Isnin, 8 September 2014

Teks ucapan YDP PIBG sempena Hari Guru

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam 1 Malaysia.

Yang Dihormati, Tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia, Tn. Hj. Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa.
Yang Berusaha, Pn. Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran,
Yang Dihormati, Pn. Puziah binti Tuban, Penolong  Kanan Hal Ehwal Murid,
Pn. Kamariah binti Md. Kamil, Penolong Kanan Kokurikulum,
Pn. Normadiah binti Abd. Rahim, Penolong Kanan Pendidikan Khas
En. Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Barisan guru kanan mata pelajaran
Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian.

Pertama sekali, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Guru peringkat sekolah bagi tahun 2014. Semoga Hari Guru ini disambut dan diraikan dengan penuh bermakna dalam suasana yang ceria dan harmoni.

Sidang hadirin yang berbahagia; 
Sebelum saya meneruskan ucapan ini saya terlebih dahulu mengambil peluang ini untuk mengucapkan “Selamat Hari Guru” dan “Terima Kasih Cikgu”.

Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya ialah satu pengiktirafan dan penghargaan kepada guru yang diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Jadi, amat wajar sekali jika Sambutan Hari Guru ini diraikan oleh murid, ibu bapa dan masyarakat sebagai pengiktirafan kepada guru. Inilah cara yang terbaik untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

Kepada semua murid yang dikasihi sekalian. Hargailah jasa guru-guru kamu! Kalau seorang doktor dikagumi kerana boleh menyelamatkan nyawa, jika polis dan tentera disanjung kerana boleh mempertahankan negara, jika tokoh korporat dibanggakan kerana menjana ekonomi negara, jangan lupa bimbingan seorang guru biasa sahaja boleh menjadikan seseorang yang biasa kepada insan luar biasa.

Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang dicurahkan kepada anak didik di sekolah ini amat dihargai dan disanjung tinggi.

Pada kesempatan ini saya menyeru semua warga guru supaya berusaha menjadi lebih kreatif, inovatif, dan mampu mencipta kelainan yang boleh memberi manfaat kepada murid-murid. Sesungguhnya, mendidik adalah tugas yang amat mulia dan tidak ternilai harganya. Jalankanlah tugas dengan lebih gigih, jujur dan terus bekerja sebagai satu pasukan.

Sekian, wabillahi taufik wal-hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan: