Ahad, 14 September 2008

The Succesful Story Of A Bright Boy


Raja Ahmad Talmizi Raja Abdullah, penulis kreatif yang cukup popular dalam bidang penulisan terutama dalam kalangan remaja dan profesional. Pada waktu lapang, beliau menghabiskan masa dengan tidur di sebelah siang dan aktif pada malam hari. Penulis berbakat ini juga ialah pecahan dari spesis yang dilindungi kerana jumlahnya yang semakin berkurangan. Ia amat buas dan jarang ditemui kecuali di kawasan tanah pamah dan hidup secara berkumpulan. Adalah menjadi kesalahan jika ia dipelihara di belakang rumah! Selain daripada menulis, beliau juga gemar membaca, iaitu membaca semula apa yang ditulisnya. Penulis kacak yang biadap ini juga boleh bertutur pelbagai jenis bahasa asing dengan fasih dan baik seperti bahasa tungkik latin seberang, bahasa baboon ulu, bahasa cipan sanskrit dan bahasa lampu isyarat.

Buku beliau yang paling laris di pasaran berjudul “Kenapa Kau Seleweng Biskutku?” telah mendapat sambutan hangat terutama dalam kalangan pekerja kilang biskut kerana diulang cetak sebanyak 43 kali dalam masa lima minggu berturut-turut sebelum menduduki tempat pertama dalam kejohanan Cub Prix Kebangsaan '05 yang lalu.

Kini atas sokongan yang ditunjukkan oleh sebuah syarikat pembuat plastik sampah yang terkemuka, sebuah buku dihasilkan dalam bentuk tulisan rumi agar mudah difahami untuk dijadikan koleksi dan bacaan ringan sambil menghabiskan masa. Buku ini amat sesuai dibaca dengan nada yang amat kuat sehingga kedengaran oleh jiran sebelah rumah. Adalah menjadi keutamaan sekiranya buku ini diulang baca dua belas kali sehari selepas atau sebelum makan dan disapu pada bahagian tengkuk yang luka jika diperlukan. Bagi mereka yang payah tidur, buku ini juga boleh direbus untuk beberapa minit sehingga air mendidih dan minum airnya bagi kanak-kanak yang suka kencing malam.

Kini beliau sibuk menjalankan kajian untuk mendalami bahasa sastera cencibang, iaitu seekor haiwan pemalu dan senyap selain mempelajari bahasa katak, obor-obor, siput, anai-anai dan kelip-kelip. Beliau yang terkenal sebagai pemain bola sepak kampung dan ketua belia pensel 2B kini menunggu masa untuk dibuang kerja.