Ahad, 14 September 2008

Pembinaan Pemimpin Masa Depan Bermula di Kampus


Mungkinkah pelajar boleh menjadi pemimpin sejak di kampus lagi? Ada berbagai-bagai jawapan. Mungkin ada yang bersetuju dan mungkin ada yang tidak. Mereka yang tidak bersetuju memberikan pelbagai alasan. Antaranya kampus tidak mengajar pelajar menjadi pemimpin tetapi hanya mengajar untuk lulus peperiksaan. Jaafar Abdul Rahim menyatakan sistem pendidikan yang sedia kita warisi sejak tahun 1950-an ini tidak lebih daripada sekadar menjadikan pelajar atau penuntut sebagai penghafal dan pengkaji semata-mata. Menurutnya lagi, universiti hanya berfungsi sebagai kilang menghasilkan pelajar yang lebih baik sedikit daripada pemegang SPM, STPM atau diploma.

Tuah Iskandar menyatakan bahawa menguasai emosi lebih penting daripada kecerdasan minda sebagai persiapan awal ke arah kejayaan hidup seseorang dalam alam dewasa nanti. Tambahnya lagi, seseorang yang kaya dengan idea pasti akan muncul sebagai juara di tengah-tengah orang yang miskin idea. Dia akan menjadi pemimpin, kata-katanya didengar, nasihatnya dipatuhi, pandangannya diterima dan tindakannya akan disokong. Demikianlah juga yang berlaku kepada Arnold Schwarzenegger, pelakon Hollywood yang menjadi Gabenor California. Arnold merupakan contoh individu yang menggunakan kecerdasan emosi bagi membolehkannya menjadi pemimpin.

Mantan Presiden Indonesia yang pertama, Sukarno tidak pernah belajar kursus kepemimpinan dan berpidato di mana-mana universiti sebaliknya belajar dengan mentuanya, iaitu Djokraminoto, pengasas Parti Sarekat Islam. Sukarno menghabiskan masanya pada waktu malam dengan mempelajari ilmu pentadbiran dan menemani Djokraminoto ke majlis pidato.

Abdullah Hassan mengatakan bahawa untuk berjaya, sikap dan persepsi yang betul sahaja tidak cukup. Faktor utama yang mesti ada ialah bakat semula jadi. Bakat semula jadi merupakan salah satu faktor yang memainkan peranan penting dalam kejayaan selepas keluar dari universiti.
Dacey dan Ripple pernah menjalankan kajian terhadap 1, 200 murid sekolah menengah di 45 sekolah. Mereka mengatakan proses persekolahan membantutkan kreativiti para pelajar. Salah satu bukti yang ditemui untuk menyokong hipotesis ini ialah semasa memberikan Ujian Dua Tali kepada murid tahun enam. Hasil kajian menunjukkan bahawa 90 peratus daripada mereka dapat menyelesaikannya. Apabila ujian itu diberikan kepada pelajar sekolah menengah, didapati bahawa 80 peratus daripada mereka dapat menyelesaikannya. Apabila ujian itu diberikan kepada pelajar universiti, hanya 20 peratus yang dapat menyelesaikannya. Dacey dan Ripple berpendapat bahawa proses pendidikan di sekolah menumpulkan kemahiran para pelajar menyelesaikan masalah yang memerlukan supaya sesuatu alat itu didefinisikan semula secara kreatif. Seterusnya, kedua-dua penyelidik itu mendakwa semakin banyak seseorang itu menerima pendidikan di sekolah, persepsi mereka tentang fungsi menjadi semakin kaku.

Menurut Daniel Goleman (1995), individu yang berjaya mempunyai kebijaksanaan emosi yang tinggi. Beliau juga menyatakan orang yang paling pintar di universiti ialah mereka yang tidak pintar dalam mengurus kehidupannya. Kajian beliau mendapati faktor kepintaran akademik individu terhadap kejayaan hanyalah 20 peratus. 80 peratus lagi daripadanya ialah faktor lain. Ramai pelajar yang cemerlang akademik mendapat keputusan yang menakjubkan sebelum memasuki institusi pengajian tinggi. George Vaillant menyatakan bahawa daripada 98 graduan Harvard, pelajar dalam lingkungan pencapaian tertinggi tidak begitu berjaya berbanding rakan sebaya mereka yang mendapat pencapaian yang rendah. Mereka bukan sahaja ketinggalan dari segi pendapatan, produktiviti dan status dalam bidang yang diceburi malah tidak mendapat kepuasan dan kebahagian hidup.

John Van Maurik menyatakan bahawa kebanyakan pemimpin organisasi korporat di Amerika hanya berkelulusan dari sekolah tinggi. Lelaki terkaya di dunia, Bill Gates tidak menghabiskan pengajiannya di Universiti Harvard kerana ingin mendirikan syarikat Microsoft bersama rakannya, Paul Allen. Begitu juga dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) British Sky Broadcasting yang merupakan CEO paling muda, iaitu James Murdoch. Walaupun tercicir daripada Universiti Harvard, James membina kerjayanya bermula dengan syarikat muzik hip hop, Rawkus. Jutawan ranggi, Sir Richard Branson dengan aset melebihi AS$5 bilion mengasaskan syarikatnya ketika berumur 20 tahun. Beliau hanya mendapat pendidikan di Stowe School, London. Semasa berucap ketika menerima ijazah doktor kehormat undang-undang dari Universiti Harvard, Perdana Menteri British semasa era perang dunia kedua, Winston Churchill menyatakan, “Saya tidak pernah mendapat peluang belajar di universiti. Ketika saya bersekolah dahulu, guru selalu mengatakan saya budak dungu. Kini, saya boleh berbangga kerana saya ialah lelaki yang paling banyak menerima ijazah tanpa belajar di universiti.” Pakar motivasi terkenal, C.K. Brightbill pernah mengatakan bahawa masa depan yang cerah bukan sahaja dimiliki oleh orang yang berpendidikan, tetapi juga orang yang dididik untuk menggunakan masa lapangnya dengan bijaksana.