Khamis, 1 September 2016

Teks ucapan pengetua sempena majlis persaraan PK1

Terima kasih pengerusi majlis.

Bismillahhirrahmanirahim.
Yang Diraikan Puan Latipah binti Ahmad,
Yang Dihormati Puan Puziah binti Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Tuan Haji Muzikir bin Muhammad, Penolong Kanan Kokurikulum,
Puan Normala binti Misman, Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Guru-guru Kanan Mata Pelajaran,
guru-guru, dan murid-murid yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam 1Malaysia, salam sehati sejiwa.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan izin-Nya, saya diberi ruang dan peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis yang penuh bermakna ini.  Terima kasih kerana sudi hadir dalam majlis ini yang diadakan khusus untuk meraikan persaraan Puan Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa.

Sesungguhnya seluruh warga sekolah amat menghargai segala jasa bakti yang dicurahkan oleh Puan Latipah. Perkhidmatan, pengorbanan dan sumbangan Puan Latipah yang tidak pernah mengenal erti penat lelah telah membawa Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa ke satu tahap yang lebih baik dan membanggakan pada hari ini. Saya berharap semua usaha ini akan diteruskan oleh  Penolong Kanan Pentadbiran baru yang akan mengambil alih.


Kita amat terhutang budi terhadap perkhidmatan, pengorbanan dan kejayaan yang telah disumbangkan oleh Puan Latipah sepanjang berkhidmat di sini. Setiap kebaikan yang ditinggalkan pastinya akan menjadi ikutan dan pendorong semangat kepada kita.

Saya mewakili semua pentadbir dan guru-guru, ingin mengambil kesempatan memohon kemaafan andai tersilap kata. Maafkan kami jika ada perlakuan dan tutur kata yang menyinggung perasaan. Segala jasa bakti Puan Latipah sepanjang berkhidmat di sekolah ini akan kami kenang.

Marilah sama-sama kita berdoa, semoga Allah SWT melimpahkan rahmat kepada Puan Latipah dan seisi keluarga agar dipanjangkan usia, diberikan kesihatan tubuh badan dan ditambahkan ilmu pengetahuan bagi manfaat agama dan bangsa. 


Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Tiada ulasan: