Khamis, 30 Oktober 2008

Payung Terjun

Pada suatu petang, sebuah pesawat Fokker 27 milik sebuah syarikat penerbangan terbang melintasi hutan di sekeliling Banjaran Titiwangsa. Di dalam pesawat tersebut terdapat tujuh orang yang terdiri daripada juruterbang, penolong juruterbang, seorang pegawai dan temannya, seorang ahli korporat, seorang pesara dan seorang pegawai IT yang akan membantu ketuanya mengadakan penyampaian. Kesemua mereka dalam perjalanan ke Medan atas urusan kerja.

Keadaan cuaca pada masa itu agak buruk. Hujan, angin kencang dan petir sambar menyambar sehingga membuat pesawat kecil itu bergoncang dengan kuat. Juruterbang mengalami kesukaran mengawal pesawat dan mengambil keputusan memaklumkan kepada menara kawalan yang pesawat mereka mungkin akan terhempas.

"Mayday..Mayday!" kata juruterbang. Tiba-tiba kedengaran bunyi letupan kecil dari bahagian belakang pesawat. Rupanya bahagian ekor pesawat telah disambar petir dan terbakar. Semua penumpang terdiam ketakutan dan berdoa agar mereka selamat. Berapa saat kemudian, pintu kokpit terbuka. Juruterbang dan penolong juruterbang memaklumkan keadaan sebenar kepada para penumpang.

"Penumpang semua, saya ada satu berita baik dan satu berita buruk. Berita buruknya, pesawat kita ini akan terhempas sebentar lagi. Berita baiknya pula, di dalam pesawat ini ada enam payung terjun tetapi saya dan pembantu juruterbang sudah pun mengambil dua daripadanya!" Sejurus kemudian, juruterbang dan pembantu juruterbang membuka pintu pesawat dan kedua-duanya melompat keluar menyelamatkan diri. Penumpang masih ada lima orang sedangkan payung terjun tinggal empat.

Tiba-tiba si pegawai menarik satu payung terjun sambil berkata, "Saudara semua, saya ialah pegawai penting di syarikat kita, awak semua pun tahu. Banyak surat penting berkaitan kebajikan orang yang belum saya tandatangani. Kehadiran saya di Medan amat penting, maka saya mesti selamat. " Lalu dia pun melompat keluar dari pesawat.

Teman pegawai tersebut pun juga tidak mahu ketinggalan. Dengan segera, dia mengambil payung terjun dan berkata, " Saudara, sebagai pembekal dan pengedar, keselamatan nyawa saya amat penting. Pembekalan barang untuk syarikat saudara akan terganggu jika saya tiada. Ramai yang akan susah jika bekalan barang mereka tidak sampai." Selepas itu, dia pun terus melompat keluar menyelamatkan dirinya.

Begitu juga dengan penumpang seterusnya, seorang ahli korporat. Dia berkata, "Wang syarikat banyak habis bagi membiayai pengajian saya ke peringkat Sarjana. Kehadiran saya di syarikat sangat berharga kerana saya memainkan peranan penting dalam hala tuju syarikat dan membawa keuntungan. Tiada orang yang lebih pandai daripada saya di syarikat ini." Dengan tergesa2 dia mencapai beg payung terjun dan melompat keluar sambil berteriak gembira, "Kejayaan terus hidup!"

Maka tinggallah pesara bersama dengan pegawai IT, yang termanggu melihat beg payung terjun yang tinggal satu itu. Akhirnya, pesara itu berkata, "Anak muda, pakcik sudah tua dan puas hidup. Pakcik juga sudah mengecapi kebahagian dan kesenangan selama bekerja di syarikat. Anak pakcik pun semuanya sudah berjaya, jadi sudah tiba masanya pakcik berkorban dan memberi kesempatan kepada orang yang lebih muda. Ambillah payung terjun ini, biarlah pakcik jatuh bersama-sama pesawat ini nanti!"

Mendengar kata-kata pesara itu, pegawai IT itu tersenyum bersahaja dan tenang berkata, "Jangan risau pakcik. Kita berdua masih boleh menyelamatkan diri. Ahli korporat yang mengaku pandai dan hebat tadi tidak mengambil beg payung terjun, sebaliknya dia terambil beg yang berisi mesin projektor LCD saya!"

Tiada ulasan: