Sabtu, 3 September 2016

Doa Kursus / Seminar

Doa Kursus/Seminar/Reunion

Marilah kita menundukkan kepala sejenak, untuk memanjatkan doa, dimulakan dengan ummul kitab Al-Fatihah.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ , وَالعَاقِبَة لِلْمُتَّقِيْنَ وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, segala pujian hanya bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada rasul junjungan.

Ya Allah,
kurniakanlah kami lisan yang lembut dan basah, mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar, mensyukuri nikmat-Mu, serta badan yang ringan, menyempurnakan perintah-Mu. Kami bersyukur kerana Engkau mengizinkan kami, menghadirkan diri, emosi dan roh kami, sesungguhnya, pada hari ini kami berhimpun  dalam majlis (       ), bagi menyatakan kesungguhan, komitmen dan iltizam dalam pekerjaan kami.

Ya Munzilar Rahmat Ya Fatihal Barakat,
berkatilah pertemuan kami, berkatilah usaha kami, ilhamkanlah dalam minda kami, idea yang bernas, pandangan yang jelas, kurniakanlah kepada kami limpahan ilmu yang berguna, dan kefahaman yang benar, satukanlah hati kami, eratkanlah silaturahim dalam kalangan kami, padukanlah tenaga dan usaha kami, berilah kami kekuatan semangat, tidak berputus asa, bersungguh-sungguh dan rajin untuk memikul tanggungjawab ini.

Ya Qaadhial Hajat,
ampunkanlah dosa-dosa kami; sesungguhnya kami lemah dalam sendirian, maka kuatkanlah kami dalam amal jemaah dan kolektif; sesungguhnya kesabaran kami punya batasnya, maka kurniakanlah kami nikmat kesabaran seumpama sabarnya Nabi-nabi; sesungguhnya kami cenderung untuk mengutamakan diri kami, maka didiklah hati kami untuk mengutamakan keperluan saudara seagama kami, seperti Kekasih-Mu mendidik sahabat baginda berbuat demikian; sesungguhnya hati kami juga sentiasa berbolak balik, maka satukanlah hati kami dan berikanlah kami ruang dan masa untuk bantu-membantu, dalam menegakkan agama-Mu.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa,
kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor,
sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan di bawah naungan dan pimpinan raja kami sebagai ketua agama Islam di negeri ini, kami pohon ke hadrat-Mu ya Allah, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Ya Allah, kami pohon ke hadratmu, mantapkanlah pegangan kami menurut ajaran Ahli Sunnah Waljamaah dan peliharalah kami daripada amalan dan akidah yang menyeleweng dan sesat seperti fahaman Syiah serta lain-lain fahaman.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk mendirikan solat fardu lima waktu, menunaikan zakat serta mewakafkan dan menginfakkan harta kami, dengan amalan ini ya Allah, berkatilah hidup dan luaskanlah rezeki kami dengan ganjaran pahala yang berkekalan hingga ke hari akhirat.

               
رَبَّنَا ظَلَمۡنَا أَنۡفُسَنَا وَإِنۡ لَمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُوۡنَنَّ مِنَ الۡخَاسِرِينَ. رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ وَاجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا. رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنۡيَا حَسَنَةً وَفِى الۡآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ وَسَلَّمۡ. وَالۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ الۡعَالَمِينَ.


Tiada ulasan: