pihak sekolah menjadi teraju utama untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan murid-murid.

Sukan juga merupakan satu industri. Dunia hari ini telah menjadikan bidang sukan sebagai satu bidang kerjaya yang amat menarik. Contohnya pendapatan pemain bola terkenal di Malaysia sudah mencecah jutaan ringgit. Begitu juga dengan sukan-sukan yang mempunyai peminat yang ramai seperti olahraga, badminton, dan sukan tempur yang memberi ganjaran wang yang amat banyak kepada pemenang.

Hadirin yang saya muliakan,

Saya mengambil  kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua warga SMK Kampong Jawa terutama guru-guru yang bertungkus-lumus untuk menjayakan Kejohanan Sukan dan Balapan kali ke-16 sekolah ini. Kepada semua murid, kalah atau menang dalam sesuatu pertandingan sudah menjadi adat bertanding. Kepada yang menang diucapkan tahniah dan kepada yang tewas, belajarlah daripada kesilapan dan teruskan usaha untuk berjaya pada tahun hadapan.

Dengan lafaz “bismillahirrahmanirrahim”, saya dengan ini merasmikan Kejohanan Sukan dan Balapan kali ke-16, SMK Kampong Jawa, Klang.  Majulah sukan untuk negara. Sekian, terima kasih.

Ahad, 15 Jun 2014

Pantun Hari Guru


Tutup gua merpati terharu
Gegar rapat batu menaik
Hidup di dunia mesti berguru
Agar dapat ilmu yang baik

Ibu melalut lagu gurindam
Kenangan hiba rawan terharu
lmu dituntut baru semalam
Jangan dicuba melawan guru

 Sudah kulipat baju berpetak
Eloklah sapu minyak di kain
Kalau dah dapat guru yang bijak
Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin

Cuaca redup nampak kelabu
Rembang suasana tiada terang
Jika hidup tidak berilmu
Memang hina dipandang orang

Pekan tamu belum sampai
Nangka cempedak dibawa bekal
Pesan guru jangan diabai
Jika hendak ilmunya kekal

Rusa diburu ada sebelas
Tutup jerat menghadang titi
Jasa guru tak minta dibalas
Cukup setakat mengenang bakti

Delima putih ada di bucu
Buah nangka jatuh melata
Terima kasih kepada cikgu
Tanpa mereka siapalah kita

Kendi biru terbelah sudah
Takkan cuba diletak alu
Menjadi guru bukanlah mudah
Impian saya sejak dahulu