Isnin, 8 September 2014

Teks penghulu kursus CPD

Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis,
Yang dihormati Dr Supian bin Mohamad Noor
barisan penceramah, para urus setia, dan rakan-rakan guru yang dikasihi.

Alhamdulillahirabbil alamin, segala pujian kepada Allah subhanahu wataala dan salam sejahtera atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Dengan izin Allah kita dapat bersama-sama dalam majlis penutupan Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan 2013. Hari ini merupakan hari terakhir kita berkampung di Hotel Empress ini.

Kalungan budi dan  ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua fasilitator yang terdiri daripada penayarah IPG Kampus Ipoh kerana sudi meluangkan masa bersama-sama kami berkongsi ilmu pengetahuan dan seterusnya menjayakan kursus ini. Ucapan yang sama juga disampaikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Selangor,  dan juga semua pihak yang terlibat dengan kursus ini. Semua memori yang manis dan indah adalah untuk kenang-kenangan. Mana-mana yang tersalah harap dapat dimaafkan.

Hadirin yang dirahmati,

Sebagai penyalur ilmu kita tidak dapat mengelakkan ledakan transformasi dunia pendidikan. Selari dengan keperluan itulah kita semua berada di sini untuk meluaskan horizon ilmu yang sedia ada. Transformasi ini tidak akan dapat dilakukan dalam masa sehari atau melalui kursus yang dianjurkan seperti hari ini sahaja. Proses ini memerlukan tekad, komitmen dan usaha yang berterusan daripada semua pihak termasuklah para guru.  

Kluster ilmuan,

Sesungguhnya sebagai guru kita perlu sentiasa kreatif melengkapkan diri dengan kemahiran semasa, inovatif dalam mencari peluang bagi mendedahkan diri kepada perkara-perkara baru, dan agresif dalam mendalami ilmu untuk mempertingkatkan kecemerlangan diri, contohnya melalui majlis-majlis ilmu atau kursus seperti ini.  Oleh yang demikian besarlah harapan kami agar kursus-kursus seperti ini dapat dianjurkan lagi agar perkongsian dan kelangsungan ilmu tidak terhenti setakat ini sahaja.  

Sejambak bakti segugus budi,
Untuk generasi bangsa tak disisih,
Ganjaran terbaik daripada Ilahi,
Ucapan kami, terima kasih.

Sepanjang bersama-sama dalam kursus ini, kalau nama yang salah sebut, kalau gelar yang salah ucap, saya mohon maaf. Akhir kata, selaku wakil kumpulan sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kursus yang cukup bermakna ini.  Terima kasih, assalamualaikum.

Tiada ulasan: