Isnin, 12 November 2018

Doa Majlis Graduasi

Ya Allah,
Kami bersyukur ke hadrat-Mu atas limpah kurniaan-Mu, kami dapat berhimpun pada pagi yang mulia ini dalam Majlis Graduasi SMK Kampong Jawa tahun 2018.

Ya Allah,
Rahmat-Mu kami pohonkan, kasih sayang-Mu kami harapkan. Jadikanlah hidup kami di dunia ini mendapat keberkatan dan di akhirat kelak mendapat keredaan-Mu. Pada pagi yang penuh mulia ini, kami menadah tangan dengan rasa penuh pengharapan memohon restu daripada-Mu, agar ilmu yang dipelajari yang telah lalu dan yang akan datang, menjadi ilmu yang bermanfaat.

Ya Allah,
Kami memohon kepada-Mu agar pelajar kami ini, sentiasa diberi petunjuk dan hidayah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Bukakanlah pintu hati mereka untuk menjadi insan yang cemerlang, sentiasa sanggup menghadapi rintangan dan cabaran dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta.

Ya Allah,
Kurniakanlah kepada kami dan pelajar kami ini kekuatan dan kesabaran demi memartabatkan SMK Kampong Jawa menjadi sekolah yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Jadikanlah pelajar kami ini, pelajar yang cemerlang, dicontohi dan disegani. Eratkanlah kasih sayang dalam kalangan kami, Limpahkanlah petunjuk, untuk kami terus melaksanakan segala tanggungjawab dengan sempurna demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

Ya Allah,
Engkau tambahkanlah lagi kejujuran dan keikhlasan kepada kami semua, Engkau tambahkan lagi keazaman dalam diri kami untuk terus berusaha dan berjaya, seterusnya berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Ya Allah,
Kami memohon agar negara kami dipelihara daripada malapetaka, jauhilah kami daripada segala keburukan yang akan menimpa sama ada peringatan atau ujian yang tidak dapat diduga. Jika ujian, maka kurniakanlah kepada kami ketabahan dan kesabaran. Jika peringatan maka ampunilah kami sebelum ia mendatang.

Tiada ulasan: