Ahad, 12 Oktober 2008

Meningkatkan Perekodan Kepenggunaan Pusat Sumber

Kajian ini dijalankan untuk menentukan dan mengatasi masalah pelajar, guru dan staf sokongan kurang merekodkan kepenggunaan Pusat Sumber Sekolah (PSS) semasa menggunakan kemudahan di PSS. Seramai 2037 pelajar, 123 guru dan 19 staf sokongan terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui pemerhatian dan rekod kunjungan ke PSS selama lapan bulan, iaitu dari Januari hingga Ogos 2008. Hasil tinjauan menunjukkan bilangan pelajar, guru dan staf sokongan yang merekodkan kepenggunaan PSS masih kurang berbanding kehadiran sebenar. Perancangan tindakan telah difokuskan kepada rancangan strategik untuk meningkatkan perekodan kepenggunaan PSS selama 2 bulan, iaitu dari bulan September hingga Oktober 2008.

Sewaktu menyemak rekod penggunaan PSS tahun 2008 (Januari-Ogos 2008), saya dapati tidak semua warga sekolah yang menggunakan PSS merekodkan kehadiran mereka. Kumpulan staf sokongan paling kurang merekodkan kehadiran, iaitu 0.0 peratus diikuti kumpulan guru, iaitu 5.0 peratus. Walaupun pihak PSS telah menyediakan buku rekod penggunaan di kaunter sirkulasi yang mudah dilihat, namun mereka tidak mencatatkan langsung di buku tersebut.

Setelah dikaji secara tidak formal seperti bertanyakan punca masalah ini kepada kumpulan terbabit, beberapa perkara dikenal pasti menyebabkan mereka tidak merekodkan kedatangan dan penggunaan kemudahan di PSS. Antara puncanya ialah :
i) Terlupa
ii) Tidak mengetahui kepentingan perekodan
iii) Malas menulis

Walaupun dapat mengesan dan mengenal pasti banyak punca, saya hanya akan fokuskan kajian ini terhadap beberapa kelemahan pengurusan PSS dalam mendidik pengguna merekodkan penggunaannya. Masalah ini berlaku kerana:
i) Tiada panduan dari pihak PSS.
ii) Tiada program khas yang menerangkan tatacara penggunaan PSS.
iii) GPM dan Jawatankuasa Kerja PSS tidak mengingatkan kepada kumpulan guru bahawa mereka perlu merekodkan penggunaan PSS.
iv) Pengawas PSS tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk memberitahu pengguna sebelum masuk atau menggunakan sumber dari PSS.
Dalam pelaksanaan kajian ini, tinjauan masalah dibuat berdasarkan rekod penggunaan PSS, pemerhatian dan soalan soal selidik. Tinjauan masalah dilakukan dahulu dengan menganalisis data yang melibatkan semua warga sekolah. Antaranya adalah:
i) Rekod pelawat
ii) Rekod penggunaan Bilik Bacaan, Pusat Akses, Bilik Resos, Bilik APD
iii) Rekod pinjaman buku guru
iv) Rekod pinjaman bahan bukan buku guru

Rekod penggunaan PSS, iaitu rekod kemasukan responden ke PSS dan rekod pinjaman bahan bacaan menunjukkan peratusan penggunaan yang rendah. Rekod kemasukan responden ke PSS pada bulan Januari hingga Jun sebanyak 361 orang dan 632 orang dalam sebulan. Ini bermakna purata 2.9 % pelajar masuk ke PSS pada setiap hari pada bulan Januari dan purata 5.0% pelajar masuk ke PSS pada setiap hari pada bulan Februari. Sementara dalam rekod pinjaman bahan bacaan oleh pelajar pada bulan Januari hanyalah 164 buah buku, iaitu 2.05% dan Februari sebanyak 169 buah buku, iaitu 2.11% daripada jumlah buku di PSS.

Selain daripada itu juga, saya membuat pemerhatian ke atas tingkah laku responden semasa berkunjung ke PSS pada waktu rehat dan selepas waktu persekolahan. Semasa kajian dijalankan, didapati responden kurang memberi perhatian terhadap buku rekod penggunaan PSS.

Untuk meningkatkan perekodan kepenggunaan PSS, beberapa rancangan strategik telah disusun. Rancangan strategik yang disusun ialah:
a. Hadiah untuk pengunjung paling banyak
b. Pengedaran pamflet tatacara PSS
c. Rakan Pustaka
d. Statistik Penggunaan

Secara umumnya, dapatlah dirumuskan bahawa terdapat kesan positif yang ditunjukkan oleh para pelajar dalam meningkatkan perekodan kepenggunaan PSS dan mempunyai kesedaran tentang pentingnya merekodkan kedatangan mereka. Hasil daripada kajian ini akan digunakan untuk merancang strategi yang lebih efektif bagi meningkatkan penggunaan pusat sumber.

Sebelum ini, PSS tidak membuat perancangan khas atau perancangan jangka panjang untuk membangunkan PSS. Namun, mulai tahun 2008, PSS telah menyusun perancangan jangka panjang untuk membangunkan PSS, iaitu Rancangan Strategik PSS 2008 hingga 2010. Adalah harapan dan aspirasi pihak PSS supaya penggunaan PSS dalam proses pengajaran dan pembelajaran terus digunakan dengan sebaik mungkin. Pengurusan PSS juga mencadangkan agar pengetua dan semua panitia mata pelajaran mengambil inisiatif untuk memberi galakan dan sokongan kepada pelajar, guru dan staf sokongan supaya merekodkan kepengunaan PSS.