Isnin, 15 September 2008

Hari Ini Dalam Sejarah

15 September 2008. Hari ini dalam sejarah. Janji temu kali ke-333 dengan Ila. Pelawaanku ke KB Mall disambut tanpa bersoal jawab. Satu petanda baik fikirku. Ya, mungkin lain kali kalau aku ajak dia ke tempat lain, Ila tidak banyak songel juga. Jangan salah faham, tempat lain yang aku maksudkan ialah kebun ke, sawah ke, hutan belantara ke, muzium ke, katil ke… aku tidak bermaksud lebih daripada itu.

Semasa berada di atas tangga lift untuk ke tingkat dua, aku dapat merasakan ‘perkembangan’ hidungku bertambah menjadi-jadi. Kembang sungguh. Bersebelahan tangga lift untuk naik itu, ada empat lima orang lelaki dan perempuan sedang turun. Mereka semuanya memandang ke arah kami. Yang lelaki lebih banyak memandang aku manakala yang perempuan pula pasti mencemburui Ila. Ah, kalau ada kuasa magis mahu rasanya aku gerakkan tangga lift itu naik turun hingga ke maghrib. Biar mereka yang di atas tangga lift itu terus kagum dan cemburu.

Di kafeteria, perkembangan hidungku tidak berkurang sedikit pun. Malah berlebih-lebihan lagi. Dan bukan aku sahaja, orang lain yang berhidung pesek macam buntut Proton Juara pun pasti tiba-tiba berasa semancung Hamid Karzai jika memiliki kesempatan sepertiku. Bayangkanlah berjalan beriringan dengan gadis yang cukup cantik. Barang siapa yang melihatku pasti diruntun kekaguman yang berterusan sebagaimana lelaki-lelaki di atas tangga lift tadi. Tentu mereka tertanya-tanya siapakah jejaka bertuah ini. Mungkin ada yang berkata koman-koman pun aku ini anak raja. Mereka tidak akan tahu yang aku sesungguhnya anak raja yang sudah hilang kedaulatannya. Dan percayalah, antara jantan-jantan malang itu tentu ada yang berdoa hendak mengambil alih tempatku. Bagi mereka, kalau dapat peluang tolong jemur kain Ila pun sudah dikira bagus, apatah lagi kalau dapat melangkah beriring dengannya.