Isnin, 8 September 2014

Teks emcee majlis persaraan Penolong Kanan Pendidikan Khas

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
salam sejahtera, salam transformasi, salam 1Malaysia
Yang Berbahagia, Pengetua SMK Kampong Jawa, Tn Hj Mohammed Nashan bin Singgan,
Yang Berusaha, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Latipah bt Ahmad,
Yang Dihormati Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Fuziah bt. Tuban
Yang Diraikan Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Normadiah bt. Abd. Rahim
Barisan kepimpinan Guru Kanan Mata Pelajaran,
Rakan-rakan guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, pada pagi yang berbahagia ini, kita dapat sama-sama berkumpul bagi meraikan satu majlis yang menjadi titik pemisah antara kita, warga sekolah dengan seorang guru yang kita kasihi. Untuk makluman semua, kita akan kehilangan seguru yang sangat berdedikasi sepanjang perkhidmatannya di SMK Kampong Jawa. Guru yang saya maksudkan ialah Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Normadiah bt. Abd. Rahim.

Sebelum memulakan majlis, marilah sama-sama kita mengaminkan doa yang akan dibacakan oleh Ustaz Mohd Rashid. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Mohd Rashid atas bacaan doa itu tadi.

Atur cara majlis dimulakan dengan ucapan daripada wakil murid Pendidikan Khas. Untuk itu, dipersilakan Adik Akil untuk menyampaikan ucapan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Adik Akil.

Seterusnya saya mempersilakan Pengerusi Kelab Guru dan Staf, Encik Rezuali untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Terima kasih Encik Rezuali atas ucapan penghargaan itu.

Bukan keris tanpa ulunya
Bukan majlis kalau tanpa ucapannya.

Sebagai persada ucapan, saya dengan segala hormatnya menjemput tuan pengetua, Tn. Hj. Mohammed Nashan untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada tuan pengetua atas ucapan beliau itu tadi.

Angka 58 menjelang tiba,
Tidak diundur biar seketika,
Sampai seru meletak pena,
Tiga dekad begitu lama.

Sebelum saya menjemput Puan Normadiah untuk menyampaikan ucapan beliau, berikut merupakan sedikit maklumat tentang khidmat beliau. Beliau dilahirkan pada 9 September 1956 di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Kecil Ilir, sebelum ke SMK Permatang Pasir, Bandar Bharu, Kedah. Selepas itu beliau melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Ipoh dan mendapat Ijazah Pendidikan Khas dari UKM pada 1999. Beliau mula berkhidmat di SMK Kampong Jawa pada 2001 sebelum dilantik sebagai Penolong Kanan Pendidikan Khas pada 2009. Antara sumbangannya dalam bidang pendidikan ialah menjadi penggubal kurikulum pendidikan khas bagi masalah pembelajaran sekolah rendah dan sekolah menengah, Jurulatih Utama Kurikulum Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan,  dan Ahli Panel PTK Pegawai Perkhidmatan Pendidikan,

Oleh itu, dengan segala hormatnya, saya mempersilakan Puan Normadiah untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Kenangan bersama mengusik rindu,
Kini menjadi medan pilu,
Biarpun tiada ratap sendu,
Dalam hati Allah yang tahu.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Normadiah.

Hadirin sekalian,
bagi memeriahkan lagi majlis kita pada pagi ini, kami tampilkan satu persembahan daripada pelajar pendidikan khas. Dipersilakan Adik Yong Seng naik ke pentas.

Terima kasih Adik Yong Seng atas persembahan itu tadi.

Hadirin sekalian, majlis seterusnya ialah penyampaian cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan buat insan yang kita raikan pada hari ini.

Sebelum itu, majlis sekali lagi menjemput Tn. Hj. Nashan mengiringi Yang Diraikan Puan Normadiah bagi menerima tanda kenang-kenangan. Dipersilakan.

Kita akan mulakan dengan penyampaian cenderamata hasil sumbangan murid-murid SMK Kampong Jawa.

Dipersilakan wakil murid-murid Pendidikan Khas

Dipersilakan wakil Majlis Presiden.

Dipersilakan wakil Pengawas.

Dipersilakan wakil Pengawas Pusat Sumber

Dipersilakan wakil Panitia Sains

Dipersilakan wakil Pentadbir

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Pengetua.

Majlis merakamkan sejuta penghargaan dan terima kasih atas tanda ingatan, sumbangan dan tanda hati yang diberikan dan semoga menjadi memori indah kepada guru-guru yang akan meninggalkan kita ini.

Ubi manis ubi keladi
Dijual si gadis di tepi titi
Jika umur panjang lagi
Kita pasti berjumpa nanti

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan: