Jumaat, 27 Jun 2014

Teks Ucapan Perasmi Kejohanan Sukan Sekolah


Terima kasih pengerusi majlis.

Bismillahhirrahmanirahim.

Yang Berbahagia, Tn. Hj. Mohammed Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa, Klang,
Yang Dihormati, En. Muhammad bin Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa,
Yang Berusaha Pn. Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Puan Puziah binti Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Puan Hajah Kamariah binti Md. Kamil, Penolong Kanan Kokurikulum,
Puan Hajah Nor Madiah binti Abd Rahim, Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Encik Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran, guru-guru, AJK PIBG, dan semua murid yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi keizinan untuk berucap dalam majlis yang penuh bermakna ini. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada pihak sekolah kerana menjemput saya datang ke sekolah ini.

Tuan-tuan, puan-puan dan anak didik sekalian,

Aktiviti sukan cukup penting kepada rakyat dan negara, khususnya generasi anak bangsa. Selain memberi tubuh yang cergas dan minda yang cerdas, aktiviti sukan yang melibatkan murid daripada pelbagai kaum dapat memupuk semangat perpaduan sekali gus mengeratkan silaturahim.

Orang yang mementingkan sukan ialah orang yang tahu makna kehidupan. Dengan bersukan kehidupan lebih sihat, cergas dan kuat. Amalan ini mestilah dipupuk di peringkat sekolah lagi dan sudah tentulah pihak sekolah menjadi teraju utama untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan murid-murid.

Sukan juga merupakan satu industri. Dunia hari ini telah menjadikan bidang sukan sebagai satu bidang kerjaya yang amat menarik. Contohnya pendapatan pemain bola terkenal di Malaysia sudah mencecah jutaan ringgit. Begitu juga dengan sukan-sukan yang mempunyai peminat yang ramai seperti olahraga, badminton, dan sukan tempur yang memberi ganjaran wang yang amat banyak kepada pemenang.

Hadirin yang saya muliakan,

Saya mengambil  kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua warga SMK Kampong Jawa terutama guru-guru yang bertungkus-lumus untuk menjayakan Kejohanan Sukan dan Balapan kali ke-16 sekolah ini. Kepada semua murid, kalah atau menang dalam sesuatu pertandingan sudah menjadi adat bertanding. Kepada yang menang diucapkan tahniah dan kepada yang tewas, belajarlah daripada kesilapan dan teruskan usaha untuk berjaya pada tahun hadapan.

Dengan lafaz “bismillahirrahmanirrahim”, saya dengan ini merasmikan Kejohanan Sukan dan Balapan kali ke-16, SMK Kampong Jawa, Klang.  Majulah sukan untuk negara. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: