Isnin, 8 September 2014

Teks ucapan Pengetua sempena Hari Guru

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi dan salam transformasi.

Yang dihormati, Tuan Pengerusi Majlis,
Yang berbahagia, En. Muhammad b. Hashim, YDP PIBG,
Yang berusaha, Pn. Latipah bt. Ahmad, PK1,
Yang dihormati, Pn. Puziah bt. Tuban, PK HEM,
Pn. Kamariah bt. Md. Kamil, PK Kokurikulum,
Pn. Normadiah bt. Abd. Rahim, PK Pendidikan Khas,
Barisan guru kanan mata pelajaran,
Guru-guru yang berdedikasi,
Ketua Pelajar SMK Kampong Jawa, Mohd Zahir Fitri
Dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya dapat kita berhimpun pada hari yang berbahagia ini untuk menyambut Hari Guru. Sambutan hari guru pada hari ini adalah sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa para guru.

Selaku Pengetua SMK Kampong Jawa, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru di sekolah ini. Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas segala pengorbanan para guru kepada murid-murid dan sekolah ini.

Pencapaian dan kejayaan yang dikecapi baik dalam bidang akademik dan kokurikulum menjadikan sekolah ini mula digeruni oleh sekolah-sekolah yang lain. Malah sekolah ini mula dijadikan penanda aras kepada sekolah-sekolah lain dalam bidangg sukan. Inilah bukti yang menunjukkan bahawa para guru di sekolah ini sentiasa positif dalam melonjakkan transformasi pendidikan negara.

Guru-guru yang dirahmati Allah sekalian,
Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi. Begitulah tema hari guru pada tahun ini. Pada pendapat saya, guru-guru di sekolah ini telah memainkan peranan ke arah merealisasikan pendidikan bertaraf dunia. Apa yang saya lihat ialah para guru bukan sahaja menekankan aspek akademik dan kokurikulum semata-mata, malah berusaha untuk membangunkan modal insan yang memberi tumpuan kepada aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar.

Murid-murid sekalian,
Guru ialah insan yang perlu kita letakkan pada darjat yang tinggi. Guru banyak berkorban masa dan tenaga mendidik kita sehingga Berjaya. Pelajar yang berilmu dan berpengetahuan dalam semua bidang terhasil daripada komitmen dan kerja keras golongan guru. Sebagai murid, kita perlu menjadi seperti burung jentayu yang patah sayap bertongkatkan paruh, patah paruh bertongkatkan dagu, patah dagu bertongkatkan kuku dalam memartabatkan guru-guru kita. Sekiranya semua pelajar menghargai jasa guru, maka ilmu yang dipelajari akan diberkati dan seterusnya menjana modal insan kelas pertama.

Hadirin sekalian,
Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, proaktif dan inovatif, sekolah dapat melahirkan insan yang mulia dan membina masa depan yang sejahtera. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat hari guru. Semoga semua guru akan terus diberi kekuatan untuk terus menabur bakti.

Sekian, wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum wbt.

Tiada ulasan: