Khamis, 6 November 2014

Teks ucapan YDP PIBG jamuan Hi-tea

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam 1Malaysia.

Yang Dihormati, Tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia, Tn. Hj. Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa,Yang Berusaha, Pn. Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Yang Dihormati, Pn. Puziah binti Tuban, Penolong  Kanan Hal Ehwal Murid,
En. Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Yang Diraikan, Pn. Kamariah binti Md. Kamil, Mantan Penolong Kanan Kokurikulum,
Pn. Normadiah binti Abd. Rahim, Mantan Penolong Kanan Pendidikan Khas
Pn. Cheong Quay Lan,
Barisan guru kanan mata pelajaran
Dan guru-guru yang dihormati sekalian.

Pertama sekali izinkan saya menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya maka kita dapat berkumpul di dalam dewan yang indah ini bagi meraikan semua guru dan staf di samping meraikan guru yang telah bersara yang diatur oleh Kelab BAGUS.

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Jawatankuasa BAGUS yang telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih tidak terhingga kepada guru yang telah bertungkus-lumus mendidik murid-murid SMK Kampong Jawa. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua staf atas kesungguhan yang ditunjukkan untuk menguruskan sekolah dengan baik sepanjang tahun 2014.

Akhir sekali, untuk semua guru SMK Kampong Jawa, teruskanlah curahan kasih sayang kepada anak didik. Selain tugas hakiki guru yang menyampaikan ilmu ketika dalam bilik darjah, jadilah juga;

akauntan yang cekap ketika mengurus sumbangan PIBG,
doktor yang jitu ketika murid mengadu sakit,
pengawal keselamatan yang padu ketika menunggu murid tiba dan pulang,
pereka hiasan dalaman yang berseni ketika menceriakan kelas,
tukang kayu yang tepat ketika murid mengadu meja patah,
bomoh yang sukarela ketika murid histeria,
pegawai penyiasat yang efisyen ketika ada kecurian dan kehilangan,
pemandu ambulans berhemah jika murid sakit,
pakar motivasi yang efektif jika murid hilang arah tujuan,
majistret yang adil jika ada pertelingkahan dalam kalangan pelajar,
Pegawai Kebajikan Masyarakat yang prihatin ketika murid dalam kesempitan.

Semuanya adalah lambang anda semua menjulang tuntutan  ”Guru Sayang Murid” seperti termaktub dalam program Sekolah Penyayang. Begitulah kasihnya para guru terhadap murid khususnya anak-anak SMK Kampong Jawa, sehingga sanggup membakar diri agar mereka diterangi. Semoga segala usaha anda semua diredhai dan beroleh keberkatan.

Sekian, wabillahi taufik wal-hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan: