Rabu, 31 Disember 2014

Doa Pembuka Kursus

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdullillahirabbil a'lamin
Wassolatuwassalamua'la asyrafil anbiya iwalmursalin
Wa'ala alihi wasahbihi ajmain.

Ya Allah, panjangkanlah umur kami, 
sihatkanlah tubuh badan kami, 
terangilah hati kami, 
murahkan rezeki kami, 
hampirkan diri kami kepada kebaikan, 
dan jauhkan diri kami daripada kejahatan. 

Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada ditimpa kesusahan dan kedukaan
kami memohon perlindungan daripada kelemahan dan kemalasan
daripada perasaan takut dan kedekut. 

Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai satu perhimpunan yang dirahmati
dan perpisahan kami selepas ini sebagai satu perpisahan yang dilindungi. 

Allahummaghfirlana zunubana waliwalidina warhamhuma kama rabbayana soghira. Allahummaghfirlana bihusnilkhatimah, walaatakhtim a'laina bisu il khatimah, Rabbana atina fiddunya hasanah, wafil akhiratihasanah waqina azabannar. Walhamdulillahirabbila'lamin. 

Selasa, 11 November 2014

Kelab Muaythai pertama dan terulung di Klang

Sertai kelab Muaythai pertama dan terulung di Klang dengan yuran RM50 sahaja. Tiada yuran dikenakan. Anda akan dilatih oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman. Anda juga berpeluang untuk menyertai pertandingan amatur dan profesional peringkat tempatan dan antarabangsa. Tidak ada kelab di Malaysia ini yang tidak mengenakan yuran latihan seperti kami. Malah pelatih yang berbakat juga akan dilatih menjadi jurulatih bertauliah dengan percuma (di bawah program jurulatih Persatuan Muaythai Negeri Selangor). Datanglah ke kelab kami di Taman Rakyat Klang atau layari http://boksingkelate.blogspot.com/ untuk maklumat lanjut. 

Nazam stail Melaka


Dalam majlis penutup Kursus Penghayatan Komsas tadi, saya telah diminta oleh Jurulatih Utama untuk melagukan nazam berdasarkan cerpen Dendam tingkatan dua. Jadi dalam masa 10 minit saya mencipta nazam ini berdasarkan sinopsis yang saya baca memandangkan saya tidak mengajar tingkatan dua.

Allah Allah azzawajal tuhan kami
Kami minta ampun akan dosa kami

Dengan bismillah kami mula nazam ini
Semoga majis bertambah indah berseri-seri

Cerpen ini tentang hubungan kakak adik
Angah nakal sebab ayah tak pernah jentik

Angah conteng buku geografi dan kimia
Sampai kakak kena denda Cikgu Maria

Along marah sampai Angah ditampar pipi
Angah ditolak sampai jatuh bengkak di dahi

Satu hari kertas ayah dikoyak Angah
Tapi Along yang tak larang kena marah

Rantai ibu dalam bilik juga rosak
Ayah marah sebab ibu tak didik anak

Ayah mengamuk rotan Angah dengan tali
Angah menangis teresak-esak tak nak berhenti

Along sedih sebab Angah dipukul begitu
Along selak baju kurung nampak biru

Angah tahu siapa yang masuk bilik ibu
Tapi Angah senyap tak nak beritahu

Along terus peluk Angah dengan erat
Sebab dia sayang Angah teramat sangat

Isofrane Review

Saya masih baru dalam dunia horologi (seni jam). Setelah menyertai grup Dunia Jam dan Kelab Peminat Jam Vintage 3 tahun lalu, minat saya pada jam semakin bercambah. Beli dan jual jam perkara biasa. Kali ini saya mahu membuat sedikit rebiu tentang tali jam isofrane yang menjadi idaman semua collector jam diver seperti saya. 

Ramai yang menghantar mesej melalui facebook kepada saya bertanyakan tentang isofrane ini. Ini sedikit info tentang isofrane.


Isofrane dikeluarkan pada tahun 1968 di Itali untuk memenuhi keperluan peminat jam diver yang mahukan tali yang tahan lasak tetapi lembut. Isofrane menjadi terkenal selepas Omega, Scubapro, dan Tissot menggunakannya pada jam mereka. Pada dekad 80-an, Isofrane mula dilupakan (ramai beralih kepada tali Tropic dari Swiss pula) sebelum terkenal semula pada 2010 setelah dijenamakan semula.

Walaupun mahal (harga sekitar RM400-600), isofrane tetap menjadi pilihan diver, malah isofrane vintage NOS pernah dijual pada harga RM3000. Isofrane terdapat dalam tiga saiz, iaitu 20, 22, dan 24mm dengan tiga pilihan warna, iaitu hitam, biru gelap dan jingga. Tebal tali ialah 5.5mm, saiz yang sepatutnya untuk tali jam diver. Setiap utas tali mempunyai 4 lubang pengudaraan dengan 13 lubang kemasukan untuk membolehkan kulit bernafas.  Ini juga membolehkan air mengalir keluar setiap kali pengguna keluar dari air.

Pada awalnya, isofane menggunakan bahan sintetik yang dipanggil isoprene (nama bahan ini digunakan sebagai jenama) sebelum menukarnya kepada getah sepenuhnya pada masa ini. Penggunaan kompaun getah yang sesuai membolehkan tali isofrane bebas tarikan debu, kenyal dan tahan dalam sebarang keadaan cuaca. Terdapat dua jenis buckle yang digunakan, iaitu RS (RetroSecuro) dan IN (InoxNouva). Untuk memasangnya pada jam dver, anda digalakkan menggunakan fat bar spring. Gunakan minyak pelincir untuk memasukkan fat bar spring ke dalam lubang tali.

Kelebihan isofrane berbanding tali diver biasa ialah penggunaan material. Banyak jenama menggunakan bahan sintetik yang sangat lembut, mudah putus, dan menarik debu seperti silikon dan polyurethane. Isofrane menggunakan getah yang 100% bebas silikon dan antidebu. Long lasting – itulah yang dimahukan oleh peminat jam. Alah membeli menang memakai.

Di Malaysia, Red Watch Army ialah pengedar tunggal isofrane. Harga yang ditawarkan bergantung kepada jenis buckle, dari RM480-630. 

Khamis, 6 November 2014

Teks ucapan Pengetua sempena jamuan Hi-tea


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam 1 Malaysia.

Yang Dihormati, Tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia, Encik Muhammad bin Hashim, Yang Dipertua PIBG
Yang Berusaha, Pn. Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Yang Dihormati, Pn. Puziah binti Tuban, Penolong  Kanan Hal Ehwal Murid,
En. Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Yang Diraikan, Pn. Kamariah binti Md. Kamil, Mantan Penolong Kanan Kokurikulum,
Pn. Normadiah binti Abd. Rahim, Mantan Penolong Kanan Pendidikan Khas
Puan Cheong Quay Lan
Barisan guru kanan mata pelajaran
Presiden Kelab BAGUS, Encik Rezuali b. Hasanudin,
Dan guru-guru yang dikasihi sekalian.

Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan-Nya, kita dapat berkumpul dalam majlis yang penuh bermakna pada petang ini bagi meraikan guru-guru dan staf SMK Kampong Jawa. Majlis ini juga diadakan bertujuan meraikan guru-guru yang telah bersara pada tahun ini.  

Saya amat berharap semua warga SMK Kampong Jawa sentiasa bekerjasama dalam satu pasukan dan sanggup berubah bagi menjadikan kita penjawat awam yang berinovasi, berkualiti dan berintegriti. Selamat bersara juga saya ucapkan kepada Puan Cheong, Puan Normadiah dan Puan Kamariah. Semoga diberi kesihatan yang baik.

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga SMK Kampong Jawa yang telah melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang sepanjang tahun 2014. Tidak lupa juga kepada AJK Kelab BAGUS yang telah menjalankan persiapan bagi menjayakan majlis pada petang ini.

Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Encik Muhammad b. Hashim dan AJK PIBG yang lain kerana sudi hadir bersama-sama kita pada petang ini.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Teks ucapan YDP PIBG jamuan Hi-tea

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam 1Malaysia.

Yang Dihormati, Tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia, Tn. Hj. Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa,Yang Berusaha, Pn. Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Yang Dihormati, Pn. Puziah binti Tuban, Penolong  Kanan Hal Ehwal Murid,
En. Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Yang Diraikan, Pn. Kamariah binti Md. Kamil, Mantan Penolong Kanan Kokurikulum,
Pn. Normadiah binti Abd. Rahim, Mantan Penolong Kanan Pendidikan Khas
Pn. Cheong Quay Lan,
Barisan guru kanan mata pelajaran
Dan guru-guru yang dihormati sekalian.

Pertama sekali izinkan saya menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya maka kita dapat berkumpul di dalam dewan yang indah ini bagi meraikan semua guru dan staf di samping meraikan guru yang telah bersara yang diatur oleh Kelab BAGUS.

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Jawatankuasa BAGUS yang telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih tidak terhingga kepada guru yang telah bertungkus-lumus mendidik murid-murid SMK Kampong Jawa. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua staf atas kesungguhan yang ditunjukkan untuk menguruskan sekolah dengan baik sepanjang tahun 2014.

Akhir sekali, untuk semua guru SMK Kampong Jawa, teruskanlah curahan kasih sayang kepada anak didik. Selain tugas hakiki guru yang menyampaikan ilmu ketika dalam bilik darjah, jadilah juga;

akauntan yang cekap ketika mengurus sumbangan PIBG,
doktor yang jitu ketika murid mengadu sakit,
pengawal keselamatan yang padu ketika menunggu murid tiba dan pulang,
pereka hiasan dalaman yang berseni ketika menceriakan kelas,
tukang kayu yang tepat ketika murid mengadu meja patah,
bomoh yang sukarela ketika murid histeria,
pegawai penyiasat yang efisyen ketika ada kecurian dan kehilangan,
pemandu ambulans berhemah jika murid sakit,
pakar motivasi yang efektif jika murid hilang arah tujuan,
majistret yang adil jika ada pertelingkahan dalam kalangan pelajar,
Pegawai Kebajikan Masyarakat yang prihatin ketika murid dalam kesempitan.

Semuanya adalah lambang anda semua menjulang tuntutan  ”Guru Sayang Murid” seperti termaktub dalam program Sekolah Penyayang. Begitulah kasihnya para guru terhadap murid khususnya anak-anak SMK Kampong Jawa, sehingga sanggup membakar diri agar mereka diterangi. Semoga segala usaha anda semua diredhai dan beroleh keberkatan.

Sekian, wabillahi taufik wal-hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Teks pengerusi jamuan Hi-tea


KETIBAAN VIP

Diumumkan ketibaan Yang Berbahagia En. Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa, diiringi masuk oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Muhammed Nashan b Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa, dan para jemputan yang lain.

NYANYIAN LAGU NEGARAKU

Sidang hadirin, nyanyian lagu Negaraku akan berkumandang sebentar lagi. Sidang hadirin diminta berdiri.

Sidang hadirin dipersilakan duduk.

Bagi memberkati perjalanan majlis pada pagi ini, saya dengan sukacitanya menjemput Al-fadhil Ustaz Mohd Rashid untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan.

Demikianlah tadi bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Rashid.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua,
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

UCAPAN PENGERUSI MAJLIS

Yang Berbahagia En Muhammad b. Hashim, YDP PIBG SMK Kampong Jawa,
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohammed Nashan b. Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa,
Yang Berusaha Puan Latipah bt. Ahmad, Penolong Kanan Kurikulum SMK Kampong Jawa,
Yang Dihormati Puan Puziah bt. Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Kampong Jawa,
Yang Diraikan Puan Kamariah bt. Mohd Kamil, mantan Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kampong Jawa,
Puan Normadiah bt. Abd. Rahim, mantan Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kampong Jawa,
Yang Dihormati En. Amir Syaifuddin b. Abdul Majid, Penolong Kanan Petang SMK Kampong Jawa,
Barisan guru kanan bidang,
Pengerusi Kelab Guru dan Staf SMK Kampong Jawa, Encik Rezuali b. Hassanudin,
Guru-guru dan staf SMK Kampong Jawa yang dihormati sekalian.

Busana pengantin kita kagumi
Tema pilihan majlis kali ini
Jamuan akhir tahun kita mulai
Mencipta kenangan tersemat di hati

Salam sejahtera, salam perpaduan, salam transformasi,

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tujuan majlis ini diadakan bukan sahaja untuk majlis makan-makan malah juga menjadi medan terakhir bagi kita untuk beramah mesra sesama kita, demi mengeratkan silaturahim antara satu sama lain setelah berpenat lelah dengan penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang tahun ini.

Tanpa membuang masa, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berusaha Encik Rezuali b. Hasanudin, Pengerusi Badan Kebajikan Guru dan Staf SMK Kampong Jawa untuk menyampaikan sepatah dua kata. Dipersilakan.

Terima kasih Encik Rezuali atas ucapan itu tadi.

Seterusnya, majlis  dengan penuh takzimnya mempersilakan Yang Berbahagia Encik Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa yang naik ke pentas untuk menitipkan sepatah dua kata. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Terima kasih Encik Muhammad atas ucapan itu tadi.

Majlis seterusnya mempersilakan Tuan Pengetua, Tuan Haji Nashan b. Singgan untuk menyampaikan sepatah dua kata. Dipersilakan.

Terima kasih Tuan Pengetua atas ucapan itu tadi.

Hadirin hadirat sekalian,

Pada petang ini, majlis turut meraikan dua orang pentadbir kita yang telah bersara, iaitu Puan Normadiah bt. Abdul Rahim dan Puan Kamariah bt. Mohd Kamil. Terima kasih kerana meluangkan masa bersama-sama guru dan staf pada petang yang bahagia ini.
Majlis dengan rasa bangganya mempersilakan Puan Normadiah selaku wakil guru yang bersara untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Terima kasih Puan Normadiah atas ucapan itu tadi. Seterusnya majlis mempersilakan Tuan Pengetua, diiringi oleh Puan Latipah bt. Ahmad untuk menyampaikan tanda kenang-kenangan kepada dua orang guru kita yang telah bersara ini. Dipersilakan.

Dipersilakan Puan Normadiah naik ke pentas untuk menerima cenderamata.

Dipersilakan Puan Kamariah naik ke pentas untuk menerima cenderamata.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Latipah dan Tuan Pengetua kerana menyampaikan tanda ingatan bagi pihak semua guru dan staf SMK Kampong Jawa. 

Pulau Pandan jauh ke tengah
gunung daik bercabang tiga
doa sudah ucapan pun sudah
tiba masa menjamu selera

Sorong papan tarik papan
makan keranji dalam perahu
suruh makan kita makan
janganlah segan janganlah malu

Majlis berehat seketika. Semua hadirin dipersilakan menikmati jamuan.

CABUTAN BERTUAH

Hadirin yang dihormati sekalian,
Seterusnya, tuah ayam tampak di kaki, tuah kita siapa yang kena. Sebentar lagi kita akan tahu siapa yang bertuah dalam kalangan kita. Bagi maksud tersebut, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Yang Berbahagia Puan Puziah untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Puziah.

Sambil makan-makan, hadirin akan disajikan persembahan video Puan Cheong yang dibuat oleh guru pendidikan khas.  

Seterusnya dijemput Yang Berusaha Puan Latipah untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Latipah.

Sekali lagi kami mempersembahkan video Puan Normadiah untuk tatapan hadirin semua.

Seterusnya dijemput Tuan Pengetua untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Pengetua.

Sekali lagi kami mempersembahkan video Puan Kamariah untuk tatapan hadirin semua.

Seterusnya dijemput pula Encik Muhammad untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Encik Muhammad.

Kini tibalah masa yang kita nanti-nantikan, pemenang pertandingan busana yang memenuhi tema. Sekali lagi dipersilakan Tuan Pengetua naik ke pentas untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang. Pemenang pertandingan busana paling menarik kategori perempuan pula diberikan kepada… Pemenang pertandingan busana paling menarik kategori lelaki jatuh kepada…

Tahniah Cikgu X dan Cikgu Y kerana terpilih sebagai pemenang.

Hadirin yang dimuliakan,
Majlis kita sampai di penghujungnya. Pihak majlis merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama padu semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi memastikan acara petang ini berlangsung dengan jayanya. Terima kasih juga kepada pihak pengurusan Hotel Concorde yang membantu kelancaran majlis.

Hadirin yang dihormati sekalian, sambil menikmati hidangan, majlis diserikan lagi dengan persembahan daripada guru yang sememangnya berbakat dalam bidang seni suara. Dipersilakan Cikgu Zaidi untuk mendendangkan lagu. 

Jumaat, 31 Oktober 2014

Teks pengacara majlis penutupan & penyampaian hadiah minggu mata pelajaran

KETIBAAN VIP

Diumumkan ketibaan Yang Berbahagia Puan Deepa Darshini diiringi masuk oleh barisan guru kanan bidang, dan para tetamu kehormat yang lain.

NYANYIAN LAGU NEGARAKU

Sidang hadirin, nyanyian lagu Negaraku akan berkumandang sebentar lagi. Sidang hadirin diminta berdiri.

Sidang hadirin dipersilakan duduk.

BACAAN DOA

Majlis kita mulai dengan bacaan doa. Dengan ini, majlis menjemput dan mempersilakan Saudara Aiman untuk menerajui doa selamat sebagai permintaan hajat dan restu, agar majlis kita diberkati. Dipersilakan. 

Amin, Amin Ya Rabbal A’lamin. Semoga lafaz doa kita tadi diberkati Allah s.w.t hendaknya.  Terima kasih diucapkan kepada Saudara Aiman.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua,
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

UCAPAN PENGERUSI MAJLIS

Yang Berbahagia Puan Deepa Darshini, Penolong Pengurus Kolej Teknologi Prodigy
Yang Dihomati Encik Abd. Karim b. Abd Hamid, Guru Kanan Bidang Bahasa,
Yang Dihormati Encik Razak b. Supajan, Guru Kanan Bidang Kemanusiaan,
Yang Dihomati Puan Paridah bt. Mohtar, Guru Kanan Bidang Sains Dan Matematik,
Yang Dihormati Puan Ter Bee Ser, Guru Kanan Bidang Teknik Dan Vokasional,
Barisan ketua panitia,
Guru-guru dan murid-murid yang disayangi sekalian.

Hadirin sekalian,

Minggu Mata Pelajaran yang dianjurkan oleh setiap bidang bermatlamat untuk meningkatkan penghayatan terhadap sesuatu mata pelajaran. Selain itu, murid-murid juga berpeluang menunjukkan bakat yang terpendam dan kebolehan dalam mata pelajaran yang disukai. Terdapat banyak aktiviti dijalankan sepanjang minggu tersebut, antaranya ialah Pertandingan Nyanyian, Pertandingan Bercerita, Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Esei Bahasa Inggeris, Pertandingan Kaligrafi Cina, Pertandingan Esei Bahasa Tamil, Poem Recitation, Tongue Twister, Eksplorace, Pertandingan Lukisan Poster, Pertandingan Gubahan Bunga, dan Pertandingan Folio Berkomputer. Semua pertandingan ini telah dijalankan oleh guru masing-masing mengikut mata pelajaran.

Hadirin yang dimuliakan ,

Pagi yang penuh gilang-gemilang dan bermakna ini akan diteruskan dengan membawa kita meneroka dan menyingkap tirai pagi dengan pelbagai agenda pendakian aspirasi ilmu. Apa kata kita hayati pesanan refleksi daripada wakil ketua bidang, Encik Razak b. Supajan.

Terima kasih Encik Razak atas ucapan itu tadi.

 UCAPAN PERASMIAN MAJLIS

 Hadirin sekalian,

Majlis kita terus beranjak maju. Sudah sepelaungan jaraknya, gandingan misi dan visi meredah hari, ke destinasi memartabat ilmu dijunjung, bahasa disanjung. Untuk itu, marilah kita sama-sama menyingkap apa yang ada dalam pendakian dan penghargaan dalam majlis ini, melalui ucapan perasmian penutupan minggu mata pelajaran oleh Yang Berbahagia Puan Deepa Darshini. Dipersilakan.

Terima kasih Puan Deepa atas ucapan perasmian itu tadi.

PERSEMBAHAN 1

Hadirin yang dimuliakan,

Apa kata kita teruskan majlis ini dengan persembahan juara-juara pertandingan. Dipersembahkan khas buat meraikan semua warga SMK Kampong Jawa yang masih setia berhimpun di sini.

Untuk itu, dipersilakan Juara Pertandingan Deklamasi Sajak sempena Minggu Bahasa, Saudari Khairrunnisa bt. Nasharudin. Dipersilakan.

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Saudari Khairunnisa.

PENYAMPAIAN HADIAH BIDANG TEKNIK DAN VOKASIONAL DAN KEMANUSIAAN

Hadirin yang dimuliakan,

Majlis kita akan diteruskan dengan penyampaian hadiah. Bagi menyempurnakan atur cara ini, majlis menjemput dan mempersilakan Yang Berbahagia Puan Deepa, diiringi oleh Guru Kanan Bidang Kemanusiaan, Encik Razak untuk naik ke pentas. Dipersilakan.

Kini, tibalah saat yang dinanti-nantikan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Penyampaian hadiah dimulakan bagi pertandingan anjuran Bidang Teknik dan Vokasional. Penerima hadiah pertama ialah

Terima kasih diucapkan kepada Puan Deepa dan Encik Razak atas penyampaian hadiah itu tadi.

PERSEMBAHAN 2

Kita berehat sebentar sambil menyaksikan persembahan drama oleh murid-murid dari kelas 5 Sains 2. Dipersilakan.

PENYAMPAIAN HADIAH BIDANG BAHASA DAN SAINS MATEMATIK

Penyampaian hadiah kepada pemenang diteruskan lagi. Dijemput Puan Deepa naik ke pentas sekali lagi dengan diiringi oleh guru kanan bidang sains dan matematik, Puan Paridah untuk menyempurnakan penyampaian hadiah bagi Bidang Bahasa dan Sains dan Matematik. Dipersilakan.

Terima kasih Puan Deepa dan Puan Paridah atas penyampaian hadiah itu tadi.

Majlis mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang.

 PENYAMPAIAN CENDERAMATA KEPADA PERASMI

Adat Melayu budaya dijulang,
Tetamu bertandang diberikan bingkisan;
Sebelum pulang ditinggalkan balasan,
Untuk mengeratkan hubungan persaudaraan.

Sebagai tanda penghargaan dan atas kesudian hadir menyempurnakan majlis kami pada hari ini, majlis dengan segala sukacitanya menjemput dan mempersilakan Encik Razak selaku wakil pengetua untuk menerima sumbangan daripada Puan Deepa seterusnya menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Puan Deepa yang sudi hadir memeriahkan majlis kita pada hari ini.

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Deepa dan Encik Razak.

UCAPAN PENUTUP

Majlis merakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada para pemenang dan kepada yang tidak berjaya, anda tetap hebat atas sokongan anda semua bagi menjayakan minggu mata pelajaran yang telah diadakan.

Pihak majlis juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada Yang Berbahagia Puan Deepa yang sudi memeriahkan majlis kita pada hari ini.

Saya mewakili jawatankuasa penganjur Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Minggu Mata Pelajaran ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan majlis ini.

Akhir kata daripada saya,
Bumi mana tidak ditimpa hujan,
Lautan mana tidak berombak,
Begitu jua kami di sini,
Kemaafan jua dipohon,
Atas keterlanjuran kata,
Terkasar bahasa,
Terguris rasa.

Salam hormat daripada saya. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum.

Selasa, 9 September 2014

Teks pengacara majlis hari kecemerlangan kokurikulum dan HEM

Mohon perhatian, majlis akan bermula sebentar sahaja lagi. Oleh itu, para hadirin diminta mengambil tempat duduk. Saya umumkan etika yang harus dipatuhi bagi kelancaran majlis.
1. Sila pastikan telefon bimbit berada dalam mod senyap.
2. Para hadirin dipohon berdiri semasa ketibaan tetamu kehormat diumumkan.
3. Berdiri semasa nyanyian lagu Negaraku.
4. Menghormati bacaan doa.
5. Duduk di kerusi yang telah ditetapkan.
6. Tidak keluar masuk dewan setelah mengambil tempat duduk.
7. Penerima anugerah dipohon naik ke pentas dari sebelah kanan dan turun ke sebelah kiri.

Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia En. Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa, diiringi masuk oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Muhammed Nashan b Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa, dan para tetamu khas yang lain.

Sidang hadirin, nyanyian lagu Negaraku akan berkumandang sebentar lagi. Sidang hadirin diminta berdiri.”

Sidang hadirin dipersilakan duduk.

Bagi memberkati perjalanan majlis pada pagi ini, saya dengan sukacitanya menjemput Tuan Muhd Alif Aiman untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan.

Demikianlah tadi bacaan doa yang dipimpin oleh Tuan Muhd Alif Aiman.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua,
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

Hinggap minum di tepi kali,
Penat si helang membelah angkasa ,
Pelajar cemerlang sama dirai,
Agar terlaksana wawasan negara.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Majlis dengan penuh rasa hormat dan bangganya mengalu-alukan kehadiran;
Yang Berbahagia En Muhammad b. Hashim, YDP PIBG SMK Kampong Jawa,
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohammed Nashan b. Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa,
Yang Berusaha Puan Latipah bt. Ahmad, Penolong Kanan Kurikulum SMK Kampong Jawa,
Yang Dihormati En Maswi b. Saion, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Kampong Jawa,
Yang Dihormati Pn. Hajah Sidah bt. Sedek, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kampong Jawa,
Yang Dihormati Pn. Hajah Normadiah bt. Abdul Rahim, Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kampong Jawa,
Yang Dihormati En. Amir Syaifuddin b. Abdul Majid, Penolong Kanan Petang SMK Kampong Jawa,
Para tetamu jemputan, hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Sidang hadirin sekalian, pada petang Jumaat yang penuh barakah ini, warga SMK Kampong Jawa berasa amat bertuah kerana dapat menjayakan Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan HEM dan Kokurikulum SMK Kampong Jawa bagi tahun 2013.

Majlis ini amat bersesuaian dengan misi sekolah untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segala aspek sahsiah, rohani dan jasmani. Untuk pengetahuan semua, ini merupakan majlis yang julung-julung kalinya diadakan melibatkan dua unit serentak. Hasil idea Tuan Pengetua, maka terbentuklah satu kerjasama antara unit hal ehwal murid dan kokurikulum dalam pengelolaan majlis Anugerah Kecemerlangan HEM dan Kokurikulum 2013.  Pada petang yang redup ini, murid-murid SMK Kampong Jawa yang menunjukkan ketokohan dalam pelbagai bidang mencakupi kepemimpinan, keperibadian dan kokurikulum akan diberikan anugerah sebagai bukti penghargaan pihak sekolah. Bukan itu sahaja, jasa ibu bapa yang banyak membantu memajukan sekolah juga tidak dilupakan.

Sidang hadirin yang dihormati,
Bertonggakkan adat yang datang disambut, yang pergi diiringi maka majlis dengan bangganya menjemput Tuan Haji Mohammed Nashan b. Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa merangkap Pengerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan HEM dan Kokurikulum SMK Kampong Jawa, untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Demikianlah ucapan Tuan Haji Mohammed Nashan b. Singgan. Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

Kini, sampailah masanya untuk kita mendengar ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan HEM dan Kokurikulum SMK Kampong Jawa tahun 2013.

Majlis dengan segala hormat mempersilakan Yang Berbahagia En. Muhammad b. Hashim, YDP PIBG SMK Kampong Jawa untuk menyampaikan ucapan beliau seterusnya merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan HEM dan Kokurikulum SMK Kampong Jawa. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada En. Muhamad b. Hashim kerana sudi menyampaikan ucapannya yang penuh bermakna dan seterusnya merasmikan majlis pada petang ini.”

Sidang hadirin sekalian, kini tibalah saat yang dinantikan, Penyampaian Anugerah Kecemerlangan HEM dan Kokurikulum SMK Kampong Jawa Tahun 2013. Bagi menyempurnakannya, pihak majlis dengan berbesar hati menjemput Tuan Pengetua diiringi oleh Pn. Sidah bt. Sidek untuk ke pentas utama bagi menyampaikan anugerah. Penyampaian anugerah dimulakan dengan Anugerah Sahsiah Terpuji yang melibatkan 2 orang murid bagi setiap tingkatan.

Penerima anugerah ini ialah Arif Haikal b. Joha dari Kelas 1B.

Anugerah Sahsiah Terpuji Perempuan pula diberikan kepada Dian Nor Alieya bt. Mohd Ashari dari Kelas 1G.

Bagi murid tingkatan 2, Anugerah Sahsiah Terpuji diberikan kepada Seah Jun Yong dari Kelas 2A.

Anugerah Sahsiah Terpuji Perempuan pula diberikan kepada Kanchana a/p Parthiban dari Kelas 2A.

Bagi murid tingkatan 3, Anugerah Sahsiah Terpuji diberikan kepada Abdul Majid b. Nor Khalid dari Kelas 3A.

Anugerah Sahsiah Terpuji Perempuan pula diberikan kepada Lim Kai Shuan juga dari Kelas 3A.

Bagi murid tingkatan 4, Anugerah Sahsiah Terpuji diberikan kepada Divagaran a/l Rajagopal dari Kelas 4 Prinsip Akaun.

Anugerah Sahsiah Terpuji Perempuan pula diberikan kepada Syarifah Izzatul Syahirah bt. Syed Rahmad dari Kelas 4 Sains 1.

Bagi murid tingkatan 5, Anugerah Sahsiah Terpuji diberikan kepada Leong Kenneth dari Kelas 5 Sains 1.

Anugerah Sahsiah Terpuji Perempuan pula diberikan kepada Nur Asmira Syafiqah bt. Idres dari Kelas 5 Ekonomi Asas.

Seterusnya, Anugerah Sahsiah Terpuji Murid Pendidikan Khas Lelaki diberikan kepada Muhd Iqmal b. Jundam.

Anugerah Sahsiah Terpuji Perempuan diberikan kepada Noor Farahin bt. Hisham.

Seterusnya, Anugerah Pengurusan Cemerlang Unit HEM. Anugerah ini diberikan kepada unit yang menunjukkan sistem pengurusan yang sistematik. Unit yang terbaik diberikan kepada Unit Disiplin. Dipersilakan En. Rezuali b. Hassanudin mewakili Unit Disiplin.

Anugerah seterusnya diberikan kepada guru yang berjaya mengurus kelas dari segala aspek seperti pengurusan murid, papan kenyataan, buku kawalan kelas dan kebersihan. Anugerah Pengurusan Kelas Terbaik Sesi Pagi diberikan kepada Pn. Fauzian bt. Sahar.

Anugerah Pengurusan Kelas Terbaik Sesi Petang pula diberikan kepada Pn. Norah bt. Aspar.

Seterusnya, Anugerah Pencapaian Tertinggi Tahun 2013. Anugerah ini diberikan kepada unit-unit yang mencapai pencapaian tertinggi bagi tahun 2013. Tiga kelab berjaya mencapai tahap tertinggi antara semua kelab di sekolah.

Dipersilakan Ketua Guru Penasihat Persatuan Sejarah untuk menerima anugerah.
Dipersilakan Ketua Guru Penasihat Kelab Olahraga.
Dipersilakan Ketua Guru Penasihat Kelab Kuarter Master.

Seterusnya penyampaian anugerah tertinggi unit uniform bagi tahun 2013. Anugerah ini diberikan kepada murid yang mencapai pangkat tertinggi bagi unit-unit uniform sepanjang tahun 2013. Seramai 7 orang kadet dipilih untuk menerima anugerah ini.  

Anugerah yang pertama diberikan kepada 4 ahli pengakap yang mendapat Anugerah Pengakap Raja. Pengakap Raja merupakan anugerah tertinggi bagi Persekutuan Pengakap Malaysia. Sijil Pengakap Raja ditandatangani oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong serta semua sultan di Malaysia.

Penerima anugerah yang pertama ialah Muhd Amer Azamudin b. Zulkifli.
Dipersilakan Pengakap Raja, Muhd Faizzudin b. Khairi Anuar.
Dipersilakan Pengakap Raja, Syed Amirul Hakimi b. Syed Mohd Yusof.
Dipersilakan Pengakap Raja Muhd Asnawi b. Alias.

Anugerah Tertinggi Unit Beruniform seterusnya diberikan kepada Sarjan Mohd Ashraf b. Noorazman dari Kadet Bomba dan Penyelamat.
Pegawai Waran 2 Muhd Zahiruddin b. Zaini dari Kadet Remaja Sekolah.
dan Pegawai Waran 2 Helmi Sufian b. Isamsuhaimi juga dari Kadet Remaja Sekolah.

Anugerah Tokoh Kokurikulum Kelas Pendidikan Khas Lelaki diberikan kepada Mohd Aizam b. Hanis.

Anugerah Tokoh Kokurikulum Kelas Pendidikan Khas Perempuan pula diberikan kepada Siti Suhaila bt. Hanapiah.

Seterusnya, Anugerah Murid Harapan Lelaki diberikan kepada Juan Wei Siang.

Anugerah Murid Harapan Perempuan pula diberikan kepada Nurnajwa bt. Romli.

Anugerah Murid Cemerlang Unit Beruniform Sesi Pagi diberikan kepada Muhd Amer Azamuddin b. Zulkifli dari Pengakap.

Anugerah Murid Cemerlang Persatuan diberikan kepada Kher Chin Kui dari Persatuan Bahasa Cina.

Anugerah Murid Cemerlang Sukan diberikan kepada Faris Hazim b. Jamaludin dari Kelab Olahraga.

Anugerah Anugerah Murid Cemerlang Unit Beruniform Sesi Petang diberikan kepada Muhd Faizal b. Husin dari Kadet Remaja Sekolah.

Anugerah Murid Cemerlang Persatuan Sesi Petang diberikan kepada Muhd Ihsaan b. Mohd Jamaludin dari Persatuan Sains.

Anugerah Murid Cemerlang Sukan Sesi Petang diberikan kepada Nazatul Najwa bt. Ahmad Asyik dari Kelab Olahraga.

Anugerah Kelab/Persatuan Cemerlang Sesi Pagi diberikan kepada Persatuan Pelajar Islam.

Anugerah Kelab/Persatuan Cemerlang Sesi Petang diberikan kepada Persatuan Bahasa Cina.

Anugerah Unit Uniform Cemerlang Sesi Pagi diberikan kepada Kadet Remaja Sekolah.

Anugerah Unit Uniform Sesi Petang diberikan kepada Pasukan Pengakap 47 Klang.

Anugerah Sukan Cemerlang Sesi Pagi diberikan kepada Kelab Olahraga.

Anugerah Sukan Cemerlang Sesi Petang juga diberikan kepada Kelab Olahraga.

Majlis mengucapkan terima kasih kepada Tuan Pengetua dan Pn. Sidah kerana sudi menyampaikan anugerah.

Sebagai tanda terima kasih, majlis menjemput Pn. Sidah untuk menyampaikan tanda kenang-kenangan kepada Tuan Pengetua.

Sidang hadirin yang dihormati, penyampaian anugerah diteruskan. Bagi menyempurnakan penyampaian, majlis dengan berbesar hati menjemput En. Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG diiringi oleh En. Maswi b. Saion untuk ke pentas utama bagi menyempurnakan penyampaian anugerah.

Anugerah Tokoh Guru Sesi Pagi diberikan kepada Pn. Syakirah bt. Sarpan. Dipersilakan

Anugerah Tokoh Guru Sesi Petang pula diberikan kepada En. Mohd Noor b. Abd. Rahman. Dipersilakan.

Anugerah Presiden Terbaik Lelaki diberikan kepada Mohd Iskandar Dzulkarnain b. Mohd Rummaja.

Anugerah Presiden Terbaik Perempuan diberikan kepada Nur Izzah bt. Khirul Ashar.

Anugerah Tokoh Pengawas Lelaki diberikan kepada Tuan Muhd Alif Aiman b. Tuan Suhaimi.

Anugerah Tokoh Pengawas Perempuan diberikan kepada Nurul Hafiza bt. Mohd Zainan.


Anugerah Tokoh Cemerlang Unit HEM Perempuan diberikan kepada Nur Liyana Aqilah bt. Zaidon.

Anugerah Pengurusan Kokurikulum Cemerlang Sesi Pagi diberikan kepada Pasukan Pengakap 47 Klang.

Anugerah Pengurusan Kokurikulum Cemerlang Sesi Petang diberikan kepada Kelab Olahraga.

Anugerah Tokoh Guru Kokurikulum Lelaki Sesi Pagi diberikan kepada En. Zaidi b. Bidin.

Anugerah Tokoh Guru Kokurikulum Perempuan Sesi Pagi diberikan kepada Cik Noor Azidah bt. Ali.

Anugerah Tokoh Guru Kokurikulum Sesi Petang diberikan kepada En. Mohd Najib b. Abdul Rahim.

Anugerah Tokoh Guru Kokurikulum Perempuan Sesi Petang diberikan kepada Cik Marina bt. Omar.

Anugerah Olahragawan Sukan Lelaki Sesi Pagi diberikan kepada Alif Izzudin Shah b. Arman Shah.

Anugerah Olahragawan Sukan Perempuan Sesi Pagi diberikan kepada Nurul Asma bt. Zainudin.

Anugerah Khas Juri Ikon Sukan diberikan kepada Muhd Hafiz b. Mohd Razali.

Anugerah Tokoh Murid Kokurikulum Lelaki diberikan kepada Ahmad Akmal b. Azhari.

Anugerah Tokoh Murid Kokurikulum Perempuan diberikan kepada Nurliyana Aqilah bt. Zaidon.

Seterusnya, anugerah ini merupakan satu hadiah sanjungan kepada individu dalam kalangan ibu bapa yang berkecimpung secara aktif dan berterusan dalam membangunkan sekolah dalam pelbagai kegiatan seperti sukan, kebudayaan, pembangunan fasiliti, PIBG, keselamatan dan keagamaan. Anugerah Tokoh Komuniti diberikan kepada En. Roslan b. Ramlee dan Pn. Syarifah bt. Muhd Zaimi.

Tahniah kepada semua penerima anugerah. Semoga penghargaan yang diterima pada hari ini menjadi dorongan dan sokongan kepada guru-guru dan murid-murid untuk mengejar, meningkatkan, serta mengekalkan prestasi yang cemerlang.

Majlis mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga  kepada En Muhammad b. Hashim dan En. Maswi b. Saion kerana sudi menyampaikan anugerah. Sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga, dipersilakan En. Maswi untuk menyampaikan cenderamata kepada En. Muhammad b. Hashim.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian, setiap pertemuan pasti ada perpisahan, itu adat itu lumrah kehidupan, begitulah rentetan perjalanan, walau sukar untuk ditelan, tapi kaki tetap mengorak jalan, selagi hayat dikandung badan.

Hari Anugerah Kecemerlangan HEM dan Kokurikulum 2013 hampir sampai ke penghujungnya. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua warga kerja yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Bagi pihak ahli jawatankuasa pengelola dan seluruh warga SMK Kampong Jawa, saya memohon kemaafan jika terdapat sebarang kesilapan sepanjang majlis ini berlangsung.

Tuan puteri pergi ke Rasah
Pulang semula sebelah pagi
Kita bertemu akhirnya berpisah
Diizin Tuhan bersua lagi.

Sekian sahaja, salam hormat, wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Semua hadirin dipersilakan menikmati hidangan yang disediakan.