Khamis, 6 November 2014

Teks pengerusi jamuan Hi-tea


KETIBAAN VIP

Diumumkan ketibaan Yang Berbahagia En. Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa, diiringi masuk oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Muhammed Nashan b Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa, dan para jemputan yang lain.

NYANYIAN LAGU NEGARAKU

Sidang hadirin, nyanyian lagu Negaraku akan berkumandang sebentar lagi. Sidang hadirin diminta berdiri.

Sidang hadirin dipersilakan duduk.

Bagi memberkati perjalanan majlis pada pagi ini, saya dengan sukacitanya menjemput Al-fadhil Ustaz Mohd Rashid untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan.

Demikianlah tadi bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Rashid.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua,
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

UCAPAN PENGERUSI MAJLIS

Yang Berbahagia En Muhammad b. Hashim, YDP PIBG SMK Kampong Jawa,
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohammed Nashan b. Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa,
Yang Berusaha Puan Latipah bt. Ahmad, Penolong Kanan Kurikulum SMK Kampong Jawa,
Yang Dihormati Puan Puziah bt. Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Kampong Jawa,
Yang Diraikan Puan Kamariah bt. Mohd Kamil, mantan Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kampong Jawa,
Puan Normadiah bt. Abd. Rahim, mantan Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kampong Jawa,
Yang Dihormati En. Amir Syaifuddin b. Abdul Majid, Penolong Kanan Petang SMK Kampong Jawa,
Barisan guru kanan bidang,
Pengerusi Kelab Guru dan Staf SMK Kampong Jawa, Encik Rezuali b. Hassanudin,
Guru-guru dan staf SMK Kampong Jawa yang dihormati sekalian.

Busana pengantin kita kagumi
Tema pilihan majlis kali ini
Jamuan akhir tahun kita mulai
Mencipta kenangan tersemat di hati

Salam sejahtera, salam perpaduan, salam transformasi,

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tujuan majlis ini diadakan bukan sahaja untuk majlis makan-makan malah juga menjadi medan terakhir bagi kita untuk beramah mesra sesama kita, demi mengeratkan silaturahim antara satu sama lain setelah berpenat lelah dengan penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang tahun ini.

Tanpa membuang masa, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berusaha Encik Rezuali b. Hasanudin, Pengerusi Badan Kebajikan Guru dan Staf SMK Kampong Jawa untuk menyampaikan sepatah dua kata. Dipersilakan.

Terima kasih Encik Rezuali atas ucapan itu tadi.

Seterusnya, majlis  dengan penuh takzimnya mempersilakan Yang Berbahagia Encik Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG SMK Kampong Jawa yang naik ke pentas untuk menitipkan sepatah dua kata. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Terima kasih Encik Muhammad atas ucapan itu tadi.

Majlis seterusnya mempersilakan Tuan Pengetua, Tuan Haji Nashan b. Singgan untuk menyampaikan sepatah dua kata. Dipersilakan.

Terima kasih Tuan Pengetua atas ucapan itu tadi.

Hadirin hadirat sekalian,

Pada petang ini, majlis turut meraikan dua orang pentadbir kita yang telah bersara, iaitu Puan Normadiah bt. Abdul Rahim dan Puan Kamariah bt. Mohd Kamil. Terima kasih kerana meluangkan masa bersama-sama guru dan staf pada petang yang bahagia ini.
Majlis dengan rasa bangganya mempersilakan Puan Normadiah selaku wakil guru yang bersara untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Terima kasih Puan Normadiah atas ucapan itu tadi. Seterusnya majlis mempersilakan Tuan Pengetua, diiringi oleh Puan Latipah bt. Ahmad untuk menyampaikan tanda kenang-kenangan kepada dua orang guru kita yang telah bersara ini. Dipersilakan.

Dipersilakan Puan Normadiah naik ke pentas untuk menerima cenderamata.

Dipersilakan Puan Kamariah naik ke pentas untuk menerima cenderamata.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Latipah dan Tuan Pengetua kerana menyampaikan tanda ingatan bagi pihak semua guru dan staf SMK Kampong Jawa. 

Pulau Pandan jauh ke tengah
gunung daik bercabang tiga
doa sudah ucapan pun sudah
tiba masa menjamu selera

Sorong papan tarik papan
makan keranji dalam perahu
suruh makan kita makan
janganlah segan janganlah malu

Majlis berehat seketika. Semua hadirin dipersilakan menikmati jamuan.

CABUTAN BERTUAH

Hadirin yang dihormati sekalian,
Seterusnya, tuah ayam tampak di kaki, tuah kita siapa yang kena. Sebentar lagi kita akan tahu siapa yang bertuah dalam kalangan kita. Bagi maksud tersebut, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Yang Berbahagia Puan Puziah untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Puziah.

Sambil makan-makan, hadirin akan disajikan persembahan video Puan Cheong yang dibuat oleh guru pendidikan khas.  

Seterusnya dijemput Yang Berusaha Puan Latipah untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Latipah.

Sekali lagi kami mempersembahkan video Puan Normadiah untuk tatapan hadirin semua.

Seterusnya dijemput Tuan Pengetua untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Pengetua.

Sekali lagi kami mempersembahkan video Puan Kamariah untuk tatapan hadirin semua.

Seterusnya dijemput pula Encik Muhammad untuk membuat 5 cabutan dan menyampaikan hadiah. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Encik Muhammad.

Kini tibalah masa yang kita nanti-nantikan, pemenang pertandingan busana yang memenuhi tema. Sekali lagi dipersilakan Tuan Pengetua naik ke pentas untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang. Pemenang pertandingan busana paling menarik kategori perempuan pula diberikan kepada… Pemenang pertandingan busana paling menarik kategori lelaki jatuh kepada…

Tahniah Cikgu X dan Cikgu Y kerana terpilih sebagai pemenang.

Hadirin yang dimuliakan,
Majlis kita sampai di penghujungnya. Pihak majlis merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama padu semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi memastikan acara petang ini berlangsung dengan jayanya. Terima kasih juga kepada pihak pengurusan Hotel Concorde yang membantu kelancaran majlis.

Hadirin yang dihormati sekalian, sambil menikmati hidangan, majlis diserikan lagi dengan persembahan daripada guru yang sememangnya berbakat dalam bidang seni suara. Dipersilakan Cikgu Zaidi untuk mendendangkan lagu. 

Tiada ulasan: