Sabtu, 13 September 2008

Sehebat Mana Pukulan Maut


Apakah jenis tumbukan yang dapat mematahkan tulang muka, meretakkan tempurung kepala atau menyebabkan seseorang pengsan serta merta? Tendangan siapa pula yang paling pantas dan berkuasa?
Dunia seni mempertahan­kan diri sememangnya menarik, pada masa yang mampu menggerunkan sesiapa sahaja. Setiap pergerakan, baik tumbukan, tendangan mahupun gerak-geri melambangkan kehalusan, dan betapa agresifnya sesuatu seni itu.
Kebanyakan seni mempertahan­kan diri lahir dari kuil-kuil penuh mistik di Asia. Pengamal atau perwira yang mengamalkan setiap disiplin membesar menjadi legenda dalam medan pertempuran dan juga gelanggang. Ketua-ketua rohaniah seperti sami Shaolin dari China mengimbangi ilmu meditasi Buddha dengan mempraktikkan seni mem­pertahankan diri, seterusnya menghasilkan gaya berlawan yang tidak dimamah usia.
Jika dahulu mereka yang mengamalkan seni ini dianggap sebagai kesatria ataupun perwira, imej masyarakat sekarang terhadap pengamal ini sering dibentuk oleh penghibur di layar perak termasuk Bruce Lee, Jackie Chan dan Jet Li. Di layar perak, mereka mempersembahkan keupayaan yang menjangkaui realiti. Pelbagai kepercayaan mahupun mitos sentiasa menyelubungi dunia seni memper­tahankan diri. Mampukah seorang pengamal menjatuhkan lawannya dengan hanya satu tumbukan mahupun tendangan?
Benarkah seseorang boleh tewas tanpa menggunakan sebarang tum­bukan dan tendangan? Mampukah suatu pergerakan melampaui kepantasan patukan seekor ular tedung? Menggunakan teknologi terkini, saluran National Geographic berupaya membezakan antara fakta dan mitos yang menyelubungi du­nia seni mempertahankan diri.
Penggambaran dan eksperimen yang dilaksanakan di sebuah dojo atau dewan latihan formal yang juga berperanan sebagai makmal, dilengkapi dengan per­alatan biomekanik, balistik, sains sukan dan juga rakaman gerak aksi. Penanda pemantul membarisi seluruh badan dengan 30 kamera inframerah mengesan setiap pergerakan ribuan kali setiap saat. Data yang diperoleh menghasilkan animasi komputer tiga dimensi (3D) yang membolehkan orang ramai melihat sendiri rahsia yang terkandung dalam suatu seni mempertahankan diri.
”Kita sering mempunyai kepercayaan bahawa seni mempertahankan diri mam­pu melakukan sesuatu yang kelihatan mustahil dilaksanakan secara fizikal. Kini, gabungan antara seni ini dan sains mampu mencapai satu lagi tahap,” kata Pengarah Pertarungan dan Koordinator Stunt fight Science, James Lew. Lew yang juga ahli Hall of Fame Seni Mempertahankan Diri menyatakan, idea untuk menghasilkan rancangan tersebut datang daripada kekurangan ujian saintifik yang dijalankan oleh mana-mana pihak. Bagi ukuran impak, patung manusia sering digunakan.
”Ia merupakan kaedah untuk mengukur kuasa suatu tendangan atau tum­bukan. Instrumen saintifik lain turut digunakan untuk melihat kelajuan tum­bukan, menguji keseimbangan badan kesateria, sela waktu reaksi dan juga keberkesanan suatu peralatan seni mem­pertahankan diri. Bagi saya ia penting kerana daripada penggunaan data saintiflk, kita mampu memperkembangkan kaedah latihan un­tuk melahirkan hero seni memperta­hankan diri yang lebih baik,” kata Lew.
Antara seni mempertahankan diri yang dipaparkan dalam program yang disiarkan selama seminggu itu ialah ka­rate, kung fu, jiujitsu, muay Thai, ninjitsu dan taekwando. Malah, seni tinju, memanah dan memecah objek seperti kepingan konkrit juga diuji dan dipertontonkan.
Persoalan sama ada seorang pengamal mampu menjatuhkan lawannya hingga pengsan (KO) dengan hanya satu tum­bukan terjawab dengan eksperimen yang dilakukan terhadap bahagian atas se­buah patung manusia. Suatu KO ialah mengenakan tenaga yang mencukupi pada tempat yang tepat untuk 'menutup' otak dan menyebabkan mangsa pengsan. Melalui sensor dan model, pengukuran tenaga dan kecederaan setiap tumbukan dikira. Setiap seni mempertahankan diri mempunyai stail dan kuasa tersendiri. Didapati, tumbukan seni kung fu menghasilkan 2,722.3 Newton (N) kuasa yang mampu mematahkan tulang muka, manakala tumbukan terus karate mengakibatkan 3.629.8N kuasa yang berupaya menjatuhkan lawan tetapi tidak menyebabkannya pengsan. Kuasa tumbukan taekwando (4.079N) mampu menyebabkan konkusi di kepala. Namun, dengan impak sekuat 4.417.1N yang sama dengan pukulan sebuah tukul besar, tumbukan si peninju mampu mengakibatkan lawannya pengsan hampir serta-merta.
Data yang diperoleh daripada kamera gerak aksi yang menangkap tumbukan oleh peninju profesional, Steve Petramale, menunjukkan umpama rangkaian kinetik, kuasa tumbukan bermula di kaki beliau dan disalur keluar melalui genggamannya. Sekiranya KO mampu dicapai, bagaimana pula menggunakan kaki sebagai senjata? Mampukah ia mendapat keputusan yang sama dengan tumbukan? Tendangan berganda kung fu menghasilkan kuasa 4,363.7N, manakala tendangan paling kuat yang berperanan memusnahkan lawan oleh tendangan belakang berpusing seni taekwando yang menghasilkan 6.992.6N.
Kedua-dua tendangan gagal menye­babkan lawan mereka pengsan tetapi mampu memberikan kesan seperti kehilangan keseimbangan, mematah tulang ataupun kecederaan pada organ dalaman. Satu tendangan yang mampu menye­babkan kecederaan dalaman yang teruk, malah juga kematian sekiranya tepat di bahagian yang senang sedera seperti di sternum, ialah Muay Thai yang juga merupakan seni mempertahankan diri yang popular di Thailand. Menggunakan lutut, seni yang sekuat hentaman sebuah kereta di dinding pada kelajuan 56.3 kilometer sejam itu berupaya memampatkan lima sentimeter bahagian dada.
”Ramai yang keliru antara Muay Thai dengan kickboxing yang menggunakan tumbukan dan tendangan. Muay Thai menggunakan siku, lutut dan bukan sekadar kaki dan tangan. Itulah sebab mengapa ia digelar sebagai 'seni membunuh',” kata Jaguh Muay Thai dunia, Melchor Menor.
Adakah satu fakta ataupun hanya mitos bahawa seseorang boleh tewas tanpa sebarang tendangan mahupun tumbukan? Jawapannya terletak pada ketangkasan seni mempertahankan diri jiujitsu.
”Seni ini bukan berhasrat untuk menyakitkan lawan tetapi untuk membawanya ke ke poin umpama checkmate, iaitu tidak boleh bergerak,” kata jaguh dunia jiujitsu, Rickson Gracie.
Pakar-pakar jiujitsu mengkaji badan manusia dengan ekstensif agar mampu mengekploitasi kelemahan anatomi manu­sia dan menewaskannya. 'Peralatan' utamanya bukanlah kuasa mahupun kekuatan sebaliknya tindakan pada anggota badan.
Legenda pernah mengatakan seni mempertahankan diri sepatutnya bertindak pada kelajuan seekor ular yang mampu menyerang antara 2.4 sehingga 3.0 meter sesaat. Kamera berkelajuan tinggi mendapati satu tumbukan kung fu adalah empat kali lebih pantas daripada serangan seekor ular. Manakala ujian kepekaan turut dilaksanakan pada taekwando mengguna­kan sela masa reaksi terhadap stimulasi cahaya. Didapati, tindak balas pengamal seni mempertahankan diri adalah lebih pantas daripada mereka yang tidak mengamalkannya. Namun, apakah seni mempertahankan diri yang unggul?

”Kuasa seni mempertahankan diri ti­dak bermaksud siapa yang paling kuat, tetapi keupayaan mengenakan impak terbesar pada sasaran,” kata Lew.
Menjawab persoalan itu, seni mempertahankan diri seharusnya mempunyai kemahiran yang tinggi dalam kepantasan, kuasa dan usaha minimum untuk kesan yang maksimum. Sehubungan itu, seni yang sering dikaitkan sebagai ’pelaksa kerja kotor Samurai’ atau ninjutsu mengimbangi segala kemahiran seni mempertahankan diri.
Melalui demonstrasi oleh pakar ninjitsu, Glen Levy, seni itu bukan hanya cepat, tetapi dilakukan dengan tepat dan efisyen terhadap sasaran. Penggunaan senjata dipercayai menjadikan seorang pejuang seorang manusia super kerana ia menggandakan kuasa dan menambahkan jarak serangan. Sementara itu, difahamkan kebanyakan senjata yang digunakan wujud apabila golongan petani dilarang untuk membawa sebarang senjata. Jadi, me­reka menggunakan instrumen pertanian sebagai peralatan semasa berlawan.
Seni mempertahankan diri mempercayai senjata dengan pengamal seni itu seharusnya menjadi satu. Tetapi sebelum itu, diri mereka haruslah menjadi senjata yang tersendiri. Senjata yang hebat harus merangkumi tiga kriteria, iaitu memperbesarkan im­pak dengan gabungan kelajuan dan berat untuk menghasilkan kuasa, menambah­kan jarak serangan dan pada masa yang sama boleh dikawal. Pelbagai senjata seni mempertahan­kan diri seperti pedang Katana, pedang lebar dan lurus, peralatan memanah dan nunchaku turut diuji.
”Ciri yang membolehkan suatu seni mempertahankan diri cemerlang dalam gaya masing-masing ialah apa yang saya gelar semangat seorang pejuang. Melalui proses fizikal, pengamal akan mengetahui bahawa seni ini adalah satu cara hidup dan dengan melangkah lebih jauh, dia akan menyedari nilai sebenar seni mempertahankan diri. Ia sebenarnya bukanlah berkenaan aspek berlawan, tetapi menjadikan kehidupan lebih tenteram,” tegas Lew.

Tiada ulasan: