Sabtu, 13 September 2008

Permainan Bahasa: Kemahiran Berhujah

Panduan untuk guru:

1. Murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada enam orang.
2. Guru mengedarkan teks kepada setiap kumpulan dan meminta mereka memahami kes selama 5 minit.
3. Guru meminta murid menyelesaikan kes dengan berbincang di dalam kumpulan selama 15 minit. Sekiranya murid tidak faham kehendak soalan, guru haruslah membimbing mereka.
Setiap kumpulan diminta hadir ke hadapan untuk membentangkan kes dan menyelesaikannya selama 5 minit bagi setiap kumpulan.
4. Markah setiap kumpulan dikira berdasarkan gaya, intonasi, tatabahasa dan hujah yang disampaikan. Guru juga boleh menambah dan merangsang pemikiran murid sekiranya hujah mereka terlalu lemah atau murid tidak dapat bertutur dengan lancar. Permainan ini juga sesuai digunakan bagi Ujian Lisan Bahasa Melayu tingkatan 3.

Nahas Pesawat

Sebuah pesawat terhempas di Lautan Pasifik yang dipenuhi ikan jerung. Hanya enam orang yang terselamat dalam kejadian itu daripada enam puluh penumpang. Terdapat kerosakan pada sistem elektronik yang menyebabkan pesawat itu tidak dapat terbang semula. Radio juga gagal berfungsi untuk menghantar isyarat kecemasan. Lokasi kejadian terletak di tengah-tengah lautan dan mengambil masa sehari untuk sampai ke daratan. Terdapat sebuah bot getah kecil yang boleh digunakan terletak di sisi pesawat, tetapi hanya boleh memuatkan empat orang. Setiap ahli kumpulan itu mesti mencapai kata putus mengenai siapa yang patut hidup sebelum pesawat itu tenggelam.

Berikut ialah enam penumpang yang terselamat:

Kapten Rashid – Rashid ialah juruterbang semasa kapal terbang itu terhempas. Beliau ialah bekas juruterbang Tentera Udara Malaysia yang pernah bertugas di Lebanon. Beliau pernah dianugerahkan Pingat Gagah Berani kerana keberaniannya menyelamatkan penduduk awam semasa satu pertempuran di antara tentera Lebanon dengan tentera Israel. Bagaimanapun kerana kecederaan, beliau bersara awal. Beliau kini merupakan juruterbang pesawat komersil.
Mr. Chandran – Chandran ialah usahawan bertaraf bilionair. Umurnya baru menjangkau 48 tahun dan mempunyai empat orang anak. Isterinya baru sahaja meninggal kerana menghidap kanser. Beliau terkenal kerana mempunyai yayasan yang membantu anak-anak yatim dan sering menderma berjuta-juta ringgit untuk murid yang miskin. Hobinya ialah mengumpul kereta antik.

Keluarga Lim

Robert Lim ialah paderi yang berumur 40 tahun. Beliau dihormati oleh pengikutnya dan menjadi tempat rujukan sekiranya mereka menghadapi masalah. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah kepada remaja yang bermasalah dan membentangkan kertas kerja dalam seminar keibubapaan.
Rosy Lim ialah guru berusia 35 tahun. Guru yang berdedikasi ini begitu komited terhadap tugasnya. Beliau baru sahaja mencipta formula menguasai bahasa Inggeris dengan lebih mudah untuk diajar kepada murid-muridnya. Beliau bercadang menerbitkan buku tentang formulanya itu.
Suzanne Lim – Suzanne ialah kanak-kanak berumur 10 tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang. Dia bersama ibu bapanya dalam perjalanan ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan. Pembedahan itu nanti mungkin dapat menyelamatkan nyawanya. Suzanne seorang kanak-kanak yang aktif dan periang sebelum jatuh sakit.
Profesor Hassan Basri – Hassan Basri ialah saintis yang terkenal dalam bidang bio-perubatan. Beliau baru sahaja menemui vaksin yang dapat menyembuhkan penyakit kanser. Bagaimanapun, beberapa kajian perlu dilakukan sebelum vaksin itu boleh digunakan merawat pesakit.

Tiada ulasan: